KOTA BHARU: Semua negeri, termasuk negeri-negeri dikuasai pembangkang seperti Kelantan akan mendapat layanan adil dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang dijadual bermula tahun depan.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan selama ini berdepan cabaran besar dalam melaksanakan mekanisme terbaik untuk menguruskan dan mengagihkan sumber negara tanpa meminggirkan mana-mana negeri.
Katanya, Kelantan sering menganggap dianaktirikan, namun pada masa sama, ramai tidak menyedari negeri-negeri lain termasuk yang dikuasai Barisan Nasional (BN) juga pernah meluahkan rasa kecewa apabila permintaan mereka tidak dipenuhi kerajaan.
“Orang Kelantan mempunyai perasaan mereka dianak tiri, ada diskriminasi. Sebenarnya bukan Kelantan sahaja berasa begitu kerana banyak negeri lain pernah mendakwa dia dianaktirikan. Apabila kita tidak mendapat sesuatu, itu bukan bermakna kita dianaktirikan.
“Saya bagi contoh, kita ada 10 anak, semua berebut untuk sumber yang sedikit dan begitulah ibaratnya kerajaan Pusat, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sentiasa mencari kaedah terbaik untuk memuaskan hati semua pihak. Ini bukan mudah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri program Luncheon Talk Hala Tuju Pembangunan Kelantan dalam RMK-11 Bersama Golongan Profesional di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mustapa yang juga Pengerusi BN negeri berkata, bagi memajukan negara, kerajaan perlu mencari jalan mempelbagaikan hasil pendapatan negara termasuk melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
“Sumber hasil kita kebanyakan datang daripada petroleum dan gas yang kita tak boleh harap sampai bila-bila. Sekarang rakyat mohon macam-macam tetapi di mana kerajaan nak ambil duit? Itu sebab kita sentiasa mencari jalan bagaimana boleh mempelbagaikan hasil,” katanya.
Beliau dalam pada itu memberitahu, BN Kelantan berharap Kerajaan Pusat akan memberi perhatian terhadap pembangunan infrastruktur di negeri ini dalam RMK-11.
Katanya, tumpuan perlu diberikan kepada tiga perkara utama yang amat diperlukan Kelantan iaitu jaringan perhubungan jalan raya, menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) serta pemulihan pascabanjir.
Sumber: www.sokmo.net | 28 Mac 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan