Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 4 Julai 2014

Tiket bas ekspres ke Pantai Timur dari Bandar Raya Melaka Bersejarah laris

Kaunter tiket di Terminal Bas Melaka Sentral. Gambar kecil: Sebahagian kaunter memaklumkan kepada orang ramai mengenai kehabisan tiket ke Pantai Timur.
BANDAR RAYA MELAKA: Tiket perkhidmatan bas ekspres untuk perjalanan ke destinasi negeri-negeri di Pantai Timur paling laris dijual di Terminal Bas Melaka Sentral, di sini sempena Aidilfitri tidak lama lagi.

Tinjauan Sinar Harian ke beberapa kaunter tiket membabitkan beberapa syarikat perkhidmatan bas utama mendapati kebanyakan tiket untuk perjalanan cuti perayaan itu yang bermula 23 Julai sudah habis dijual, manakala perjalanan ke Utara dan Selatan masih ada.

Kerani tiket syarikat perkhidmatan bas Ekspress Mayang Sari, Suhadah Salehuddin berkata, kesemua tiket untuk perjalanan ke Pantai Timur sudah habis sebaik ia mula dijual kepada orang ramai sehari sebelum Ramadan lalu.

“Setakat ini, hanya perkhidmatan bas untuk ke Utara dan Selatan masih ada sementara untuk ke negeri Pantai Timur sudah habis.

“Setiap tahun keadaan sebegini memang biasa apabila kebanyakan tiket untuk perjalanan ke Pantai Timur paling laris,” katanya di sini, semalam.

Dalam pada itu, tinjauan ke kaunter tiket perkhidmatan syarikat Bas Ekspres Mara Liner yang dibuka sejak 1 Julai lalu, mendapati perjalanan ke Pantai Timur masih ada.

Menurut kerani bertugas, Ibrahim Mansor, kebanyakan perjalanan untuk cuti Aidilfitri bermula 24, 25 dan 26 Julai banyak dijual.

“Setakat ini, tiket-tiket bas untuk perjalanan ke negeri Pantai Timur masih ada lagi dan kami berharap orang ramai boleh mendapatkan segera sebelum kehabisan.

“Cuma tiket untuk tarikh 25 Julai paling laris dan tidak banyak lagi,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Melaka & Negeri Sembilan | 4 Jul. 2014

40% peniaga Pasar Siti Fatimah Rantau Panjang sudah mula berniaga

Kira-kira 40 peratus peniaga telah memulakan perniagaan di Pasar Siti Fatimah Rantau Panjang, bermula awal Ramadan lalu
RANTAU PANJANG: Seramai 70 peratus peniaga sudah mengambil kunci premis di pasar baharu Rantau Panjang (Pasar Siti Fatimah), manakala 40 peratus daripadanya sudah memulakan perniagaan ketika Ramadan.

Yang Dipertua Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM), Ahmad Robert Abdul Rahim berkata, pihaknya menjangkakan lebih ramai akan memulakan perniagaan di pasar berkenaan menjelang dua minggu sebelum Syawal.

Menurutnya, sekiranya lebih ramai peniaga membuka premis perniagaan, suasana akan lebih menarik, sekali gus pengunjung akan lebih berminat untuk membeli belah di situ.

Beliau berkata, terdapat sebahagian peniaga menunggu beberapa hari selepas ketibaan Ramadan sebelum membuka premis perniagaan baharu.

"Sebelum ini ada peniaga merungut mengenai bekalan elektrik. Namun selepas pemantauan, sebahagian besar premis perniagaan sudah mendapat bekalan elektrik beberapa hari sebelum umat Islam mula berpuasa.

"Masalah bekalan elektrik terletak di bawah bidang kuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB). Lebih cepat peniaga melunaskan kos penyambungan elektrik, lebih cepat mereka akan menerima kemudahan berkenaan," katanya.

Sementara itu, seorang peniaga ditemui, Mariam Abdul Rahman, 62 berkata, dia mengambil kesempatan memulakan perniagaan pada bulan Ramadan sebagai persediaan awal menghadapi Aidilfitri.

Menurutnya, langkah itu akan menarik lebih ramai pengunjung dan ia juga merupakan promosi awal menjelang Syawal, sekali gus salah satu langkah memperkenalkan premis perniagaan baharu kepada pelanggan-pelanggan tetapnya.

"Walaupun hasil yang diterima tidak sebanyak ketika berniaga di pasar lama, namun masih terlalu awal untuk berputus asa. Peniaga lain juga turut bersemangat mencari rezeki di tapak baharu ini," katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 4 Jul. 2014

MPK minta peniaga pasar malam tutup perniagaan seketika apabila masuk waktu Maghrib

KUANTAN: Bermula 1 Ogos ini, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) akan meminta peniaga pasar malam yang beragama Islam supaya menutup perniagaan mereka buat seketika apabila masuk waktu solat Maghrib.

Yang Dipertua MPK, Datuk Zulkifli Yaakob berkata, penutupan sementara itu bukan terlalu lama iaitu hanyalah untuk tempoh masa 20 minit bagi menunaikan solat.

"Apa yang penting bagi kita umat Islam adalah mendahulukan solat dari segalanya, jadi kita berharap kepada mana-mana peniaga umat Islam di daerah ini supaya dapat menutup perniagaan mereka sementara bagi menunaikan solat.

"Kita (MPK) percaya perniagaan mereka selepas itu pasti akan mendapat lebih berkat kerana mendahulukan solat yang merupakan fardu bagi umat Islam," katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, pelaksanaan itu akan dilakukan secara berterusan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

"Kita akan laksanakan untuk peniaga pasar malam sahaja yang mana ada antara mereka berniaga berdekatan dengan masjid dan surau yang pastinya menuntut untuk peniaga itu menunaikan solat terlebih dahulu.

"Selain keuntungan, perkara utama yang ingin kita capai adalah keberkatan dari Allah SWT untuk kita berniaga," katanya.

Sementara itu, katanya, MPK telah menyampaikan sumbangan kepada 195 masjid dan surau di daerah ini sempena menyambut Ramadan kali ini.

"Selain itu, kita juga akan menganjurkan majlis berbuka puasa di 15 masjid yang terpilih di daerah ini," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 2 Jul. 2014 | Terbitan 3 Jul. 2014

Bazar Ramadan di Kelantan lebih bersih

Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir (dua dari kanan) memberi nasihat kepada peniaga ketika membuat lawatan ke Bazar Ramadan di perkarangan Stadium Sultan Mohamad IV Kota Bharu, kelmarin.
KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Kelantan setakat ini berpuas hati dengan tahap kebersihan dan keselamatan makanan yang dijual di bazar-bazar Ramadan di negeri ini.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata, keadaan itu menunjukkan tahap kesedaran peniaga dalam menjaga aspek kebersihan adalah lebih baik berbanding tahun lalu.

"Bila kita membuat kajian terhadap sampel makanan yang diambil di bazar-bazar Ramadan sebelum ini, kita menemui mikro organisma dan bahan kimia dalam juadah-juadah tertentu dalam kuih-muih yang menggunakan kelapa parut.

"Kita berharap untuk Ramadan pada kali ini, para peniaga akan terus menitik-beratkan penjagaan kebersihan bagi mengelakkan mereka didenda kerana gagal mematuhi Peraturan-peraturan Makanan 1985," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan Pemantauan Kebersihan dan Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan Pekarangan Stadium Sultan Mohamad IV, di sini, semalam.

Yang turut serta dalam program tersebut adalah Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Kelantan serta Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Kelantan.

Ahmad Razin memberitahu, rata-rata peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan termasuk memakai apron dan menutup makanan.

"Melalui tinjauan yang dibuat di seluruh bazar di Kelantan, kita mendapati kebanyakan peniaga dan pembantu mereka mempunyai kad akuan kesihatan.

"Bagaimanapun masih terdapat sebilangan kecil yang gagal berbuat demikian, kita telah membuat teguran dan peringatan supaya mereka mematuhi Peraturan Makanan 1985," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya telah menyerahkan laporan kepada Kementerian Kesihatan berhubung perkembangan terkini kes denggi di negeri ini.

Ujarnya, pihaknya akan menubuhkan jawatankuasa khas bersama Majlis Keselamatan Negara bagi menangani isu denggi. Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung kerjasama tersebut.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Kelantan | 3 Jul. 2014 | Terbitan 4 Jul. 2014

Maybank antara 20 bank paling kukuh di dunia

Menara Maybank di Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR: Malayan Banking Bhd (Maybank) sekali lagi mengukuhkan reputasinya dalam landskap kewangan global yang semakin berdaya saing dengan mengekalkan kedudukannya sebagai antara 20 bank paling kukuh di dunia pada tahun ini.

Maybank menjadi satu-satunya bank Malaysia dalam senarai 20 Bank Paling Kukuh Di Dunia, suatu pencapaian yang boleh dibanggakan bagi negara dan bank tersebut, menurut majalah 'Bloomberg Markets' keluaran Julai/Ogos 2014.

Hang Seng Bank Ltd, satu daripada institusi kewangan terulung di China Hong Kong dan dimiliki oleh HSBC Holdings Plc, merupakan bank paling kukuh di dunia, menurut ranking tahunan oleh 'Bloomberg Markets.'

Isu ini menyenaraikan bahawa Maybank sekali lagi dalam senarai antara 20 bank terkukuh dunia untuk tahun kedua berturut-turut. Sebanyak 97 bank dinilai di peringkat global.

Maybank merupakan bank keempat terbesar di Asia Tenggara dengan jumlah aset lebih RM578 bilion setakat 31 Mac 2014. Jumlah depositnya sebanyak RM396 bilion.

Bank-bank Asia menerajui dalam senarai itu berdasarkan laporan dengan lapan daripada 21 bank paling kukuh merupakan bank Asia.

Bagi mengenal pasti bank-bank terkukuh dunia, penerbitan itu menggunakan fungsi Saringan Ekuiti (EQS) di Bloomberg Professional Service untuk mendapatkan senarai bank-bank awam dan swasta dengan jumlah aset US$100 bilion atau lebih sehingga 1 Mei. 

Kriterianya termasuk Tahap 1 kepada aset berwajaran risiko, aset tidak memberi keuntungan kepada jumlah aset, rizab kerugian pinjaman kepada aset tidak memberi keuntungan, deposit kepada pembiayaan dan kecekapan apabila kos berbanding hasil diambil kira. 

Sumber: mStar Online | 3 Jul. 2014

Khamis, 3 Julai 2014

RM100 juta bina tiga sekolah baharu di Gua Musang

Sekolah Menengah Sains Gua Musang yang bernilai RM40 juta telah mencapai 80 peratus pembinaan di Gua Musang, Kelantan.
GUA MUSANG: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan hampir RM100 juta untuk membina tiga sekolah bagi meningkatkan taraf pendidikan di kawasan Parlimen Gua Musang.

Tiga sekolah yang terlibat itu ialah Sekolah Menengah (SM) Sains Gua Musang menelan belanja lebih RM40 juta, Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Betis (RM50 juta) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pulai sebanyak RM2.5 juta.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Ab. Aziz Yusoff berkata, pelbagai projek yang dibangunkan di bandar itu adalah sebagai balasan terhadap sokongan rakyat Gua Musang yang tidak pernah berbelah bahagi terhadap kerajaan selama ini.

"Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah mungkir janji dan sentiasa melaksanakan pembangunan bagi kesejahteraan rakyat.

"Diharapkan dengan selesainya pembinaan sekolah ini dapat menyuntik semangat pelajar untuk terus maju dalam pelajaran," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Pada masa sama, Ab. Aziz berkata, pihaknya turut memberi jaminan pembinaan ketiga-tiga sekolah tersebut akan berjalan dengan lancar.

"Bagi SM Sains Gua Musang, saya difahamkan pembinaannya telah mencapai 80 peratus setelah pembinaan tertangguh beberapa kali dan dijangkakan pengambilan pelajar akan dibuat pada tahun hadapan.

"Selain itu, pembinaan bangunan baharu SJKC Pulai juga hampir siap dan tapak pembinaan SMK Kuala Betis juga telah dikenal pasti iaitu di Kampung Panggung Lalat," ujarnya.

Katanya, pembinaan SJKC itu juga membuktikan kerajaan memberikan perhatian kepada semua kaum terutama dalam bidang pendidikan.

"Bagi SJKC Pulai, kita membina bangunan baharu bagi menggantikan bangunan kayu yang tidak lagi selamat untuk digunakan dan SMK Kuala Betis merupakan sekolah menengah pertama bagi kaum Orang Asli yang bermatlamat untuk mengatasi tahap keciciran pelajar yang tinggi setiap tahun.

"Pemilihan tapak sekolah menengah Orang Asli di Kampung Panggung Lalat dipilih kerana kawasan tersebut berhampiran dengan perkampungan mereka," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 2 Jul. 2014 | Terbitan 3 Jul. 2014

Larangan berpuasa oleh Kerajaan China timbul kemarahan umat Islam Xinjiang

Umat Islam di wilayah bergolak Xinjiang gagal mengawal perasaan berikutan larangan berpuasa yang dikeluarkan Kerajaan China.
BEIJING: Keputusan Kerajaan China melarang kakitangan awam, guru dan pelajar di wilayah Xinjiang berpuasa menimbulkan kemarahan umat Islam negara itu.

Notis berhubung perkara itu dimuatnaik menerusi laman sesawang kerajaan, sejak bermulanya Ramadan, hujung minggu lalu.

Malah, ada juga stesen radio dan televisyen memaklumkan keputusan kerajaan itu terhadap penduduk wilayah bergolak itu.

Dalam satu kenyataan, jurucakap Kongres Dunia Uighur, Dilxat Raxit menyelar tindakan itu sebagai menyekat kebebasan beragama.

"Larangan menyekat orang Islam melaksanakan Rukun Islam itu hanya akan mencetuskan lebih banyak konflik di Xinjiang.

"Kami menggesa kerajaan menghentikan penindasan seumpama ini terutamanya ketika Ramadan," tegasnya.

Memetik laporan AFP, sejak beberapa tahun lalu, kerajaan pimpinan Parti Komunis mengenakan larangan berpuasa di Xinjiang yang didiami etnik minoriti Uighur.

Sementara itu, sebuah jabatan kaji cuaca di barat Xinjiang pula berkata di laman sesawangnya: “Sejajar dengan arahan pihak atasan, semua kakitangan sama ada yang masih berkhidmat atau sudah bersara diingatkan supaya tidak berpuasa pada Ramadan ini.”

Selain itu, pejabat kerajaan yang bertanggungjawab menguruskan Sungai Tarim pula memuat naik gambar pekerjanya yang memakai topi tradisional Uighur sedang makan.

“Walaupun gambar ini diambil pada bulan Ramadan, mereka yang digambarkan ini bersikap positif dan tidak berpuasa,” katanya.

China sebelum ini mendakwa larangan terhadap puasa adalah untuk memastikan kesihatan kakitangan kerajaan terjamin.

Sumber: mStar Online | 3 Jul. 2014