Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 2 April 2015

Polis Bachok buru anggota 11 sindiket curi kereta

BACHOK: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok kini memburu beberapa suspek daripada 11 sindiket curi kereta yang bergiat aktif di jajahan ini.

Ketua Polis Daerah Bachok DSP Abdul Hamid Che Ahmad berkata pihaknya berjaya mengesan sindiket berkenaan hasil siasatan terhadap dua pemuda yang ditahan ketika sedang mencuri sebuah Perodua Kancil di Kampung Kuin Pasir, Jelawat, di sini, Selasa.

"Hasil siasatan terhadap kedua-dua suspek, kami berjaya mendapatkan maklumat berkaitan 11 kumpulan lain yang masih aktif mencuri kereta di Jajahan Bachok," katanya pada sidang media di IPD Bachok di sini, Rabu.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata kedua-dua suspek yang berusia 21 dan 31 tahun itu ditangkap penduduk kampung berkenaan pada pukul 5 pagi selepas pemilik kenderan itu menyedari keretanya cuba dicuri oleh dua lelaki terbabit.

"Pemilik kereta berkenaan tersedar daripada tidur apabila terdengar enjin keretanya yang diletak berhampiran rumahnya cuba dihidupkan.

"Pemilik kereta berkenaan mengintai dari tingkap rumahnya dan mendapati keretanya cuba dicuri lalu mendapatkan bantuan penduduk kampung serta pihak polis sehingga kedua-dua suspek berjaya ditangkap," katanya.

Abdul Hamid berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan kerana mencuri dan kedua-dua suspek ditahan reman selama empat hari bermula Rabu bagi membantu siasatan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata dalam tempoh Januari hingga Mac tahun ini, sebanyak 55 laporan kehilangan kenderaan telah dibuat dengan 18 kes berjaya diselesaikan serta 10 suspek ditahan atas kesalahan sama.

Selain itu, sepanjang tahun lepas pihaknya berjaya menyelesaikan 72 daripada 198 kes kecurian kenderaan yang dilaporkan dengan melakukan 39 tangkapan.

Sumber: BERNAMA | 1 April 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan