Mazlan menunjukkan pil kuda yang dirampas dalam tiga serbuan berasingan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai, petang semalam. |
KUALA KRAI: Polis Kelantan rampas 7,950 pil kuda bernilai RM206,750 dan menahan empat lelaki termasuk seorang dipercayai saki baki Geng Zawa yang dikehendaki pihak berkuasa kerana kes jenayah lampau dalam tiga tangkapan berasingan, sejak Isnin lalu.
Ketiga-tiga tangkapan dilakukan di Bachok, Pasir Puteh dan Gua Musang.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, tangkapan menerusi Ops Jala yang pertama dilakukan di Jelawat, Bachok apabila polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 28 tahun yang bekerja sendiri, kira-kira jam 1 pagi.
“Tangkapan tersebut membawa kepada penemuan 5,400 pil kuda bernilai RM135,000 dalam 27 paket, yang diletakkan dalam satu beg hitam di atas tempat duduk penumpang hadapan.
“Polis turut menyita kereta jenis Honda Integra digunakan suspek bernilai RM90,000,” katanya kepada pemberita pada Majlis Serah dan Terima Tugas sempena persaraan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Ab Rahim Che Ghani, semalam.
Mazlan berkata, tangkapan kedua di sebuah rumah di Taman Kobena, Pasir Puteh, kira-kira jam 4 petang, Selasa lalu.
"Ketika serbuan, dua lelaki berusia 17 dan 23 tahun sedang membungkus dadah di rumah salah seorang suspek, dipercayai untuk pasaran setempat.
“Polis menemui 1,980 pil dipercayai pil kuda bernilai RM49,500 dan juga wang tunai RM3,715. Saringan ujian air kencing terhadap suspek mendapati mereka positif methamphetamine,” katanya.
Sementara itu, tangkapan pagi kelmarin, polis berjaya menahan lelaki dipercayai saki-baki Geng Zawa yang ditembak polis di Machang, sebelum ini
Menurutnya, tangkapan dibuat di tepi jalan Gua Musang, Kuala Krai, Felda Chiku Tiga dan polis turut menemui 570 pil kuda dan 12 gram heroin.
“Dengan tertangkap semua suspek, polis yakin berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran dadah yang bergiat aktif mengedar dadah beroperasi di Gua Musang, Pasir Puteh, Bachok dan Kota Bharu,” katanya.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 16 April 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan