KOTA BHARU: Persatuan Berbasikal Kelantan dengan kerjasama Badang Outdoor Solution dan kerajaan negeri akan menganjurkan Karnival Basikal Kelantan 2015 dari 22 hingga 24 Mei ini.
Pengarah Urusan Badang Outdoor Solution Razi Abdul Rahman berkata kejohanan tiga hari itu dijangka menarik penyertaan kira-kira 300 peserta termasuk dari Thailand.
"Acara yang dipertandingkan dalam karnival itu adalah Lebuh Raya Terbuka Elit 152 km (Kejohanan Kebangsaan), Terbuka Wanita 100 km dan Remaja Lelaki 112 km (bawah 18 tahun).
Selain itu, kita juga mengadakan acara kritarium membabitkan Terbuka Elite , Remaja Lelaki bawah 18 tahun, Terbuka Wanita dan Veteran serta Basikal Bukit (MTB)," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Razi berkata acara lebuh raya akan bermula di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini dan berakhir di Pantai Irama, Bachok.
Acara kritarium pula akan berlangsung di Padang Tembak, Pengkalan Chepa, manakala kategori MTB pula di Lembah Sireh, di sini.
"Setakat ini beberapa kelab berbasikal seluruh negeri dan Thailand telah mengesahkan penyertaan masing-masing," katanya.
Antara pasukan yang telah mengesahkan penyertaan termasuklah Team Malaysia, NSC Cycling Team, Thailand Team dan TSG Team selain beberapa kelab amatur di Kelantan.
Razi berkata peserta berpeluang merebut Piala Presiden, Piala Badang dan Piala Pusingan Wanita Terbuka yang dipertandingkan dalam karnival itu.
"Sebagai pengurus karnival kami amat berbesar hati kerana diberi mandat oleh kerajaan negeri bagi menjayakan program ini. Karnival ini akan dijadikan acara tahunan di Kelantan," katanya.
Sumber: BERNAMA | 21 April 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan