BACHOK: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani 
memperuntukkan sebanyak RM2.5 juta dalam usaha membangun dan 
mengembangkan tanaman kelapa matag di negara ini mulai tahun hadapan.
Timbalan Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Sabtu Slamat berkata, 
tanaman kelapa berkenaan berupaya menghasilkan pendapatan tiga kali 
ganda berbanding kelapa biasa sekiranya diusahakan menerusi amalan dan 
teknologi pertanian yang betul.
Menurutnya, berdasarkan kajian bahagian penyelidikan pertanian, 
sehektar tanaman kelapa matag mampu menghasilkan pulangan sebanyak 
RM20,000 setahun berbanding hanya RM5,000 kelapa biasa.
"Ia adalah spesies pokok yang cepat berbuah dengan kualiti hasil yang
 tinggi pastinya merangsang pendapatan petani berbanding pokok kelapa 
yang lambat berbuah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan 
Khemah Kerja dan Hari Peladang peringkat negeri Kelantan di Kampung 
Melawi di sini hari ini.
Lebih 100 petani dari seluruh jajahan menyertai upacara itu yang turut disertai Pengarah Pertanian Kelantan, Ab. Lah Ismail.
Sabtu berkata, kelapa baka baharu hasil kacukan benih 
Malaysia-Filipina itu boleh dikomersialkan untuk membuat kuih-muih 
termasuk perusahaan jeli kelapa dan santan yang bermutu tinggi.
Setakat ini, katanya, terdapat juga pengusaha yang turut mengusahakan
 penghasilan benih dan memasarkannya di pasar tani seluruh negara.
"Pada tahun 2017, disasarkan kita dapat membekalkan benih kelapa 
mencukupi bagi permintaan petani yang bercadang mengusahakannya secara 
besar-besaran.
"Bagi mencapai matlamat itu, kawasan seluas 70 hektar di Kampung 
Leking, Johor sudah dikenal pasti sebagai ladang pengeluaran benih 
terbesar di negara ini," katanya.
Sabtu berkata, pada masa ini kementerian memberi tumpuan yang lebih yang membabitkan negeri Perak, Johor, Selangor dan Kelantan.
Di Kelantan, katanya, kawasan seluas 60 hektar sedang diusahakan 
dengan tanaman itu bagi menggantikan kelapa Malaysia Tall (kelapa biasa)
 di pesisiran pantai di Kampung Melawi yang membabitkan tiga fasa 
bermula 2011.
"Jabatan Pertanian Kelantan memperuntukkan sejumlah RM240,000 bagi 
menjayakan projek tanaman ini yang dapat memberi faedah kepada 160 
petani," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Timur | 24 Okt. 2013 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan