Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 17 April 2015

SKMK City Liner kini tawarkan perkhidmatan bas ulang-alik dari Kuala Krai ke Dabong

Pelancaran operasi laluan bas Kuala Krai-Dabong-Kuala Krai di Stesen Bas Kuala Krai.
KUALA KRAI: Penduduk Dabong kini boleh menggunakan perkhidmatan bas awam apabila Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan Berhad (SKMK) City Liner memulakan operasi mengambil penumpang untuk perjalanan Kuala Krai - Dabong dan Dabong - Kuala Krai bermula Isnin lalu.

Pengurusnya, Hadli Husin berkata, perkhidmatan tersebut disediakan sebanyak enam perjalanan iaitu tiga perjalanan dari Kuala Krai dan tiga lagi dari Dabong untuk jarak perjalanan sekitar 81 kilometer.

Menurutnya, perkhidmatan disediakan seawal jam 7 pagi dari Kuala Krai untuk kemudahan penduduk berurusan di kedua-dua lokasi dan kampung sepanjang perjalanan dari dan ke Dabong.

“Kita menyediakan tambang perkhidmatan mengikut cadangan kerajaan RM8.40.

“Kami berharap perkhidmatan bas ini dapat meringankan beban penduduk di Dabong selepas bencana banjir baru-baru ini di mana mereka sukar untuk ke Kuala Krai disebabkan perkhidmatan kereta api tidak dapat beroperasi seperti biasa,” katanya.

Sementara itu, Adun Dabong, Datuk Ramzi Ab Rahman berkata, perkhidmatan SKMK City Liner ini merupakan satu inisiatif untuk membantu rakyat Dabong yang sukar melaksanakan pelbagai urusan di Kuala Krai selepas banjir.

Hadli berkata, kereta api memainkan peranan penting kepada masyarakat Dabong sejak dahulu lagi. “Apabila kereta api tidak dapat beroperasi segala urusan penduduk terbantut.

“Tambang agak mahal untuk perjalanan pergi balik ke Kuala Krai iaitu sekitar RM80 hingga RM1,000 menyukarkan penduduk untuk keluar ke Kuala Krai lebih kerap,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Krai berkata, tambang dikenakan kepada penumpang berpatutan dan mengalu-alukan penduduk Dabong dan kampung sepanjang perjalanan antara Kuala Krai menggunakan perkhidmatan tersebut.

Katanya, sebagai pemimpin beliau akan pastikan kemudahan untuk rakyat diberikan keutamaan pada setiap masa.

“Saya menyambut baik usaha penyediaan perkhidmatan untuk masyarakat Kuala Krai dan Dabong serta mengharapkan penduduk tidak lagi berdepan masalah pengangkutan untuk kedua-dua destinasi. “Saya yakin beban rakyat dapat dikurangkan dengan adanya perkhidmatan bas ini,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 17 April 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan