SELARAS dengan namanya yang cukup gah Lapangan Terbang Antarabangsa
Melaka (LTAM) seakan-akan mati ditelan arus masa dan lapangan terbang ini tidak
setaraf dengan namanya yang ada diselitkan perkataan 'Antarabangsa'.
Hal ini berkemungkinan berpunca kurang sambutan mahupun kurang
kejayaan promosi LTAM menembusi tanah air berkemungkinan juga tiada
inisiatif yang diambil oleh pihak tertentu dalam memastikan LTAM
sentiasa berada pada status lapangan terbang yang aktif seperti di
beberapa negeri yang lain.
Jika kita nilai pada hari ini, Melaka tidak kurang hebatnya seperti
negeri-negeri lain, malahan lokasi yang strategik serta destinasi
pelancongan yang pelbagai menjadi punca negeri ini menjadi tumpuan
pelancong dalam dan luar negara.
Rata-rata pelancong yang datang ke Melaka turut memuji aspek asas
iaitu mengenai keindahan, kebersihan dan pelbagai tempat tumpuan
pelancong menjadikan nama Melaka mahsyur dan dikenali ramai.
Pada sekitar 2002, berita baik diterima oleh hampir keseluruhan
rakyat negeri itu berhubung perancangan kerajaan negeri menaik taraf
Lapangan Terbang Batu Berendam ke taraf antarabangsa.
Rakyat Melaka amat berbesar hati dan menyambut baik cadangan kerajaan negeri berhubung kerja menaik taraf lapangan terbang itu.
Beberapa tahun kemudian, kerja-kerja menaik taraf lapangan terbang dilaksanakan dan projek tersebut siap sepenuhnya pada 2011.
Semasa pelancaran LTAM yang disempurnakan oleh bekas Ketua Menteri
Melaka pada masa itu, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, beliau bagi pihak
kerajaan negeri telah menjemput ramai kalangan pengamal media tempatan
dan luar negara.
Itu adalah merupakan gambaran semasa LTAM baharu sahaja selesai
dinaik taraf, tetapi pada hari ini apa dilihat adalah sesuatu figura
yang begitu berbeza dan nama LTAM tidaklah gah seperti namanya.
Untuk makluman, saya juga pernah sengaja berkunjung ke LTAM beberapa
kali pada 2012 dan pertengahan tahun 2013 untuk melihat akan suasana
lapangan terbang yang dikatakan bertaraf antarabangsa.
Pada kunjungan pertama, saya dapat melihat keadaan di dalam bangunan
terminal utama yang begitu lengang walaupun pada masa itu terdapat
penerbangan antara Melaka ke Pekanbaru dan juga Riau, Indonesia.
Sudah difahami, ia sudah tentu tidak semeriah dan sesibuk lapangan
terbang lain yang saya pernah kunjungi seperti di Langkawi, Kuching,
Kota Kinabalu dan Kuala Terengganu kerana jumlah perlepasan dan ketibaan
yang kerap oleh pesawat komersial yang beroperasi di situ.
Gambaran suasana agak sibuk dan sentiasa dipenuhi orang ramai adalah
berbeza manakala kemudahan fasiliti lapangan terbang mereka adalah jauh
lebih baik di LTAM yang tidak seperti kemudahan yang ada pada lapangan
terbang bertaraf antarabangsa di negeri lain.
Pada kunjungan saya kali kedua, terdapat penerbangan Melaka Airways.
Mana tidaknya selepas pelepasan penerbangan itu suasana dalam terminal
utama menjadi senyap sunyi. Keadaan beberapa premis perniagaan di
terminalnya tidak meriah.
INSAN MAHU PERUBAHAN
Melaka
Sumber: Utusan Malaysia | Forum | 4 Februari 2014
Ulasan penulis: Pengendali Lapangan Terbang Melaka (LTM), iaitu Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) hanya mengiktiraf lapangan terbang ini sebagai lapangan terbang domestik dan bukannya lapangan terbang antarabangsa. Nama sahaja yang gah tidak cukup untuk menarik syarikat penerbangan tempatan seperti Firefly Airlines, Malaysia Airlines, AirAsia, dan Malindo Air untuk beroperasi dari LTM. Sebenarnya ramai rakyat Melaka yang mengambil penerbangan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Dalam perkara ini, LTM boleh dijadikan sebagai pangkalan tentera udara, manakala warga Melaka boleh menggunakan KLIA sebagai pintu keluar masuk utama ke Melaka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan