Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 9 April 2015

Fasa kedua Taman Halal Pasir Mas siap 2018

Zamri Ahmad

KUALA LUMPUR: Fasa kedua pembinaan Taman Halal Pasir Mas, Kelantan yang merupakan satu daripada inisiatif kerajaan untuk memajukan industri halal di Malaysia dijangka siap menjelang 2018.

Pengurus Besar Bahagian Pengurusan Pelaburan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Datuk Zamri Ahmad berkata, ketika ini perbincangan sedang dijalankan bagi meneliti dengan lebih lanjut perancangan projek fasa kedua berkenaan.

Katanya, fasa pertama projek di kawasan seluas 43.2 hektar (108 ekar) itu kini telah siap sepenuhnya dan hampir 90 peratus telah diduduki dengan 40 peratus daripadanya digunakan oleh Kolej Universiti Islam Sains dan Teknologi sebagai pusat pemba­ngunan modal insan kolej ber­kenaan.

Ujarnya, Taman Halal Pasir Mas yang juga merupakan sebahagian daripada projek merentas sempadan itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pelabur terutamanya dari Thailand.

“Ketika ini kira-kira 30 peratus daripada pelabur di kawasan ini merupakan dari negara Thailand dan selebihnya rakyat tempatan.

“Kami yakin jika projek fasa kedua berjalan lancar, ia akan mampu menarik lebih ramai pelabur asing ke ECER kerana lokasinya yang strategik dan turut dilengkapi kemudahan-kemudahan infrastruktur pelaburan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sesi perbincangan pada Sidang Kemuncak Halal Dunia 2015 (WHS 2015) di sini hari ini.

Tambah beliau, sehingga Di­sember 2013, ECER telah mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM72.3 bilion yang juga merupakan 66 peratus daripada sasaran pelaburan ECER sebanyak RM110 bilion menjelang 2020.

Bagaimanapun beliau berkata, bagi tahun ini ECER menjangkakan pertumbuhan pelaburan agak perlahan disebabkan keadaan ekonomi yang tidak begitu stabil termasuk penurunan harga minyak dunia dan kemerosotan nilai mata wang Ringgit pada ketika ini.

Sumber: Utusan Malaysia | 2 April 2015 | Terbitan 3 April 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan