SYARIKAT besar ada yang tidak membayar gaji setaraf dengan kelulusan
dan kerja yang ditanggung oleh eksekutif yang baru keluar dari institusi
pengajian tinggi.
Akauntan, jurutera, malah peguam hanya dibayar sekitar RM2,500
sebulan. Syarikat-syarikat ini sebenarnya tidak prihatin dengan pekerja
mereka.
Mereka tidak peka akan keadaan ekonomi negara sekarang yang secara keseluruhannya menunjukkan kadar realiti inflasi yang tinggi.
Bagi yang bergaji sekitar RM2,500, tiada apa yang dapat dibelanjakan
untuk pelaburan selain dari membeli sebuah kereta kecil untuk ke tempat
kerja. Untuk membeli rumah janganlah diharapkan kerana harga rumah
sudah mencecah ratusan ribu ringgit.
Duit mereka hanya boleh digunakan untuk makan dan menyewa rumah
sahaja. Untuk mendapat isteri agak sukar kerana wang hantaran pun sangat
tinggi.
Oleh itu, syarikat besar dan kecil harus peka dan prihatin ke atas
nasib pekerja ini. Kebajikan mereka mestilah dijaga kerana pengeluaran
hasil syarikat tidak akan bertambah jika pekerja berada dalam keadaan
tertekan dan miskin, apatah lagi sebagai seorang eksekutif yang
seharusnya diberikan bayaran yang sewajarnya selepas penat lelah belajar
di universiti.
Sekurang-kurangnya dengan gaji mereka, dapatlah membeli sebuah rumah kecil secara pinjaman. Adalah dicadangkan pendapatan kasar bagi seorang eksekutif yang
makan gaji di Malaysia sekarang mestilah tidak kurang dari RM3,500
sebulan bagi menampung perbelanjaan seperti yang disebutkan.
Syarikat seperti Petronas, Sime Darby, TNB, Telekom dan sebagainya
telah membayar pendapatan sekitar atau lebih dari nilai ini, namun
syarikat besar lain masih membayar gaji kecil kepada eksekutif baru,
sama seperti yang diamalkan oleh kebanyakan syarikat kecil.
Mereka harus sedar bahawa kenaikan gaji ini pun dikira sebagai amal
kebajikan dan satu amalan CSR atau tanggung jawab sosial korporat untuk
kakitangan.
Alias Mohd.
Cendering, Kuala Terengganu
Sumber: Utusan Malaysia | Forum | 14 April 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan