Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 15 Mei 2014

PNK Bachok desak segera dalamkan tiga muara sungai

Nelayan muara Sungai Gali Kandis, di Bachok, Kelantan terpaksa menunggu air pasang bagi membolehkan mereka ke laut setiap hari.
BACHOK: Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Bachok mendesak pihak berkuasa supaya mengambil tindakan segera mendalamkan muara Sungai Gali Kandis, Sungai Kemasin dan Sungai Pantai Senok.

Pengerusinya, Mohd. Saripudin Ishak berkata, ketiga-tiga muara sungai itu semakin cetek dan menghalang laluan bot nelayan ketika air surut.
 
Beliau berkata, masalah tersebut telah menjejaskan nasib 1,200 ahlinya yang bergantung sepenuhnya kepada hasil tangkapan ikan di laut. 

“Kita akan terus memperjuangkan nasib ahli-ahli persatuan dan masalah ini telah dibangkitkan sejak tahun 2010 melalui usul yang diluluskan dalam mesyuarat agung tahunan. 

“Sejak daripada itu, setiap tahun kita mengemukakan masalah ini kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) negeri malah kita juga telah menghantar surat kepada Persatuan Nelayan Negeri Kelantan (Peneka), namun tidak ada sebarang tindakan yang diambil," katanya ketika ditemui di Pantai Kemasin di sini hari ini. 

Mohd. Saripudin berkata, paling kritikal ialah muara Sungai Kemasin yang dipenuhi dengan timbunan beting pasir sehingga menyukarkan bot laut dalam masuk ke kawasan pendaratan ikan di sini.

“Sejak kebelakangan ini sudah banyak bot besar terkandas dan sebahagiannya tenggelam di muara berkenaan akibat merempuh beting pasir. 

“Keadaan itu menyebabkan bot-bot besar terpaksa masuk ke pangkalan ikan Tok Bali," katanya. Katanya, masalah itu juga menyebabkan kawasan pendaratan ikan di jeti pantai Kemasin dan Pangkalan Petah menjadi lengang kerana hasil tangkapan ikan sudah tidak didaratkan di situ.

Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah Peneka berkata, kerajaan Pusat perlu memberi perhatian yang segera untuk membantu nelayan tanpa perlu bergantung kepada kerajaan negeri yang tidak mengambil tahu masalah mereka.

“Kita juga hairan apabila projek Kerajaan Pusat menerusi JPS bagi membangunkan semula muara Kemasin tertangguh sejak sekian lama walaupun peruntukan telah diluluskan. 

“Hanya pembinaan benteng hakisan pantai sepanjang 800 meter sempat dibina dan usaha menyedut beting pasir hanya sekali sahaja dilakukan pada tahun 2008," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 11 Mei 2014 | Terbitan 12 Mei 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan