Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 8 April 2015

Restoran diarah isytihar kos jualan dan belian selepas naikkan harga

KOTA BHARU: Sebuah restoran yang menaikkan harga makanan hingga 50 peratus, diarah mengisytiharkan segala kos jualan dan belian kepada Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PKPDNKK).

Pengarah PKPDNKK Kelantan Datuk Abdul Ghani Harun berkata pihaknya membuat pemeriksaan harga ke atas restoran itu 9.30 malam tadi selepas menerima aduan daripada pelanggan.

"Sebelum ini, pelanggan mendakwa restoran terbabit menjual roti tempayan yang berharga RM1 sebiji, pada harga RM1.50 beberapa hari lepas," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, hari ini.

Beliau berkata tindakan PKPDNKK itu adalah mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang mengarahkan restoran berkenaan memberi maklum balas serta mengisytiharkan segala kos jualan dan belian dalam masa tiga hari kepada PKPDNKK.

Abdul Ghani berkata pihaknya memandang serius terhadap sikap peniaga yang menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya berikutan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP).

Katanya pihaknya akan melaksanakan operasi bersepadu bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia dalam tempoh tiga minggu pertama bulan ini bagi penguatkuasaan anti pencatutan di negeri ini.

Di bawah Ops Catut sejak 15 Jan lepas sehingga hari ini, PKPDNKK Kelantan telah melakukan 1,047 pemeriksaan premis perniagaan di negeri ini dan sebanyak 34 notis di bawah Seksyen 21 akta itu dikeluarkan.

Sumber: BERNAMA | 6 April 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan