Anggota polis merampas barangan elektronik milik kelab malam semasa operasi di sebuah premis di pekan Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan, semalam. |
TUMPAT: Sebuah premis yang menjalankan aktiviti hiburan secara
haram termasuk menjual minuman keras tanpa lesen di pekan Wakaf Bharu
di sini, masih berdegil apabila meneruskan operasinya walaupun telah
diserbu beberapa kali oleh pihak berkuasa.
Pegawai Turus Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu
Pejabat Polis Kontinjen negeri, Asisten Supritendan Nik Rosdi Nik Yahya
memberitahu, dalam serbuan terbaru kira-kira pukul 12 tengah malam tadi,
beberapa peralatan karaoke seperti layar putih, projektor serta
mikrofon yang dianggarkan bernilai RM5,000 turut dirampas.
Pusat karaoke haram yang bersebelahan dengan sebuah hotel bajet itu
dipenuhi pelanggan bermula pukul 11 malam. Pemiliknya bukan sahaja
menyediakan layar putih dan projektor untuk berkaraoke, malah menjual
minuman keras.
Mereka sudah beberapa kali diserbu dan premis disita namun masih
berani menjalankan perniagaan sama," katanya ketika ditemui selepas
operasi tersebut, di sini malam tadi.
Ketika serbuan dilakukan, terdapat enam pelanggan terdiri daripada
lima wanita warga Thailand dan seorang lelaki tempatan sedang duduk
sambil meneguk arak.
Menurut Nik Rosdi, kelima-lima wanita warga Thailand tersebut yang
mempunyai pas lawatan sosial sah, mendakwa memasuki Malaysia sekadar
untuk berhibur bersama rakan-rakan.
Kami tidak mengesan aktiviti pelacuran di premis ini, namun maklumat
diri kesemua gadis terbabit diambil untuk pemantauan," katanya.
Kata beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 6, Enakmen Hiburan Negeri Kelantan kerana menjalankan aktiviti hiburan tanpa lesen.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 6 Mei 2014 | Terbitan 7 Mei 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan