![]()  | 
| Rumah-rumah dan projek penanaman sekunder di sekeliling rumah peserta bagi projek agropolitan fasa kedua di Taman Agropolitan Limau Manis, Gua Musang, Kelantan. | 
 GUA MUSANG: Seramai 271 peserta Projek 
Agropolitan Rantau Manis di sini berjaya dikeluarkan daripada belenggu 
kemiskinan sekali gus mengubah taraf hidup keluarga mereka. 
Program yang dilaksanakan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi 
Pantai Timur (ECERDC) dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan
 itu bermula pada tahun 2009 untuk mengubah taraf hidup miskin tegar 
kepada kehidupan yang mempunyai masa depan yang cerah dan berpendapatan 
tetap.
Program yang telah mencapai fasa kedua tersebut melibatkan hasil pertanian koko serta kelapa sawit. Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Sosial ECERDC, Zulkifli Yaacob (gambar) 
 berkata, peserta yang dipilih untuk menyertai program tersebut 
rata-ratanya hanya memperolehi pendapatan di bawah RM350 sebulan.
"Alhamdulillah, apabila (peserta) menyertai program ini, mereka mampu
 menjana pendapatan antara RM1,100 ke RM1,300 sebulan dengan 
mengusahakan ladang sawit dan penanaman sekunder iaitu koko ditanam 
dengan keluasan suku ekar di sekeliling rumah," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena lawatan media ke tapak projek agropolitan berkenaan, kelmarin.
Zulkifli berkata, selain daripada aktiviti pertanian, banyak lagi 
aktiviti yang melibatkan ahli keluarga peserta juga dijalankan.
"Para suri rumah turut berpeluang menyumbang kepada pendapatan 
keluarga dengan melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti ekonomi 
sampingan seperti menjahit, membuat kuih dan sebagainya.
"Anak-anak peserta program pula berpeluang menyertai program latihan 
akademik yang dijalankan oleh ECERDC di mana kelas-kelas pemulihan dan 
sesi-sesi motivasi diadakan untuk membantu mempertingkatkan prestasi 
akademik anak-anak tersebut," katanya.
Projek Agropolitan melibatkan penempatan semula peserta-peserta yang 
terdiri daripada golongan miskin ke rumah-rumah baharu dibina oleh pihak
 ECERDC dengan kesemua mereka diberi latihan dan pekerjaan dalam 
projek-projek pertanian yang dilaksanakan oleh majlis itu.
Bermula pada 2009, aktiviti utama di Agropolitan Kelantan Selatan 
melibatkan perladangan kelapa sawit di kawasan seluas 1,490 hektar serta
 penanaman koko sebagai aktiviti sekunder dan para peserta telah diberi 
latihan khusus.
Selain rumah, pelaksanaan program agropolitan juga menyediakan 
kemudahan awam seperti dewan orang ramai, tadika, surau, dan kedai-kedai
 untuk mewujudkan sebuah komuniti dalam kalangan peserta dan keluarga.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata, projek untuk fasa yang ketiga telah dijalankan dan dijangka siap pada tahun 2015.
"Projek untuk fasa ketiga iaitu pembangunan ladang kelapa sawit 
seluas 835 hektar telah dijalankan Mei lalu dan pembinaan lagi 300 unit 
rumah dijangka siap sepenuhnya awal 2015. "Bagi penanaman koko pula, kita akan jalankan pada pertengahan tahun 2014," katanya. 
Pada masa yang sama, ECER turut membantu golongan usahawan di negeri 
ini dengan menyediakan pelbagai program sejajar dengan tujuan 
penubuhannya untuk membantu meningkatkan taraf hidup rakyat negeri ini. 
Untuk itu, Program Pembangunan Keusahawanan ECER (EEDP) telah dilancarkan pada tahun 2011. Objektif utama EEDP adalah untuk menjadikan industri kecil dan 
sederhana (IKS) serta pelaburan bumiputera sebagai kumpulan sasaran ke 
arah membantu mereka mengembangkan perniagaan dan meningkatkan hasil 
pendapatan perniagaan. 
Program itu terbahagi kepada dua bahagian iaitu dengan kerjasama Agro Bank (EEDP-Agro Bank) dan SIRIM (EEDP-SIRIM). 
EEDP-Agro Bank menjuruskan tumpuan kepada bantuan pembiayaan kepada 
para usahawan sedia ada di wilayah ECER yang berhasrat membangun dan 
mengembangkan perniagaan.
Melalui program itu, pembiayaan diberikan kepada usahawan 
berkelayakan dengan kadar faedah pinjaman yang lebih rendah kerana 
sebahagian daripada faedah tersebut ditanggung ECERDC. 
Pembiayaan kepada usahawan mikro adalah sebanyak RM50,000 manakala 
untuk usahawan IKS sehingga RM250,000 dengan tempoh pembayaran balik 
pinjaman selama 96 bulan. 
Sehingga kini, seramai 552 usahawan seluruh ECER telah terpilih 
menyertai program EEDP Agro Bank dengan Terengganu mencatatkan jumlah 
tertinggi iaitu 230 usahawan, Pahang (204), Kelantan (102) dan Mersing, 
16 usahawan. 
Program EEDP-SIRIM pula dirangka khusus untuk membantu pembangunan 
dan bimbingan usahawan sedia ada di wilayah ECER yang berhasrat 
mengembangkan perniagaan mereka. 
Pendekatan ini merangkumi aspek-aspek pengurusan kewangan, 
pembangunan produk, pemasaran, penyelidikan, pensijilan halal, kawalan 
peningkatan kualiti dan pembungkusan. 
Seramai 28 peserta berjaya meningkatkan hasil jualan mereka melebihi 
25 peratus sebulan dan kesemua produk itu berjaya didaftarkan dengan 
Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
ECER telah membuktikan bahawa mereka telah memainkan peranan penting 
dalam membantu meningkatkan ekonomi di wilayah Pantai Timur.
Sumber: Utusan Malaysia | Timur | 24 Okt. 2013 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan