KUANTAN: Bermula 1 Ogos ini, Majlis Perbandaran Kuantan
(MPK) akan meminta peniaga pasar malam yang beragama Islam supaya
menutup perniagaan mereka buat seketika apabila masuk waktu solat Maghrib.
Yang Dipertua MPK, Datuk Zulkifli Yaakob berkata, penutupan sementara
itu bukan terlalu lama iaitu hanyalah untuk tempoh masa 20 minit bagi
menunaikan solat.
"Apa yang penting bagi kita umat Islam adalah mendahulukan solat dari
segalanya, jadi kita berharap kepada mana-mana peniaga umat Islam di
daerah ini supaya dapat menutup perniagaan mereka sementara bagi
menunaikan solat.
"Kita (MPK) percaya perniagaan mereka selepas itu pasti akan mendapat
lebih berkat kerana mendahulukan solat yang merupakan fardu bagi umat
Islam," katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, pelaksanaan itu akan dilakukan
secara berterusan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.
"Kita akan laksanakan untuk peniaga pasar malam sahaja yang mana ada
antara mereka berniaga berdekatan dengan masjid dan surau yang pastinya
menuntut untuk peniaga itu menunaikan solat terlebih dahulu.
"Selain keuntungan, perkara utama yang ingin kita capai adalah keberkatan dari Allah SWT untuk kita berniaga," katanya.
Sementara itu, katanya, MPK telah menyampaikan sumbangan kepada 195
masjid dan surau di daerah ini sempena menyambut Ramadan kali ini.
"Selain itu, kita juga akan menganjurkan majlis berbuka puasa di 15 masjid yang terpilih di daerah ini," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 2 Jul. 2014 | Terbitan 3 Jul. 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan