Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 10 April 2015

Penyalahgunaan dadah jenis sintetik meningkat - polis

KOTA BHARU: Penyalahgunaan dadah jenis sintetik seperti syabu dan pil kuda semakin meningkat di negara ini berbanding dadah jenis tradisional seperti heroin dan ganja.

Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan,Pencegahan, Kepolisan Am) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Jamaludin Kudin berkata pada tahun lepas, 81,435 penagih ditangkap kerana terlibat dengan dadah sintetik berbanding 39,940 penagih dadah jenis tradisional.

"Kami anggarkan setiap tahun ia meningkat sebanyak 10 peratus," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam anjuran Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan di sini, Khamis malam.

Beliau berkata pihak polis telah lama memerangi dadah tradisional dan masalah itu masih belum selesai, kini ditambah pula penggunaan dadah sintetik yang mudah diperoleh.

Katanya sindiket dadah jenis sintetik ini mempunyai kemampuan kewangan yang besar termasuk untuk mengupah pakar kimia yang paling bijak untuk menghasilkan dadah jenis berkenaan.

Jamaludin berkata sindiket ini juga aktif untuk mencari pengedar dan penagih baharu termasuk kalangan pelajar sekolah untuk meneruskan perniagaan mereka.

Sehubungan itu, beliau mahu semua pihak termasuk masyarakat bekerjasama dengan polis bagi mengatasi masalah berkenaan.

Beliau juga berkata pada tahun lepas, jumlah pengedar dadah yang ditahan di seluruh negara seramai 16,193 orang manakala 158,234 adalah penagih baharu dan berulang.

Sumber:  BERNAMA | 10 April 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan