Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 31 Mei 2014

Orang ramai perlu guna tong gas dengan cara betul

Muhammad Salleh melakukan demonstrasi berkaitan pengguna tong gas di Tunjong, semalam.
KOTA BHARU: Orang ramai dinasihatkan supaya menggunakan tong gas memasak dengan cara yang betul dan memeriksa tahap keselamatannya bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Timbalan Penguasa Bomba Cawangan Keselamatan dan Kesedaran Awam, Ibu Pejabat Bomba Tunjung, Muhammad Salleh berkata, kesedaran masyarakat perlu selain ambil tahu penggunaan gas memasak yang mempunyai jangka hayatnya.

Kita mesti memeriksa keadaan gas ketika mula-mula membelinya di kedai dan melihat keadaannya sama ada berlaku sebarang kerosakan dan terdapat kesan karat atau kemek di bahagian badan gas terbabit.

“Di samping itu kita juga harus memeriksa hos yang digunakan bagi menyambungkan saluran gas dengan dapur gas memasak di dapur sama ada masih dalam keadaan baik atau sebaliknya bagi mengelakkan sebarang kemungkinan berlaku termasuk kebocoran gas,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui semalam.

Muhammad Salleh berkata, di samping itu ketika memasangkan hos penyambungan yang menghubungkan tong gas ke dapur gas, keadaan hos juga perlu diperiksa sama ada boleh digunakan lagi atau sebaliknya.

“Ini bagi mengelakkan sebarang kebocoran gas berlaku yang boleh mengundang kebakaran, malah boleh memusnahkan harta benda,” katanya.

Mengenai kejadian letupan gas di Taman Mimi, Wakaf Bharu 22 Mei lalu, Muhammad Salleh berkata, kejadian itu mungkin berlaku disebabkan kebocoran gas yang digunakan mangsa.

“Rebakan gas yang bocor memenuhi ruang udara yang tertutup di bahagian dapur penghuni kediaman itu.

“Saya nasihatkan orang ramai lebih berhati-hati apabila gunakan tong gas memasak sebelum gunakannya, perlu tahu dengan persediaan rapi bagi elakkan kejadian yang bukan sahaja boleh ragut nyawa malah memusnahkan harta benda,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 30 Mei 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan