Gambar Hiasan. Jurulatih sedang memantau sesi latihan atlit bimbingannya untuk menjamin prestasi baik dalam setiap kejohanan. |
KUALA LUMPUR: Jurulatih tempatan sepenuh masa dan
sambilan di bawah program Majlis Sukan Negara (MSN) kini menikmati skim
gaji dan elaun baharu membabitkan kenaikan antara 30 hingga 50 peratus.
Cadangan penetapan gaji dan elaun baharu untuk jurulatih lantikan
baharu dan yang sedang berkhidmat itu diluluskan pada Mesyuarat Lembaga
Pengurus MSN semalam, selepas mengambil kira tidak berlaku sebarang
pergerakan gaji jurulatih tempatan secara rasmi sejak Skim Pekerjaan
Jurulatih Kebangsaan diwujudkan dan diluluskan Kabinet pada Jun 2006.
Skim dan elaun gaji baharu itu berkuat kuasa Mac, melibatkan 192 jurulatih sepenuh masa dan sambilan yang sedang berkhidmat.
Tangga gaji yang diluluskan membabitkan semua peringkat jurulatih sepenuh masa bermula dari RM1,900 sehingga RM4,500 sebulan.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dalam kenyataan pada Rabu
berkata, Lembaga Pengurus MSN berpendapat sudah tiba masa jurulatih
mendapat pengiktirafan atas pengorbanan, ketekunan dan kejujuran mereka
berdasarkan tahap Skim Persijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPPK)
masing-masing.
"Ia juga sebagai dorongan kepada jurulatih tempatan untuk meneruskan
usaha murni mereka selain dapat menarik minat lebih ramai bekas atlet
atau penggiat sukan untuk menceburi bidang kejurulatihan.
"Berbekalkan tangga gaji baharu ini, bidang kejurulatihan di Malaysia
kini adalah satu kerjaya yang mampu menjamin masa depan," katanya.
Menurut Khairy, MSN diminta melakukan penilaian semula berhubung
tangga gaji sedia ada jurulatih tempatan pada Disember tahun lalu
sebelum dikemuka dan dilulus pada mesyuarat Lembaga Pengurus MSN.
Di bawah tangga gaji baharu, jurulatih yang mempunyai SPKK Tahap 3
akan mendapat imbuhan paling tinggi iaitu sehingga 50 peratus kenaikan
gaji berbanding sekarang.
"Jurulatih tempatan yang mempunyai SPKK Tahap 3 dianggap setaraf
dengan jurulatih luar negara yang kini berkhidmat di bawah program MSN,"
katanya.
Beliau juga berharap dengan skim gaji baharu ini, persatuan sukan
kebangsaan (PSK) dapat melahirkan lebih ramai jurulatih SPKK Tahap 3
agar dapat mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga dan kepakaran
jurulatih asing pada masa akan datang.
Sumber: mStar Online | Sukan | 21 Mei 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan