Najib bersama (dr kiri) Datuk Seri Mustapa Mohamed, Tan Sri Dr Munir Abdul Majid dan Datuk Seri Idris Jala (kanan) Malam Gala Anugerah Perniagaan ASEAN (ABAM) pada Jumaat. |
KUALA LUMPUR: ASEAN disasar menjadi ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2050 berasaskan arah aliran (trend) pertumbuhan semasa, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata jika dilihat sebagai sebuah ekonomi, ASEAN merupakan ekonomi ketujuh terbesar dunia, dengan gabungan keluaran dalam negara kasar berjumlah US$2.5 trilion pada 2014 dan US$2.4 trilion pada 2013.
"Pertubuhan Pembangunan dan Kerjasama Ekonomi (OECD) mengunjurkan pertumbuhan tahunan 5.6 peratus secara menyeluruh dalam tempoh empat tahun akan datang.
Jika trend semasa berterusan, ASEAN diunjur menjadi ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2050," katanya semasa berucap pada Malam Gala Anugerah Perniagaan ASEAN (ABAM) 2015 pada Jumaat.
ABAM ke-6, anjuran Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN Malaysia, bertujuan memperakui juara setiap sektor dalam negara yang menyumbang secara positif kepada ekonomi ASEAN.
Perdana Menteri berkata ASEAN kini memanfaatkan rekodnya yang baik dan konsisten. Dari segi pertumbuhan pendapatan perkapita, Najib berkata ASEAN sudah mengatasi sebahagian besar dunia sejak lewat 1970-an.
Perdana Menteri memetik laporan McKinsey yang mencatatkan bilangan isi rumah pengguna berpendapatan lebih US$7,500 setahun akan meningkat sekali ganda kepada 125 juta menjelang 2025.
"Berdasarkan penduduk melebihi 600 juta, lebih besar dari Kesatuan Eropah atau Amerika Utara, potensi pasaran kita besar.
"Justeru usaha menyepadukan 10 negara kita sebagai Komuniti Ekonomi sangat penting," katanya.
Najib berkata penyepaduan ASEAN melepasi akses perdagangan utama dan meliputi strategi dan pendekatan khusus untuk merealisasikan pasaran tunggal yang kompetitif, saksama dan terangkum.
"Fokus kita ke atas perdagangan bebas, percukaian yang adil dan telus, dan digabungkan dengan langkah-langkah mewujudkan ekonomi yang terbuka dalam negara, yang menarik pelaburan, pertumbuhan dan pekerjaan.
"Ia juga merupakan pendekatan ASEAN bahawa, bagi mencapai pembangunanlestari, kebajikan, kesejahteraan dan kehidupan rakyat perlu ditingkatkan," kata Najib.
Beliau berkata kejayaan Malaysia diperakui, dan Buku Tahunan Daya Saing Dunia 2014 menyenaraikan Malaysia di tempat ke-12 daripada 60 ekonomi dan aspirasi negara meningkat dalam senarai daya saing itu.
Najib berkata sudah ada tanda-tanda keyakinan yang tinggi terhadap Malaysia,seperti permintaan ke atas Sukuk Global US$1.5 bilion yang diterbitkan baru-baruini, yang terlebih langgan.
Beliau berkata awal tahun ini, majalah Fortune menyenaraikan Malaysia sebagai antara tujuh pasaran pesat membangunan baharu terbaik.
Najib berkata perakuan antarabangsa ketika dunia dalam kedudukan yang tidak menentu ini, dengan banyak negara berhadapan cabaran ekonomi, asas ekonomi Malaysia kekal kukuh.
"Ini sangat menggembirakan, kerana kita tahu bahawa langkah berani seperti pemansuhan subsidi bahan api atau pengenalan Cukai Barang dan Perkhidmatan, bukan langkah popular tetapi perlu.
"Langkah ini untuk manfaat jangka panjang untuk semua rakyat Malaysia dan itulah yang akan terus menjadi keutamaan kerajaan saya," katanya.
Sumber: mStar Online | 24 April 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan