KOTA BHARU: Kerajaan Pas Kelantan tidak
 meluluskan atau memproses mana-mana permohonan daripada syarikat 
pembalakan sejak Pilihan Raya Umum Ke-13.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob (gambar) berkata, perkara itu memandangkan 
pihaknya masih belum mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Perhutanan 
negeri yang dipengerusikan beliau sendiri.
Sehubungan itu, tambah beliau, tidak timbul sebarang isu kerajaan 
pimpinannya meluluskan kawasan untuk pembalakan di negeri ini. 
"Saya baru jadi menteri besar empat bulan, mesyuarat jawatankuasa 
balak pun belum diadakan lagi, macam mana hendak kata saya telah 
memberikan kawasan balak kepada pihak tertentu. 
"Tunggu saya mesyuarat dahulu, lepas itu baru kita tahu berapa 
kelulusan kawasan telah diberikan dan berapa yang tidak lulus kecualilah
 saya sebagai Pengerusi sudah buat mesyuarat dan ada keputusan tetapi 
sekarang muncul pula cerita budak 22 tahun dapat kawasan balak," 
katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis 23
 Tahun Membangun Bersama Islam di pekarangan Sultan Muhammad IV, di sini
 hari ini. 
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik 
Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, 
Penerangan dan Hubungan Serantau negeri, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud.
Sebelum ini, ada pihak tertentu yang dikatakan pro-Exco Kerajaan Pas 
Kelantan, Datuk Husam Musa menggunakan media sosial menyerang kerajaan 
pimpinan Ahmad mengenai isu pembalakan. 
Perkara itu bermula dengan pendedahan Husam dalam Persidangan Dewan 
Undangan Negeri Kelantan mengenai permohonan kawasan seluas 1,400 hektar
 bernilai RM7 juta di kawasan Hutan Simpan Ulu Sat kepada seorang 
individu tanpa tender pada Ogos lalu.
Isu tersebut menjadi perdebatan hangat di media sosial malah ada 
antara mereka mendedahkan kawasan tersebut dipohon seorang pemuda 
berusia 22 tahun yang baru seminggu mendaftar perniagaan. 
Sementara itu, mengulas mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan 
Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, Ahmad yang juga Timbalan Pesuruhjaya
 II Pas Kelantan berkata, pihaknya akan menghantar jentera pilihan raya 
untuk memastikan parti itu dapat mengekalkan kerusi tersebut.
Sumber: Utusan Malaysia | Timur | 21 Okt. 2013 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan