KUANTAN: Dalam usaha mengurangkan pengaliran wang ke luar negara dan menyemai sifat cintakan keindahan alam semula jadi di kalangan pelancong domestik di negeri ini, Tourism Malaysia Pahang kini giat membantu mempromosi produk pelancongan menarik di utara tanah air.
Pengarah Tourism Malaysia Pahang, Mohd Faharuddin Hatmin berkata, pertambahan bilangan pelancong mampu menjana pertumbuhan ekonomi negara termasuk industri perhotelan, taman tema, restoran dan pusat beli-belah.
"Sedar atau tidak, apabila kita melancong dalam negara, kita sebenarnya berpeluang mengenali dengan lebih dekat destinasi pelancongan, kebudayaan, kepelbagaian makanan dan warisan negara.
"Secara langsung juga kita turut membantu melonjak ekonomi negara. Berikutan itu Tourism Malaysia Pahang kini giat membantu usaha mempromosi Pulau Pinang kepada pelancong dari Pantai Timur sempena Tahun Festival Malaysia (MyFest) 2015 dan Tahun Melawat Pulau Pinang pada tahun ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa program Media Myfest 2015 FAM Trip ke Pulau Pinang bersama pengamal media Pahang baru-baru ini yang diadakan dengan dengan kerjasama syarikat penerbangan komuniti, FlyFirefly Sdn Bhd (Firefly).
Dalam masa yang sama beliau turut berharap kemasukan pelancong dari Pulau Pinang khasnya ke negeri ini dapat memperkukuhkan lagi jaringan kerjasama dengan penggiat industri pelancongan Pulau Pinang.
Sementara itu, Pengarah Tourism Malaysia Pulau Pinang, Harun Pilus berkata, pelancongan domestik juga dapat memupuk semangat patriotik selain mengeratkan perpaduan di kalangan rakyat tempatan.
"Tourism Malaysia Pulau Pinang amat komited untuk terus memajukan sektor pelancongan domestik. Bagaimanapun, usaha ini memerlukan komitmen yang serius daripada semua pihak terutamanya sektor swasta.
"Kerjasama antara agensi kerajaan dan sektor swasta seperti ini amatlah dialu-alukan kerana ia mampu membantu mempromosikan pelbagai destinasi pelancongan sekali gus menggalakkan pelancongan domestik," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Firefly Ignatius Ong pula berkata, setakat ini Firefly menyediakan tiga kali penerbangan setiap minggu dengan tambang serendah RM79 bagi menghubungkan kedua-dua negeri ini.
Katanya, Firefly mula memberi perkhidmatan antara kedua-dua negeri ini sejak tahun 2007 dan sehingga kini Firefly memiliki 17 pesawat iaitu 12 Turboprop ATR 72-500 dan lima Turboprop ATR 72-600.
"Penerbangan terus mengambil masa satu jam 30 minit itu memberikan keselesaan kepada penumpang terutama mereka yang mempunyai urusan dan mahu sampai awal ke destinasi," katanya.
Sepanjang program tiga hari itu, pengamal media dibawa berkunjung ke tempat-tempat menarik di Pulau Pinang yang kaya dengan budaya dan tradisi selain disajikan dengan pelbagai makanan pelbagai kaum.
Mereka turut melawat Penang 3D Trick Art Museum, EscapeAdventureplay, Tropical Spice Garden, Cheong Fatt Tze Mansion, Rumah P. Ramlee dan Loke Kee Residences.
Sumber: BERNAMA | 1 April 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan