Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 25 April 2015

Operasi meroboh premis haram di Kok Lanas oleh MDK-PI berjalan lancar

Antara gerai yang dirobohkan dalam Ops Roboh di Kok Lanas, semalam.
KOTA BHARU: Tempoh hampir setahun yang diberikan dan beberapa kali notis amaran diterima peniaga, ternyata langsung tidak diendahkan malah ada di antara mereka yang masih lagi menjalankan perniagaan di kawasan kaki lima di sekitar jalan Politeknik Kota Bharu di Kok lanas di sini, walaupun tidak mendapat kelulusan.

Ada yang turut membesarkan kedai dengan binaan sementara bagi menarik pelanggan berkunjung ke premis mereka biarpun kawasan terbabit tidak pernah diwartakan sebagai kawasan perniagaan.

Atas tindakan itu, Majlis Daerah Ketereh-Perbandaran Islam (MDK-PI) menjalankan ops roboh bagi memastikan kawasan berkenaan bebas dari kesesakan memandangkan ia menjadi kawasan tumpuan.

Operasi yang dijalankan itu, diketuai Penolong Pegawai Undang-Undang (MDK-PI), Nazatul Aisya Hashim serta Ketua Operasi Wan Molly Wan Othman bersama 16 anggota, dua anggota polis dan dua pemandu lori.

Wan Molly berkata, dalam operasi terbabit peniaga ternyata akur dengan keputusan yang dibuat oleh MDK-PI tanpa sebarang bantahan dibuat dan tiada kekecohan berlaku.

“Ini memandangkan mereka sudah lama diberi peluang dan tidak menjalankan perniagaan mereka di kawasan itu namun masih ada yang menjalankan operasi walaupun sudah kerap kali diberi notis amaran.

Bukan kita tidak beri mereka masa, lagipun kawasan ini merupakan tanah rizab jalan dan mereka tidak seharusnya membina apa-apa binaan dan lokasi ini tidak sesuai untuk berniaga,” katanya kepada Sinar Harian.

Wan Molly berkata, dalam ops berkenaan tujuh premis yang membina binaan sementara dikenakan tindakan di bawah Seksyen 70 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Sementara itu, seorang peniaga Siti Khadijah Abdullah, 60, berkata, dia yang baru mula berniaga di kawasan itu, terpaksa akur dengan keputusan pihak MDK-PI.

“Saya menjual buah-buahan termasuk tembikai serta tembikai susu dengan binaan bangsal kecil di kawasan ini.

“Lagipun saya hanya membantu anak berniaga di kawasan ini, dan selepas ini akan terus berniaga memandangkan ini merupakan punca rezeki, namun akan cuba patuhi undang-undang ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 24 April 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan