Kira-kira 40 peratus peniaga telah memulakan perniagaan di Pasar Siti Fatimah Rantau Panjang, bermula awal Ramadan lalu |
Yang Dipertua Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM), Ahmad Robert Abdul Rahim berkata, pihaknya menjangkakan lebih ramai akan memulakan perniagaan di pasar berkenaan menjelang dua minggu sebelum Syawal.
Menurutnya, sekiranya lebih ramai peniaga membuka premis perniagaan, suasana akan lebih menarik, sekali gus pengunjung akan lebih berminat untuk membeli belah di situ.
Beliau berkata, terdapat sebahagian peniaga menunggu beberapa hari selepas ketibaan Ramadan sebelum membuka premis perniagaan baharu.
"Sebelum ini ada peniaga merungut mengenai bekalan elektrik. Namun selepas pemantauan, sebahagian besar premis perniagaan sudah mendapat bekalan elektrik beberapa hari sebelum umat Islam mula berpuasa.
"Masalah bekalan elektrik terletak di bawah bidang kuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB). Lebih cepat peniaga melunaskan kos penyambungan elektrik, lebih cepat mereka akan menerima kemudahan berkenaan," katanya.
Sementara itu, seorang peniaga ditemui, Mariam Abdul Rahman, 62 berkata, dia mengambil kesempatan memulakan perniagaan pada bulan Ramadan sebagai persediaan awal menghadapi Aidilfitri.
Menurutnya, langkah itu akan menarik lebih ramai pengunjung dan ia juga merupakan promosi awal menjelang Syawal, sekali gus salah satu langkah memperkenalkan premis perniagaan baharu kepada pelanggan-pelanggan tetapnya.
"Walaupun hasil yang diterima tidak sebanyak ketika berniaga di pasar lama, namun masih terlalu awal untuk berputus asa. Peniaga lain juga turut bersemangat mencari rezeki di tapak baharu ini," katanya.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 4 Jul. 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan