Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 31 Oktober 2018

Single Dad Cendol bukan biasa-biasa

Hasbullah menyediakan cendol di gerainya ‘Single Dad Cendol’.
TANAH MERAH: Single Dad Cendol nama unik diilhamkan seorang peniaga di daerah ini yang menampilkan kelainan tersendiri dengan menjual cendol menggunakan basikal antik diubah suai.

Keistimewaan yang ditonjolkan itu kini menjadi fenomena di daerah ini apabila idea menggunakan basikal antik bagi jualan cendol oleh peminat barangan terbabit, Hasbullah Mohd Nawi, 35, juga mampu membantu dirinya menjana pendapatan sampingan.

Hasbullah berkata, idea itu timbul dalam usaha mengembalikan nostalgia zaman cendol sekitar tahun 70-an dan 80-an yang ketika itu cendol dijual dengan menggunakan basikal.

“Maka saya cuba hidupkan semula jualan cendol menggunakan air batu tongkol dan dikisar menggunakan pengisar air batu secara manual berbanding mesin automatik menggunakan elektrik yang selalu digunakan peniaga sekarang. Lebih menarik adalah air batu tongkol dikisar di atas basikal klasik yang direka khas.

“Sebagai penggiat basikal klasik Kelantan dan Malaysia, saya mahu tonjolkan kepada masyarakat berkaitan basikal antik di jalanan dan konsep itu diilhamkan dalam usaha berkongsi idea dengan pelanggan yang datang di gerai cendol ini,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Menurutnya, lebih istimewa apabila basikal yang digunakan itu adalah basikal antik miliknya yang dibawa pulang dari England ketika merantau mencari barangan antik di luar negara.

“Saya harap gerai ini juga dapat mengumpulkan peminat-peminat barangan klasik di satu lokasi dan dapat bertukar-tukar pandangan dan pendapat.

“Usaha saya ini juga selain berniaga, sebenarnya adalah untuk memperkenalkan barangan antik dan mesin kisar yang mungkin tidak pernah dilihat generasi baru,” katanya.

Basikal antik yang diubahsuai antara yang menjadi tarikan di gerai cendol itu.
Hasbullah berkata, dia turut memberi peluang kepada pelanggan untuk mencuba sendiri mengisar air batu tongkol di gerainya yang terletak di tepi Kasut You Bandar Baru Tanah Merah, di sini.

“Nama ‘Single Dad Cendol’ ini sebenarnya dizahirkan dari nama peminat barangan antik yang pada mulanya melalui nama Kami, Karat England dan sebuah Kafe Single Dad Kafe dan akhirnya saya ambil keputusan menggunakan nama ‘Single Dad Cendol’ yang bukan sahaja unik malah mudah untuk diingati.

“Selain itu gerai ini juga turut dihiasi dengan vespa serta basikal roda tiga buatan England sebagai satu lagi daya tarikan ke gerai cendol ini yang dibuka pada jam 10 pagi hingga 5 petang setiap hari,” katanya.

Hasbullah menambah, dia juga mempunyai perancangan untuk terus memajukan gerai cendol ini dengan mewujudkan sudut barangan antik yang akan diletakkan pelbagai jenis radio klasik dan mesin jahit lama semuanya buatan England untuk tatapan umum.

“Di samping itu saya mahu pelanggan rasa cendol kita dengan slogan “Tak Keno Takpo Keno Rindu” yang juga akan menjadi tarikan kepada pelanggan cendol Single Dad.

“Harga bagi semangkuk cendol yang dijual dalam mangkuk besi hanya RM2, RM2.50 untuk tambahan jagung dan kacang dan RM3 untuk hidangan istimewa bersama pulut, tapai, jagung dan kacang,” katanya.
 
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 31 Oktober 2018

Kelantan minta Petronas kemuka jumlah rasmi bayaran royalti

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan meminta Petronas agar mengemukakan jumlah rasmi bayaran royalti yang harus diterima oleh negeri berkenaan sejak pengeluaran petroleumnya bermula 1982.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata ia berikutan sehingga kini Kerajaan Negeri Kelantan tidak menerima sebarang angka yang khusus berhubung perkara berkenaan.

"Cuma untuk makluman Yang Berhormat, setakat ini saya boleh sebut saya rasa, berdasarkan maklumat-maklumat yang kita kumpul daripada laporan dan jawapan menteri di Parlimen, daripada mula-mula pengeluaran petroleum hasil laut yang digali dari Kelantan, kita sepatutnya menerima bayaran daripada Petronas melebihi RM14 bilion.

"Kalau kita dapat harta ini kita dapat melihat berapa banyak sebenarnya duit kita yang telah diambil oleh Kerajaan Persekutuan (selama ini)," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Mohd Amar menjawab soalan tambahan dikemukakan Abdul Rahman Yunus (PAS-Pasir Tumboh) yang mahu tahu mengapa Kerajaan Negeri Kelantan tidak memasukkan terimaan hasil royalti dalam Belanjawan 2019 bagi meningkatkan kewangan negeri.

Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata banyak perkara boleh diselesaikan jika Kerajaan Persekutuan membayar kesemua jumlah tuntutan royalti Kelantan termasuklah masalah bekalan air, perumahan mampu milik dan sampah.

"Bukan kita nak cari alasan tapi itulah realiti, sebab orang Kelantan kata dah, 'takdok pitih bodo selalu, ado duit cerdik selalu'.

"Apa yag kita tuntut adalah hak yang kita. Jadi kalau kita setakat nak minta pinjam RM90 juta pendahuluan tu tak ada apa-apalah sebab duit kita banyak lagi dengan Kerajaan Persekutuan, dan kalau kita berhutang lebih RM300 juta dengan Kerajaan Persekutuan, boleh dikira kecil lagi (berbanding) duit yang disimpan RM14 bilion itu," katanya.

Terdahulu, Mohd Amar menjawab soalan dikemukakan Saiful Adli Abu Bakar (PAS-Salor) yang mahu tahu apakah strategi Kerajaan Negeri untuk meningkatkan jumlah hasil negeri dan adakah Kerajaan Negeri Kelantan mempunyai sumber baharu sebagai alternatif meningkatkan kewangan negeri.

Menjawab soalan berkenaan, Mohd Amar berkata ada beberapa strategi jangka pendek diambil Kerajaan Negeri Kelantan untuk tujuan berkenaan, antaranya pelarasan kadar baharu bayaran perkhidmatan membabitkan bayaran pendaftaran pindah milik pendaftaran gadaian dan bayaran royalti gadaian batuan.

Selain itu, ia membabitkan pelarasan cukai tanah di seluruh negeri, pungutan royalti mineral berasaskan keluaran secara bulanan dan mewartakan kawasan mendulang di bawah Seksyen 14 Enakmen Mineral 2001 bagi membolehkan pihak-pihak yang berminat memohon lesen dan memberi pulangan kepada Kerajaan Negeri Kelantan.

Sumber: Bernama | 31 Oktober 2018

12,672 bakal isi jawatan MPKK di Kelantan, LTSIP diharap dapat dinaik taraf sebagai sebuah lapangan terbang antarabangsa

Husam Musa
KOTA BHARU: Seramai 12,672 individu akan dilantik menganggotai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kelantan yang diwujudkan di kesemua 792 kampung di seluruh negeri ini.

Pengerusi Pakatan Harapan negeri, Datuk Husam Musa berkata, pemilihan bagi jawatan tersebut dibuat kedua-dua belah pihak iaitu Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Pas Kelantan dan akan berkuat kuasa pada 1 Januari depan.

“Setiap MPKK di kampung-kampung mempunyai 16 anggota dan daripada jumlah itu, 11 anggota dilantik oleh kerajaan negeri manakala lima lagi dilantik oleh Kerajaan Pusat.

“Setiap MPKK akan diberikan geran RM10,000 untuk melaksanakan pelbagai program-program kesejahteraan dan kecantikan kampung,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Santai Petang Bersama Kepimpinan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) negeri di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Husam berkata, MPKK diwujudkan bagi menggantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang dibentuk oleh kerajaan terdahulu.

“MPKK mempunyai peranan sebagai perunding dan pemudah cara di peringkat kampung selain diberi peluang mencadangkan pembangunan projek di tempat masing-masing,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, keputusan Kerajaan Persekutuan untuk meneruskan projek pembinaan lebuh raya di negeri ini merupakan satu khabar gembira dan rakyat berharap projek tersebut dapat disiapkan secepat mungkin.

Dalam masa yang sama, beliau juga berharap Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa bukan sahaja diperbesar, malah dinaik taraf sebagai sebuah lapangan terbang antarabangsa bagi me­lonjakkan sektor pelancongan negeri ini.

Sumber: Utusan Malaysia | 30 Oktober 2018

Gusar banjir teruk: Thailand bina tebatan banjir di tebing Sungai Golok

Projek tebatan banjir tebing Sungai Golok sudah siap dibina oleh kerajaan Thailand bagi mengelakkan limpahan air musim tengkujuh di Rantau Panjang, Kelantan, semalam.
RANTAU PANJANG: Saban tahun pekan ini akan ditenggelami banjir kesan limpahan air Sungai Golok apabila musim tengkujuh me­landa kawasan berkenaan.

Walaupun perkara tersebut sudah menjadi sebahagian dari darah daging mereka, namun penduduk di kawasan tersebut gusar apabila melihat kerajaan Thailand sedang rancak membina tebatan banjir di tebing su­ngai berkenaan ketika ini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati benteng setinggi 1.5 meter sepanjang lebih dua kilo­meter sedang dibina oleh kerajaan negara tersebut bagi mengelakkan limpahan air su­ngai berkenaan memasuki kawasan mereka.

Difahamkan, pembinaan tersebut akan menyebabkan pekan ini akan mengalami banjir lebih teruk daripada biasa, bukan itu sahaja pertambahan paras air sebanyak satu meter dijangka berlaku sekiranya hujan lebat di kawasan berkenaan.

Seorang penduduk, Nik Fariman Nudin Che Ismail,45, berkata, dia gerun memikirkan banjir tahun ini selepas melihat kerancakkan kerja-kerja pembinaan benteng di Thailand.

“Pembinaan benteng ini akan menyebabkan kawasan Rantau Panjang menjadi lebih rendah dan tidak mustahil banjir besar akan berlaku,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambahnya, bukan itu sahaja pembinaan benteng tersebut dijangka menyebabkan aliran air Sungai Golok menjadi deras sekaligus boleh menghanyutkan rumah-rumah pen­duduk di sepanjang tebing.
 
Sumber: Utusan Malaysia | 30 Oktober 2018

Alwi sad that state airport has become a recreational spot for families

Kota Bharu's Sultan Ismail Petra Airport
KOTA BHARU: Kelantan is probably the only place in the world where its people regard the airport as a recreational attraction, said opposition leader Datuk Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas).

Md Alwi said in Kelantan parents would bring their children to the airport just to watch airplanes land and take off.

“As a Kelantanese, I feel embarrassed and sad because the airport is the only big ‘park’ we have.

“All other main cities have central parks (but) we do not have one,” he said at the State Assembly yesterday. Mentri Besar Datuk Ahmad Yakob responded by saying that the state government has the desire but not the capability to establish a central park.

“The desire is strong, but we do not have the capability yet. “When we are able to, we will certainly establish a central park, even if it is further away from the city.

“In the meantime, we have imposed conditions to allow for green spaces in new development areas, such as Tunjong,” he said.

State local government, housing and health committee chairman Dr Izani Husin said Kelantan has 40 recreational parks exclu­ding those in housing estates.

“In the Kota Bharu Municipal Council alone, we have five large recreational parks.

“The local governments manage the parks, and the cost is high,” he said.

On Mohd Adhan Kechik’s (BN-Bukit Bunga) proposal to provide the necessary infrastructure to promote Lojing Highlands as an attractive tourism destination, state tourism committee chairman Md Anizam Ab Rahman said they should take heed of causes of recurring landslides in Cameron Highlands.

Source: The Star Online | 30 October 2018

Kolej Kemahiran Wanita Kelantan bakal dibuka 2021

Para graduan yang menghadiri Majlis Graduasi Pusat Pembangunan Wanita Kelantan (PPWK) Kali Ke-13 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini.
KOTA BHARU: Kolej Kemahiran Wanita Kelantan yang merupakan salah satu janji manifesto Pas negeri dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14) dijangka dibuka pada 2021.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Mumtaz Md Nawi berkata, kolej itu berbeza dengan institusi kemahiran biasa kerana menyediakan pendidikan bersepadu de­ngan aspek spiritual seperti konsep Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

"Penubuhan kolej ini adalah kesinambungan daripada Pusat Pembangunan Wanita Kelantan (PPWK) yang sekarang ini menawarkan kursus tahap sijil, kita mungkin boleh buka lebih awal jika dapat royalti minyak.

"Kita sudah melakukan lawatan ke beberapa institusi kemahiran dalam dan juga luar negara seperti Thailand dan Indonesia untuk mencontohi amalan terbaik masing-masing," katanya selepas Majlis Graduasi Pusat Pembangunan Wanita Kelantan (PPWK) Kali Ke-13 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) di sini, baru-baru ini.

Seramai 345 graduan dari 45 buah PPWK seluruh negeri menerima sijil kursus menjahit dalam majlis itu yang telah dirasmikan isteri Menteri Besar, Datin Siti Zabidah Abdul Hamid.

Sementara itu, Mumtaz berkata, kolej kemahiran wanita itu bakal menawarkan pengajian tahap diploma dalam bidang jahitan, sulaman, masakan dan kraf tangan.

Beliau berkata, kolej itu juga diharap dapat membantu melahirkan bakat dalam warisan kesenian negeri se­perti songket yang semakin ketandusan penggiat.

"Kita berharap untuk melahirkan sumber tenaga wanita yang Islamik, kita realistik kerana kita sudah ada pengalaman lama dengan PPWK dan mempunyai tenaga pengajar mahir yang ada jati diri untuk melaksa­nakannya," katanya.
 
Sumber: Utusan Malaysia | 30 Oktober 2018

ICERD: Pas, UMNO gusar masa depan Melayu, Islam

ADUN Panchor, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah, ditemubual pemberita selepas Sidang DUN Kelantan, di Kompleks Kota Darul Naim.
KOTA BHARU: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini menyaksikan kedua-dua belah pihak iaitu kerajaan negeri dan pembangkang berkongsi pandangan sama berkaitan Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Kedua-dua belah pihak bersetuju tindakan kerajaan Persekutuan mahu meratifikasi ICERD menimbulkan kebimbangan kerana dikhuatiri menjejaskan kedudukan kaum bumiputera dan agama Islam di negara ini.

Timbalan Menteri, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, kerajaan Pas Kelantan akan terus mempertahankan hak-hak keistimewaan orang Melayu sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

"Secara rasmi kita belum berbincang isu ini dengan Pusat tetapi kita berpegang teguh kepada Perlembagaan negara terutama membabitkan Perkara 152, Perkara 59 dan lain-lain.

"Kita mempertahankan perkara ini sejak dahulu lagi kerana tanah ini milik orang Melayu. Orang India ada benua India, orang Cina ada benua China maka tanah Melayu adalah milik orang Melayu,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Md. Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) berhubung pendirian kerajaan negeri terhadap langkah diambil kerajaan Persekutuan yang dikatakan komited mahu meratifikasi konvensyen berkenaan.

Sementara itu, Md. Alwi yang juga Ketua Pembangkang menggesa kerajaan Pusat supaya tidak tergesa-gesa menandatangani sebarang perjanjian antarabangsa seperti ICERD kerana memberi kesan besar terhadap orang Melayu dan kaum lain.

"Parti-parti seperti UMNO, MCA dan MIC kena haram, malah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) iaitu parti Perdana Menteri sendiri pun kena haram sebab berasaskan kaum. Pas juga kena haram sebab ada nama Islam.

"Dari segi implikasinya terhadap insitusi pula, banyak yang akan terjejas seperti Mara, PNB (Permodalan Nasional Berhad), malah mungkin Tabung Haji juga kena haram sebab hanya untuk orang Islam sahaja," katanya.

Tambah beliau, suatu ketika dulu kerajaan Pusat pernah melakukan kesilapan dengan menandatangani satu perjanjian antarabangsa yang mengharamkan penanaman tembakau.

"Akhirnya Kelantan yang menderita paling banyak kerana kita ada ramai penanam tembakau. Walaupun Lembaga Tembakau Negara (LTN) ditukar kepada Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) namun masih tidak dapat membantu penanam tembakau.

"Negara jiran seperti Indonesia, Thailand, Filipina, Brunei malah Singapura pun tak tandatangan. Kita pernah buat kesilapan, itu hanya jejaskan penanam tembakau. Tapi ICERD ini besar, melibatkan maruah bangsa dan negara kita," katanya.

Sumber: Utusan Online | 30 Oktober 2018