MARANG: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata DAP tidak mewakili semua bukan Islam menentang Rang Undang-Undang Persendirian Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) kerana masih ramai yang memberi maklum balas positif berkaitan hudud.
Ada dalam kalangan orang bukan Islam tidak bersama dengan DAP dan mereka menemuinya sambil memberikan respons yang sangat positif dalam hal itu, katanya.
"Antaranya, ada yang membuat penyelidikan peringkat PhD (doktor falsafah) tentang politik di Malaysia. Mereka ini datang juga jumpa saya dan menimbulkan isu ini.
"Dua hari lepas juga ada pemberita daripada Reuters dan AFP...media Perancis datang membuat temu ramah dan saya turut diundang untuk memberi ceramah khusus di Universiti Nanyang, Singapura hujung bulan ni. Insya-Allah, mungkin isu ini akan dibangkitkan," katanya.
Abdul Hadi berkata semua ini menunjukkan respons secara berilmu pihak bukan Islam.
"Sebab itulah, saya mengingatkan DAP supaya tidak membuat kenyataan sehingga mengheret kepada anggapan bahawa dia (DAP) adalah anti-Islam dan nak bermusuh dengan orang Islam," katanya pada sidang media di Rusila di sini Jumaat.
Sumber: BERNAMA | 10 April 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan