KOTA BHARU: Kelantan mencatatkan jumlah kedatangan pelancong
kira-kira 1.2 juta orang dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini iaitu
dari Januari hingga Mac.
Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan negeri,
Datuk Md. Anizam Abdul Rahman berkata, kerajaan negeri yakin sasaran
untuk menerima enam juta pelancong pada tahun ini dapat dicapai
berdasarkan pelbagai kemudahan dan prasarana yang terdapat di negeri
ini.
Berdasarkan beberapa kemudahan yang ada termasuklah kaedah
perhubungan yang semakin pesat membangun sekarang ini akan memberi
kemudahan kepada pelancong datang ke negeri ini selain, kemudahan tempat
tinggal yang sempurna dan menarik untuk penginapan.
Kita juga turut mendapat sokongan daripada kementerian pelancongan
dalam pelbagai aspek, dan sokongan itu sudah semestinya akan membantu
melonjakkan lagi pembangunan sektor pelancongan di negeri ini
khususnya," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Tambahnya, jumlah kedatangan pelancong dijangka meningkat pada musim
cuti sekolah dan cuti umum di samping dengan usaha promosi yang sedang
giat dijalankan secara berterusan.
Beliau berkata, sektor pelancongan di negeri ini menerusi pakej
ekopelancongan tetap akan menjadi tarikan kepada pelancong dari dalam
dan luar negara.
Insya-Allah, kita akan berusaha menambah beberapa prasarana dengan
menaik taraf kemudahan yang ada bagi memberi lebih keselesaan kepada
pelancong," katanya.
Jelasnya, pelbagai aktiviti dirancang termasuk memperkenalkan konsep
ekopelancongan membabitkan kawasan selatan Kelantan bermula dari Kuala
Krai hingga Lojing di Gua Musang bagi menarik lebih ramai pelancong.
Kawasan ini mempunyai keunikannya yang tersendiri dari segi budaya,
alam semula jadi dan sebagainya dan ia sememangnya amat berpotensi untuk
dijadikan produk pelancongan bertaraf antarabangsa.
Untuk itu kita akan tumpukan kepada makanan, budaya dan kehidupan
serta alam semula jadi dalam mempromosi produk pelancongan kepada umum
kerana negeri Kelantan juga turut mempunyai keunikan yang tersendiri
dalam perkara ini yang mungkin tidak terdapat di negeri lain," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 12 Mei 2014 | Terbitan 13 Mei 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan