Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 23 April 2015

Pembinaan tembok di sempadan Malaysia - Thailand di Kelantan masih dikaji

Leftenan Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim
PASIR MAS: Kerajaan Persekutuan masih mengkaji kesesuaian membina tembok sepanjang 121 kilometer di sempadan Malaysia - Thailand di Kelantan, kata Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim.

Beliau berkata pihaknya masih perlu melakukan kajian mengikut kesesuaian penduduk di kawasan itu selain mengambil kira pelaksanaannya tidak akan menyusahkan mereka.

"Maknanya bukan buat pagar nanti (akan) menyusahkan penduduk dan sebagainya tapi pagar ini perlu dibina untuk mengawal keadaan terutama aktiviti penyeberangan (secara tidak sah) di sempadan ini," katanya selepas meninjau kawasan operasi sempadan Malaysia-Thailand di Pos Tok Oh di Rantau Panjang, di sini hari ini.

Turut hadir Panglima 2 Divisyen, Mej Jen Datuk Fadzil Mokhtar dan Panglima 8 Briged Infantri, Brig Jen Datuk Azmy Yahya.

Pada 2013, Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersetuju dengan cadangan polis Kelantan agar kerajaan membina tembok dan pagar di sepanjang sempadan Malaysia - Thailand di negeri ini bagi mengekang masalah penyeludupan dadah dan senjata api.

Selain itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata KDN juga akan mewartakan sepanjang tebing sungai di sempadan itu sebagai kawasan keselamatan.

Dalam perkembangan berkaitan, Zulkiple berkata Rejimen Sempadan yang ditugaskan mengawal sempadan Malaysia - Thailand di Kelantan di bawah sektor 8 Briged Infantri merampas pelbagai barangan seludup bernilai kira-kira RM1.5 juta di bawah Ops Wawasan dan Ops Merpati sepanjang tahun lepas.

Katanya Rejimen Sempadan turut merampas pelbagai barangan yang diseludup ke negara ini berjumlah RM416,269.69, bagi tempoh Januari hingga semalam.

Selain itu, katanya, Rejimen Sempadan menahan 221 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ingin memasuki atau keluar ari negara ini menggunakan laluan tidak sah sepanjang tahun lepas. 
 
Sumber: BERNAMA | 22 April 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan