Ahmad (kanan) melihat lakaran kawasan Sungai Kelantan ketika program menyusuri Sungai Kelantan, semalam. |
KOTA BHARU: Kerajaan negeri memandang serius kerja-kerja mengorek pasir haram yang dijalankan di tebing Sungai Kelantan dan giat berusaha untuk menanganinya.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya terpaksa menghentikan semua kerja mengorek pasir di tebing Sungai Kelantan buat sementara waktu untuk membolehkan pihaknya membuat penyusunan semula terhadap syarat dan peraturan yang perlu dipatuhi.
“Kerja-kerja mengorek pasir secara haram tidak sepatutnya berlaku, kerana hanya kerja-kerja yang dijalankan mengikut peraturan sahaja dibenarkan, sebaliknya mereka langgar apa yang kita tetapkan.
“Buat masa ini kita tutup semua, kita akan beri penjelasan, susun semula supaya mereka buat dalam keadaan terkawal dan tidak melakukan pencemaran kepada sungai,” katanya selepas program menyusuri Sungai Kelantan bersama Datuk Menteri Besar Kelantan di Sungai Kelantan di sini, semalam.
Ahmad tidak menolak kemungkinan merampas peralatan digunakan sekiranya didapati masih ada pihak yang mengingkari arahan dikeluarkan.
“Setakat ini kita hanya keluarkan arahan, dan bagi penjelasan semula, sekiranya kegiatan terus berulang, baru kita rampas,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad berkata, tinjauan pascabanjir itu juga dibuat bagi memastikan kawasan rizab sungai tidak dibangunkan dengan projek-projek yang boleh membahayakan orang ramai dan dalam masa sama melihat potensi Sungai Kelantan sebagai aset pelancongan negeri.
“Kita lihat potensi Sungai Kelantan yang begitu sesuai untuk dijadikan tempat rekreasi dan pelancongan dengan merancakkan jalan air pada masa akan datang sekali gus menambah peluang pekerjaan dan pendapatan penduduk setempat,” katanya.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 17 April 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan