Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir (dua dari kanan) memberi nasihat kepada peniaga ketika membuat lawatan ke Bazar Ramadan di perkarangan Stadium Sultan Mohamad IV Kota Bharu, kelmarin. |
KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Kelantan setakat ini berpuas
hati dengan tahap kebersihan dan keselamatan makanan yang dijual di
bazar-bazar Ramadan di negeri ini.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata,
keadaan itu menunjukkan tahap kesedaran peniaga dalam menjaga aspek
kebersihan adalah lebih baik berbanding tahun lalu.
"Bila kita membuat kajian terhadap sampel makanan yang diambil di
bazar-bazar Ramadan sebelum ini, kita menemui mikro organisma dan bahan
kimia dalam juadah-juadah tertentu dalam kuih-muih yang menggunakan
kelapa parut.
"Kita berharap untuk Ramadan pada kali ini, para peniaga akan terus
menitik-beratkan penjagaan kebersihan bagi mengelakkan mereka didenda
kerana gagal mematuhi Peraturan-peraturan Makanan 1985," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan
Pemantauan Kebersihan dan Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan
Pekarangan Stadium Sultan Mohamad IV, di sini, semalam.
Yang turut serta dalam program tersebut adalah Majlis Perbandaran
Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Pejabat Perdagangan Dalam Negeri,
Koperasi dan Kepenggunaan Kelantan serta Persatuan Peniaga dan Penjaja
Kecil Kelantan.
Ahmad Razin memberitahu, rata-rata peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan termasuk memakai apron dan menutup makanan.
"Melalui tinjauan yang dibuat di seluruh bazar di Kelantan, kita
mendapati kebanyakan peniaga dan pembantu mereka mempunyai kad akuan
kesihatan.
"Bagaimanapun masih terdapat sebilangan kecil yang gagal berbuat
demikian, kita telah membuat teguran dan peringatan supaya mereka
mematuhi Peraturan Makanan 1985," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya telah menyerahkan
laporan kepada Kementerian Kesihatan berhubung perkembangan terkini kes
denggi di negeri ini.
Ujarnya, pihaknya akan menubuhkan jawatankuasa khas bersama Majlis Keselamatan Negara bagi menangani isu denggi. Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung kerjasama tersebut.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Kelantan | 3 Jul. 2014 | Terbitan 4 Jul. 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan