Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 29 April 2015

Kerajaan Negeri Kelantan diminta kaji semula pembinaan kilang simen di Chiku 7

Gua Batu Kapur Chiku 7 yang dikhuatiri akan musnah apabila kilang simen dibina.
PASIR PUTEH: Angkatan Prihatin Kelantan (APK) meluahkan kebimbangan terhadap projek pembinaan kilang simen terbesar di Malaysia di Chiku 7, Gua Musang yang akan memusnahkan khazanah alam termasuk keindahan gua batu kapur berusia lebih 200 juta tahun.

Presidennya, Jeming Hassan berkata, beliau difahamkan, kerajaan negeri akan membina kilang itu dalam waktu terdekat membabitkan pelaburan RM1.38 bilion yang mana ia dijangka siap menjelang 2017.

Katanya, projek itu mungkin membantu dalam menjana ekonomi Kelantan tetapi dalam masa sama ia memusnahkan khazanah alam yang tidak ternilai selain menghapuskan kawasan tadahan air.

“Saya tidak berniat untuk menjadi penghalang cita-cita murni kerajaan negeri untuk memiliki kilang simen tetapi saya berharap pandangan kami diberi perhatian,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Beliau berkata, selain ‘mengorbankan’ Gua Batu Kapur Chiku 7 dan memberi impak buruk kepada gua-gua lain seperti Gua Tok Guru, Gua Cinta dan Gua Paya, projek itu akan menyebabkan penduduk yang terlibat dengan pertanian hilang sumber rezeki.

“Kami sebagai rakyat Kelantan mahu mengetahui sejauh mana persediaan kerajaan untuk mengatasi masalah pencemaran udara dan bunyi supaya kesihatan penduduk tidak terjejas.

“Kawasan itu membekalkan sumber air bersih ketika ini, agak payah untuk mengekalkannya apabila kilang simen dibina,” katanya.

Jeming berkata, beliau tidak menafikan kebaikan daripada pembinaan kilang tersebut apabila ia dijangka memberi peluang pekerjaan kepada 2,000 penduduk.

Menurutnya, projek tersebut akan memesatkan pertumbuhan ekonomi namun terpaksa ‘membayar harga yang tinggi’ dengan memusnahkan khazanah negeri.

“Kami tertanya-tanya apakah kilang itu tidak menjejaskan tanaman penduduk seperti getah, kelapa sawit, buah-buahan dan banyak lagi.

“Saya dapat maklumat mengatakan penduduk tidak bersetuju dengan projek ini dan mempersoalkan tindakan pihak berkenaan mengadakan majlis menandatangani perjanjian persefahaman di Kuala Lumpur," katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu mengkaji dengan teliti sebelum melaksanakan projek tersebut kerana alam sekitar juga merupakan aset penting untuk kelestarian kehidupan semua makhluk.

“Sudah menjadi tanggungjawab setiap umat manusia untuk memelihara alam sekitar ini kerana kita telah diamanahkan untuk menjaganya,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya kini berbincang dengan Jawatankuasa Bertindak Felda Gugusan Chiku untuk mengemukakan bantahan kepada kerajaan negeri selain mengadakan sesi lawatan ke Gua Batu Kapur Chiku 7 bersama pencinta alam tidak lama lagi.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 27 April 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan