KOTA BHARU: Pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai
membabitkan Pakej 2B: Kadok-Ketereh, sejauh 6.4 kilometer akan mula
dilaksanakan awal tahun depan.
Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Datuk Makhtar
Mustapha berkata, pakej itu yang membabitkan kos sebanyak RM170 juta
dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.
Tender akan diperoleh pada bulan Julai depan dan syarikat yang
memenangi tender terbuka itu akan memasuki tapak dan membuat kerja-kerja
pembinaan.
Pelaksanaan projek tersebut dijalankan serentak dengan Pakej 1B dari
Pasir Hor ke Kadok yang sudah dilaksanakan pada April lalu. Ini kerana
kontraktor yang melaksanakan projek fasa 2B ini berlainan dengan fasa
1B," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Mesra Belia Jom
ke Putrajaya di Kompleks Belia dan Sukan negeri, Panji di sini semalam.
Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin
telah merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala
Krai (Pakej 1B: Pasir Hor ke Kadok).
Lebuh raya tersebut merupakan salah satu daripada tujuh janji Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Pilihan Raya Umum Ke-13
(PRU-13) sekiranya Barisan Nasional (BN) berjaya mengambil alih
pentadbiran negeri itu.
Projek Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai sepanjang 73.5 kilometer
dianggarkan melibatkan kos sebanyak RM1.8 bilion itu melalui tiga fasa
pembinaan.
Pakej 1B dari Pasir Hor ke Kadok sepanjang tujuh kilometer itu
melibatkan kos RM168.5 juta dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.
Tambah Makhtar, beliau berharap projek terbabit akan dapat disiapkan
mengikut jadual, sekali gus dapat merealisasikan impian rakyat Kelantan
selama ini.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 11 Mei 2014 | Terbitan 12 Mei 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan