Mustapa Mohamed melihat produk madu yang dipamerkan pada Persidangan Global Halal 2014 di Hotel Perdana, Kota Bharu, Kelantan, semalam. |
KOTA BHARU: Sebuah jawatankuasa antara Kerajaan Pusat dan
Kerajaan Pas Kelantan telah ditubuhkan bagi mempromosikan negeri ini
dalam menarik pelaburan dan meningkatkan sektor perindustrian.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa
Mohamed berkata, jawatankuasa yang diketuai oleh Lembaga Pembangunan
Pelaburan Malaysia (MIDA) itu turut disertai Unit Perancangan Ekonomi
Negeri (UPEN).
Beliau berkata, langkah itu merupakan usaha khusus yang dilakukan
oleh pihaknya untuk menarik pelaburan yang selama ini tidak berkembang
dengan cergas disebabkan beberapa kekangan.
"Jawatankuasa ini akan mencari jalan bagaimana kita boleh
mempromosikan Kelantan. Saya sudah membawa beberapa kumpulan minggu
lepas, seperti Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Kelantan melalui
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
"Hari ini Duta Korea Selatan bersama 12 buah syarikat seperti Samsung
melawat Kelantan, kita tahu ini satu tugas yang mencabar tetapi kita
akan buat yang terbaik," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis
Perasmian Persidangan Global Halal 2014 di sini hari ini.
Yang turut hadir, Naib Presiden Halal Industry Development
Corporation (HDC) Dr. Abd. Malik Mushraf; Pengarah Jabatan Pembangunan
Persekutuan Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha dan Rektor Universiti
Teknologi Mara (UiTM) cawangan Kelantan, Prof. Madya Dr. Hilmi Abdul
Rahman.
Persidangan selama dua hari yang akan berakhir esok dianjurkan oleh UiTM cawangan Kelantan dengan kerjasama MITI dan HDC.
Mustapa yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri
Kelantan berkata, pihaknya bercadang membawa duta dari negara ASEAN
melawat negeri ini bagi memberi pendedahan tentang pertubuhan serantau
itu.
"Kerajaan Pusat telah membuat pelaburan sebanyak RM78 juta untuk
membina infrastruktur taman halal di Pasir Mas bagi merancakkan sektor
tersebut.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 3 Mei 2014 | Terbitan 4 Mei 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan