Sekolah Menengah Sains Gua Musang yang bernilai RM40 juta telah mencapai 80 peratus pembinaan di Gua Musang, Kelantan. |
GUA MUSANG: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan hampir RM100
juta untuk membina tiga sekolah bagi meningkatkan taraf pendidikan di
kawasan Parlimen Gua Musang.
Tiga sekolah yang terlibat itu ialah Sekolah Menengah (SM) Sains Gua
Musang menelan belanja lebih RM40 juta, Sekolah Menengah Kebangsaan
Kuala Betis (RM50 juta) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pulai
sebanyak RM2.5 juta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Ab. Aziz Yusoff berkata,
pelbagai projek yang dibangunkan di bandar itu adalah sebagai balasan
terhadap sokongan rakyat Gua Musang yang tidak pernah berbelah bahagi
terhadap kerajaan selama ini.
"Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah mungkir janji dan sentiasa melaksanakan pembangunan bagi kesejahteraan rakyat.
"Diharapkan dengan selesainya pembinaan sekolah ini dapat menyuntik
semangat pelajar untuk terus maju dalam pelajaran," katanya kepada
Utusan Malaysia di sini semalam.
Pada masa sama, Ab. Aziz berkata, pihaknya turut memberi jaminan
pembinaan ketiga-tiga sekolah tersebut akan berjalan dengan lancar.
"Bagi SM Sains Gua Musang, saya difahamkan pembinaannya telah
mencapai 80 peratus setelah pembinaan tertangguh beberapa kali dan
dijangkakan pengambilan pelajar akan dibuat pada tahun hadapan.
"Selain itu, pembinaan bangunan baharu SJKC Pulai juga hampir siap
dan tapak pembinaan SMK Kuala Betis juga telah dikenal pasti iaitu di
Kampung Panggung Lalat," ujarnya.
Katanya, pembinaan SJKC itu juga membuktikan kerajaan memberikan perhatian kepada semua kaum terutama dalam bidang pendidikan.
"Bagi SJKC Pulai, kita membina bangunan baharu bagi menggantikan
bangunan kayu yang tidak lagi selamat untuk digunakan dan SMK Kuala
Betis merupakan sekolah menengah pertama bagi kaum Orang Asli yang
bermatlamat untuk mengatasi tahap keciciran pelajar yang tinggi setiap
tahun.
"Pemilihan tapak sekolah menengah Orang Asli di Kampung Panggung
Lalat dipilih kerana kawasan tersebut berhampiran dengan perkampungan
mereka," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 2 Jul. 2014 | Terbitan 3 Jul. 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan