Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 1 Oktober 2015

Kastam Kelantan kutip RM98 juta cukai sehingga September

KOTA BHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berjaya memungut RM98 juta hasil kutipan pelbagai jenis cukai dari Januari hingga September tahun ini.

Pengarahnya Datuk Abdullah Zawawi Abd Latiff berkata daripada jumlah itu, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) menyumbang kutipan terbesar iaitu RM74 juta sejak ia dilaksanakan April lepas.

"Kastam Kelantan akan meneruskan usaha penguatkuasaan di seluruh negeri bagi mencapai sasaran pungutan cukai sebanyak RM180 juta menjelang hujung tahun ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Kastam Negeri di pejabat JKDM Kelantan di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Abdullah yang akan bersara pada 14 Okt ini menyerahkan tugas kepada timbalannya, Mohd Nasir Yusoff.

Abdullah berkata penguatkuasaan yang dilakukan pihaknya mendapati wujud perkembangan lebih baik dalam pelaksanaan GST di Kelantan.

"Cuma buat masa ini kita lebih memberi fokus kepada premis perniagaan alat ganti kenderaan kerana masih ramai yang gagal mematuhi peraturan terutama membabitkan penyediaan bil yang tidak telus," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata sehingga September, sebanyak 15 peratus atau 1,110 daripada 7,400 premis di seluruh negeri itu telah diperiksa bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan dalam pelaksanaan GST melalui kaedah penyamaran.

Beliau berkata pengguna juga perlu memainkan peranan memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan ke atas mereka dengan mengenakan kadar berlebihan.

"Pengguna perlu ada kesedaran.. mohon resit daripada kedai atau setiap pembelian serta perkhidmatan kerana ia satu cara efektif memastikan peniaga membayar cukai dengan betul," katanya.

Abdullah berkata setakat ini hanya sebuah premis dikenakan kompaun RM5,000 setelah gagal mengemukakan resit selain tidak menyatakan kadar GST kepada pelanggan.

Sumber: Bernama | 1 Oktober 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan