KUALA LUMPUR: Ibarat mencegah lebih baik daripada merawat. Persatuan
Bolasepak Malaysia (FAM) bersedia untuk memikirkan langkah tidak
membenarkan penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT) hadir pada perlawanan
separuh akhir kedua di Stadium Darul Makmur, 30 Mei ini.
Menurut Setiausahanya, Datuk Hamidin Mohd. Amin, mereka sedang
mengkaji pelaksanaan idea itu daripada pelbagai pilihan lain yang sedia
ada memandangkan pelbagai langkah telah diambil sebelum ini, termasuk
peningkatan maksimum soal keselamatan namun masih tidak berhasil
membendung tindakan ganas segelintir penonton.
Bagaikan sudah serik dengan permasalahan keganasan dalam bola sepak,
beliau mengakui dengan cara itu pihak keselamatan tidak bimbang akan
berlaku pergaduhan antara penyokong Pahang dan JDT sama ada di dalam
atau luar stadium memandangkan permusuhan antara kedua-dua pihak semakin
menebal semenjak kebelakangan ini.
Setakat ini berdasarkan mesyuarat JKPT yang terakhir, kami masih
bersetuju untuk membenarkan penyokong lawan untuk hadir dan akan terus
memantau perkembangan ini.
Namun, berdasarkan perkembangan mutakhir ini, memang saya nampak ada
segelintir penyokong yang hadir ke stadium cenderung melakukan
keganasan dan kemungkinan perkara ini (menghalang penyokong JDT hadir)
akan dilakukan sambil melihat beberapa pilihan yang lain.
Saya akui JDT dan dan Pahang tiap kali perlawanan berlangsung di
tempat sendiri, mereka dah tingkatkan keselamatan sehingga ke tahap
maksimum tetapi masalah yang sama tetap berulang dan saya tidak boleh
ketepikan untuk menggunakan langkah berkenaan.
FAM akan bertindak tegas dalam soal ini dan penyokong kena faham
kerana semua benda ini dalam peraturan, jika tidak puas hati jangan
smpai langgar peraturan dan kami (FAM) sama sekali tidak akan
berkrompomi," katanya ketika dihubungi, semalam.
Aksi hebat JDT dan Pahang yang berakhir dengan keputusan seri 1-1 di
Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Isnin lalu direncatkan dengan
sikap 1,000 penyokong pasukan tuan rumah yang berkumpul di luar
perkarangan stadium selepas tamat perlawanan dan mendesak penyokong
pelawat serta pemain Pahang keluar daripada stadium.
Sementara itu dalam insiden sama, seorang jurukamera sambilan RTM, Awang Sebawi Awang Halim mendakwa disepak penyokong JDT.
Sebelum ini, pada aksi Liga Super, 7 Februari lalu membabitkan antara
kedua-dua pasukan, kumpulan penyokong JDT yang digelar Inter Johor
Firm(IJF) membuat rusuhan di luar Stadium Darul Makmur selepas
perlawanan.
Berdasarkan insiden yang terjadi, Hamidin menjelaskan pihak
Sekretariat sedang menunggu laporan perlawanan daripada Komisioner
Perlawanan, Ketua Penyelaras dan pengadil perlawanan sebelum
mempertimbangkan sama ada kes akan dikenakan kepada JDT melalui
Persatuan Bola Sepak Negeri Johor(PBNJ).
Jelas beliau, FAM telah mengenalpasti beberapa stadium yang dilihat
sering kali terjadi isu keganasan membabitkan penyokong sambil menggesa
mereka mencontohi Kelantan dalam soal mendidik penyokong untuk jangka
panjang.
Sumber: Utusan Malaysia | Sukan | 7 Mei 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan