Jamaludin (tengah) menyampaikan surat penghargaan kepada seorang pegawainya, semalam |
KOTA BHARU: Seawal usia sembilan tahun pelajar sekolah telah direkrut sebagai pengedar dan penagih oleh sindiket dadah bagi mempengaruhi golongan remaja dan penagih baharu.
Sindiket ini bergerak aktif dengan membelikan sebuah motosikal kepada golongan pelajar terbabit sebagai ‘habuan’ sebelum memerangkap mereka menagih dan seterusnya mempengaruhi rakan-rakan lain untuk menagih.
Timbalan Pengarah Penguatkuasa Pencegahan Kepolisan Am Bukit Aman, Datuk Jamaludin Kudin berkata, sebagai pelajar yang masih bersekolah, hadiah berkenaan nampak gah dan mewah berbanding dengan usia mereka yang masih muda.
“Ingin hidup mewah menyebabkan golongan ini mudah dipengaruhi tanpa memikirkan sebab dan akibat di kemudian hari.
“Malah ada juga ramai golongan yang keciciran sekolah sanggup terlibat dalam kes dadah,” katanya demikian kepada sidang media selepas mesyuarat khas dan makan malam bersama anggota polis Bahagian Narkotik Kelantan di Pantai Cahaya Bulan (PCB) Resort, di sini, semalam.
Turut hadir, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan, Superintendan Mit Emong.
Jamaludin berkata, Kelantan juga turut tersenarai antara 10 negeri tertinggi dalam penglibatan dadah melibatkan pelajar ekoran keadaan negeri ini yang berada berhampiran Thailand.
“Walaupun jumlahnya tidak ramai dan masih terkawal namun kita perlu atasi masalah ini supaya penagih tidak berulang dan tidak wujud penagih baharu.
Jamaluddin berkata, secara keseluruhannya dalam kes dadah, Kedah mencatatkan tangkapan paling tinggi membabitkan kesalahan mengedar dan memiliki dadah iaitu sebanyak 37,948 tangkapan, Selangor (37,428), Johor (34,898), Pahang (26,049), Pulau Pinang (22, 160) manakala Kelantan hanya (12,235) tangkapan pada tahun lalu.
“Masalah dadah yang berleluasa di negara ini agak membimbangkan memandangkan kes sejak 10 tahun lalu belum diselesaikan ditambah pula dengan dadah (sintetik) dadah jenis baharu yang mula menular sejak 2010 sehingga kini di Malaysia,” katanya.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan