Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 25 Oktober 2013

Projek ECER berjaya tarik RM6.5 bilion pelaburan swasta ke Kelantan dalam tempoh lima tahun

KOTA BHARU: Pelaksanaan pelbagai program dan projek oleh Kerajaan Persekutuan menerusi inisiatif Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di Kelantan berjaya menarik pelaburan swasta bernilai RM6.5 bilion dalam tempoh lima tahun sejak 2007.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan ECER (ECERDC), Datuk Jebasingam Issace John berkata ia juga berjaya mewujudkan 5,000 pekerjaan baharu dan hampir 1,000 peluang keusahawanan di negeri ini.

Antara projek yang telah dilaksanakan ialah pembangunan Taman Halal di Pasir Mas, Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan di Pengkalan Kubor, Tumpat, Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali di Pasir Puteh dan projek Agropolitan Kelantan Selatan di Gua Musang, katanya pada taklimat media di sini Khamis, sempena Hari Terbuka ECER Bersama Rakyat di Pusat Tranformasi Luar Bandar (RTC) di sini Sabtu ini.

Issace berkata dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan RMK-10, kerajaan persekutuan memperuntukkan RM630 juta melalui ECERDC untuk menjalankan projek pembangunan prasarana, pertanian, pembuatan, pelancongan dan pembangunan modal insan di Kelantan.

Mengenai projek agropolitan Kelantan Selatan yang mula dilaksanakan pada 2009, beliau berkata seramai 300 peserta bersama keluarga kini tinggal di rumah yang disediakan ECERDC, dengan pendapatan purata meningkat daripada RM350 sebulan kepada lebih RM1,000 sebulan.

Katanya peserta terbabit bekerja di ladang kelapa sawit sebagai sumber ekonomi utama dan mereka turut menanam pokok koko di belakang rumah sebagai sumber sampingan.

Beliau berkata pembangunan fasa 1 infrastruktur di Taman Halal Pasir Mas yang meliputi kawasan seluas 54 hektar, telah siap dan kompleks perniagaan usahawan di taman tersebut telah dibuka kepada pengusaha produk Halal sejak Jun tahun ini.

"ECERDC juga sedang dalam perbincangan dengan lima bakal pelabur mengenai pembinaan kilang pembuatan di taman berkenaan," katanya.

Mengenai Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali, Issace berkata di samping menjadi hab perikanan berorientasikan eksport yang dinamik dan berdaya maju, taman tersebut akan dipromosikan sebagai sebuah destinasi ekopelancongan marin yang unggul dan menarik dengan penekanan kepada keindahan alam semula jadi.

Beliau berkata Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan Pengkalan Kubor mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 328,000 liter sos ikan dan budu premium.

ECERDC juga mengendalikan program akademik dan memperkasa ECER yang merupakan program pembangunan modal insan dengan 3,140 pelajar dan 1,800 peserta dewasa di negeri ini memperoleh manfaat.

Sumber: BERNAMA | 24 Okt. 2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan