Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 31 Disember 2017

Seorang lelaki ditahan kerana mahu letupkan ICQS Rantau Panjang

Kompleks ICQS Rantau Panjang, Kelantan. Foto ihsan: Abu Omar S
TUMPAT: Polis menahan seorang lelaki di Cabang Empat Salam, Rantau Panjang malam tadi selepas dia mendakwa mahu meletupkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.

Suspek ditahan dalam sekatan jalan raya oleh Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) di lokasi tersebut kira-kira pukul 11.30 malam ketika dia sedang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, pergelutan berlaku antara suspek yang berusia 30 tahun dengan anggota AKSEM apabila dia cuba bertindak agresif dan enggan memberi kerjasama.

“Selepas disoal siasat suspek mengaku ingin meletupkan Kompleks ICQS Rantau Panjang dan pondok kawalan AKSEM.

“Kita menemukan lima plastik bijian, satu plastik serbuk kuning, sebilah gunting, pisau, empat biji bateri AA, satu set pemutar skru, satu lilitan wayar tembaga, satu kabel USB telefon bimbit, pengecas dan pasport dalam beg sandang suspek,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Serah dan Terima Tugas Antara Pemangku Ketua Polis Daerah Tumpat Mohamad Zulmazi dengan Ketua Polis Daerah Tumpat yang baharu, Ab. Rashid Mat Daud.

Hasanuddin turut berkata, suspek beralamat di Pandamaran, Klang, Selangor juga didapati dalam senarai dikehendaki untuk kes di bawah Seksyen 6 (1) Akta Senjata Berbahaya dan turut mempunyai rekod berkaitan dadah.

“Hasil saringan mendapati suspek positif methampethamine dan dia kini ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sumber: Utusan Online | Wilayah - Kelantan | 31 Disember 2017

Konsep tradisional Kelantan hiasi Hotel The Grand Renai Kota Bharu

Adrian Cecil (kiri) bersama dengan Pengarah Tourism Malaysia Kelantan, Hafiz Hazin menunjukkan plat yang ditandatangani sebagai gimik pelancaran Hotel Grand Renai selepas penjenamaan semula daripada Hotel Renaissance Kota Bharu di Jalan Sultan Yahya Petra.
KOTA BHARU: Konsep ketimuran terutama budaya Kelantan, menjadi keutamaan kepada pengurusan Hotel The Grand Renai Kota Bharu di sini, dalam penjenamaan semulanya daripada Hotel Renaissance.

Pengurus Besarnya, Adrian Cecil, berkata menerusi penjenamaan semula hotel bertaraf lima bintang itu, elemen utama yang ditukar adalah mengadaptasi budaya timur terhadap persekitarannya.

"Sebelum ini, Hotel Renaissance berada di bawah pengurusan antarabangsa iaitu Marriot International Inc.

"Sebaik beroperasi secara bersendirian menggunakan nama The Grand Renai Kota Bharu, kami memfokuskan ciri-ciri tradisional untuk diterapkan bersesuaian dengan budaya negeri ini.

"Penjenamaan ini adalah untuk membentuk imej baharu kepada kalangan hotel di negeri ini, namun misi dan nilai teras kami tetap sama iaitu untuk terus melabur memastikan tahap kepuasan tertinggi untuk pelanggan bagi setiap produk dan perkhidmatan," katanya ketika sidang media sempena pelancaran jenama baharu itu hari ini.

Adrian berkata, proses penjenamaan semula itu memakan masa setahun membabitkan kos kira-kira RM2 juta.

Selain makanan, dekorasi hotel serta persekitaran yang berunsurkan budaya Melayu, turut disediakan adalah spa yang mempunyai sentuhan tradisional di Teratak Spa.

Sementara itu, Pengarah Tourism Malaysia Kelantan, Hafiz Hazin, berkata pertukaran jenama itu masih mempunyai impak kepada sektor pelancongan negeri, malah dijangka semakin mendapat tarikan.

"Mengetengahkan sentuhan Kelantan adalah satu tarikan kerana pengurusan hotel sebelum ini membawa konsep antarabangsa dan agak terhad ciri-ciri kemelayuan.

"Pertukaran jenama ini boleh disifatkan sebagai pertukaran budaya yang dilihat lebih mesra pelanggan yang terdiri daripada masyarakat Melayu termasuk dari luar Kelantan," katanya.

Sumber: Berita Harian Online | Wilayah - Timur | 30 Disember 2017

Sabtu, 30 Disember 2017

Harapan rakyat Kelantan di bawah pemerintahan Seri Paduka Baginda Sultan Muhammad V

ALHAMDULILAH (syukur kepada Allah) pada 13 Disember 2017 yang lepas genaplah setahun pemerintahan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-15, Sultan Muhammad V dari negeri Kelantan Darul Naim yang telah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia pada 13 Disember 2016 untuk menerajui pemerintahan Persekutuan Malaysia selama lima tahun sehingga 12 Disember 2021. 

Giliran KDYMM Al-Sultan Kelantan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15  merupakan suatu kebanggaan bagi seluruh rakyat Kelantan. Tambahan pula negara bakal mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 dan ke arah mencapai status negara maju itu, rakyat Kelantan pastinya mengharapkan negeri Kelantan tidak ketinggalan dalam semua aspek terutamanya pembangunan infrastuktur pengangkutan, sumber bekalan air bersih, pembukaan kawasan perindustrian baharu, perumahan, dan sebagainya. 

Di bawah pemerintahan Seri Paduka Baginda Sultan  Muhammad V yang akan dibantu oleh memanda perdana menteri, diharapkan supaya pembangunan Kelantan akan menjadi lebih rancak lagi untuk menjadi sama taraf dengan negeri-negeri lain yang bukan sahaja telah dilengkapi dengan kemudahan lebuh raya yang dihubungkan secara terus dengan ibu kota Kuala Lumpur dan Putrajaya tetapi juga kemudahan pengangkutan terutamanya pelabuhan dan lapangan terbang antarabangsa.

Pertama sekali, pembesaran dan naik taraf LTSIP kepada lapangan terbang antarabangsa - Sudah sampai masanya Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Kota Bharu, Kelantan dibesar dan dinaik taraf kepada sebuah lapangan terbang antarabangsa bagi Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). Landasan LTSIP perlu dipanjangkan daripada 2,400 meter (m) kepada 3,500 m bagi membolehkan LTSIP mengendalikan semua jenis pesawat tanpa sebarang had muatan.

Lebuh Raya Utama Tengah (CSR) - Kerajaan Persekutuan yang berpusat di Putrajaya juga diminta menyegerakan pelaksanaan kesemua pakej di bawah projek Lebuh Raya CSR dari Bentong, Pahang sehingga ke Kota Bharu, Kelantan. Lebuh Raya CSR ini bukan setakat memberi manfaat kepada penduduk Kelantan tetapi juga penduduk Pahang Barat sekali gus menjadi pemangkin pembangunan kedua-dua buah negeri.

Pembangunan Pelabuhan Tok Bali - Pembangunan Pelabuhan Tok Bali (PTB) terutamanya melibatkan fasa-fasa seterusnya amat penting dalam usaha menjadikan PTB sebagai sebuah pelabuhan antarabangsa bagi zon utara Pantai Timur. Hal ini kerana setiap negeri di Pantai Timur memerlukan pelabuhan sendiri untuk mendapatkan akses perdagangan antarabangsa sekali gus dapat memacu pembangunan sektor perindustrian sesebuah negeri.

Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 - Kerajaan Persekutuan diharap dapat menyegerakan projek Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) dari Kuala Terus, Terengganu sehingga ke Pengkalan Kubor, Kelantan untuk melengkapkan jaringan lebuh raya ekspres yang menghubungkan kesemua ibu negeri di Malaysia Barat (Semenanjung Malaysia) dengan ibu kota Kuala Lumpur dan Putrajaya. Hal ini kerana Kota Bharu merupakan satu-satunya ibu negeri yang tidak dihubungkan secara terus dengan lebuh raya ekspres dengan ibu kota Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Laluan Rel Pantai Timur - Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) merupakan antara projek berimpak tinggi yang telah diluluskan Kerajaan Persekutuan untuk dilaksanakan mulai tahun 2018. ECRL merupakan projek landasan kereta api berkembar yang bakal melibatkan empat buah negeri, iaitu Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan. Landasan ECRL akan bermula dari Pelabuhan Klang, Selangor dan akan melalui Terminal Bersepadu Timur (timur laut Kuala Lumpur), Bentong, Mentakab, Kuantan, Kuala Terengganu, Tok Bali, Jelawat, dan Kota Bharu (Bandar Baharu Tunjong) sebelum berakhir di  Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan.

Sesungguhnya begitu besar harapan rakyat Kelatan di bawah pemerintahan Seri Paduka Baginda Sultan Muhammad V. Semoga semua harapan ini dapat direalisasikan menjelang tahun 2020, iaitu tahun kita semua menjadi warga sebuah negara maju berpendapatan tinggi. 

Sumber: Gerbang Kota Bharu | www.gerbangkotabharu.blogspot.com

MEX II pelengkap kepada Lebuh Raya Kuala Lumpur - Putrajaya - KLIA

Jajaran MEX II dari Persimpangan Putrajaya berdekatan Cyberjaya sehingga ke Persimpangan KLIA. Sumber: Maju Expressway Sdn. Bhd.  Nota: Sila klik pada gambar untuk paparan yang lebih jelas. 
PROJEK pembinaan Lebuh Raya Putrajaya - KLIA (MEX II) sepanjang 18 kilometer (km) bakal menjadi pelengkap kepada Lebuh Raya Kuala Lumpur - Putrajaya - KLIA. 

Lebuh Raya MEX II akan bersambung dengan Lebuh Raya Kuala Lumpur - Putrajaya (MEX I) melalui Persimpangan Putrajaya dekat Cyberjaya dan lebuh raya MEX II ini akan melalui pusat bandar Cyberjaya dan bersambung dengan Lebuh Raya KLIA di Persimpangan KLIA. 

Projek ini telah bermula sejak suku keempat tahun 2017 dan dijangka dapat disiapkan menjelang tahun 2019.

Pengubahsuaian di kawasan Plaza Tol MEX Putrajaya. Sumber: Maju Expressway Sdn. Bhd.
Apabila sambungan lebuh raya ini dibuka kelak, pengguna jalan raya dari arah bandar raya Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tidak perlu lagi melalui Lebuh Raya Lingkaran Tengah (Lebuh Raya Elite) atau melalui Jalan Persekutuan No. 29 melalui Dengkil, Selangor setelah melalui Plaza Tol MEX Putrajaya. 

Tabung kebajikan bantu tiga beradik diwujudkan

KOTA BHARU: Tragedi pembunuhan tiga beranak di Wakaf Mek Zainab di sini, 15 Nov lalu menyebabkan tiga beradik perempuan iaitu Kha Xhing Faye, 19, Kha Xhing Rhu, 15, Kha Xhing Shyen, 8, menjadi yatim piatu.

Namun, nasib mereka bakal terbela apabila Kelab Lions Kota Bharu dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Kelantan menubuhkan tabung kebajikan dan pendidikan untuk tiga beradik berkenaan.

Presiden Kelab Lions Kota Bharu Kelvin Yeap berkata penubuhan tabung berkenaan sebagai usaha untuk membantu tiga beradik itu yang kehilangan ibu bapa mereka iaitu Kha Eng Ni, 42, dan isteri Chua Joo Seok, 43, dan anak lelaki mereka, Kha Zee Hanz, 13.

"Tiga beradik terbabit kini kehilangan tempat bergantung dan terpaksa dibantu oleh emak saudara mereka," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata dana daripada tabung itu akan digunakan untuk membiayai pengajian ketiga-tiga beradik berkenaan dan kebajikan mereka akan dibantu setiap bulan.

"Kelab Lions Kota Bharu akan menjadi pemegang amanah dan akan mengeluarkan perbelanjaan setiap bulan kepada ketiga-tiga beradik ini.

"Setakat ini kami masih memantau keperluan mereka kerana tidak lama lagi sesi persekolahan akan dibuka semula," katanya.

Kelvin berkata buat masa ini, dua beradik yang berusia 15 dan 18 tahun tinggal di Kampung Balai, Bachok bersama ibu saudara manakala yang bongsu tinggal dengan seorang lagi ibu saudara di Gua Musang.

Beliau berkata penubuhan tabung itu adalah bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan di atas kes pembunuhan terbabit dan meminta simpati daripada orang ramai menggunakan nama tiga beradik berkenaan.

"Mana-mana pihak atau individu yang bersimpati boleh menyalurkan derma atau sumbangan melalui Akaun OCBC Bank di atas nama Lions Club of Kota Bharu melalui nombor akaun 7551032526.

Kita berharap wang tabung ini dapat digunakan oleh tiga beradik ini untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Sumber: Bernama | 28 Disember 2017

Kecuaian punca kes curi motosikal meningkat di Kelantan

PASIR PUTEH: Kecurian motosikal mencatat kes tertinggi daripada 4,473 keseluruhan kes jenayah yang berlaku di Kelantan sejak Januari hingga semalam, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan.

Beliau berkata 1,959 kes kecurian motosikal dilaporkan bagi tempoh berkenaan berbanding 1,913 kes yang dilaporkan sepanjang tahun lepas.

"Kebanyakan kecurian motosikal berlaku disebabkan kecuaian pemilik kenderaan itu seperti meninggalkan kunci pada kenderaan dan meninggalkan motosikal dalam keadaan enjin masih hidup," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada 10 mangsa banjir di Kampung Baru di sini, hari ini.

Sebelum itu, Hasanuddin beramah mesra dengan orang ramai dan peniaga di pasar minggu kampung berkenaan melalui program pencegahan jenayah Kepolisan Berprofil Tinggi (HPP). Turut hadir anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak Datuk Zawawi Othman dan ADUN Selising Zulkifli Ali. 

Hasanuddin percaya kerjasama pemimpin masyarakat dan orang ramai dengan polis akan dapat mengurangkan kes jenayah di negeri ini pada masa akan datang.

"Program HPP akan diteruskan sepanjang tahun depan kerana ia ternyata memberi impak terbaik kepada polis untuk mendapatkan maklumat bagi mencegah dan membendung kegiatan jenayah di sesuatu kawasan," katanya.

Mengenai penyeludupan dadah, senjata api dan pemerdagangan manusia di kawasan sempadan, beliau berkata pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam kes berkenaan.

Sumber: Bernama | 28 Disember 2017

10 peratus warga kesihatan di Kelantan berisiko alami masalah kesihatan mental

KOTA BHARU: Sebanyak 10 peratus daripada 14,000 warga Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan yang menjalani saringan Simptom Kemurungan, Keresahan dan Tekanan (DASS) tahun ini, berisiko mengalami masalah kesihatan mental.

Pengarah jabatan itu Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata 90 peratus lagi hanya membabitkan simptom ringan yang boleh ditangani dengan perkongsian dan perbincangan masalah yang dialami kakitangan terbabit.

"Saringan tersebut kita jalankan di peringkat ibu pejabat, hospital dan pejabat kesihatan daerah melalui Unit Kesihatan Pekerjaan dan Alam Sekitar.

"Laporan ini bagaimanapun masih di peringkat awal dan saringan seterusnya akan dilakukan bagi menentukan peringkat kesihatan mental yang dialami bagi 10 peratus kakitangan yang dikenal pasti itu," katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Kesedaran Kesihatan Mental dan 'Ambo Nok Sihat' Peringkat Negeri Kelantan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II di sini, hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan Penolong Pengarah Kanan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Azman Ismail dan turut dihadiri Pengarah HRPZII Dr Selasawati Ghazali.

Sambutan yang bertemakan 'Kesihatan Minda di Tempat Kerja' itu diadakan bagi memberi penekanan terhadap kepentingan aspek kesihatan mental di tempat kerja bagi mewujudkan suasana pekerjaan yang positif.

Dr Ahmad Razin berkata bekerja dalam situasi yang sihat dan selamat penting dalam mencegah tekanan, kerisauan dan kecelaruan hidup dalam kalangan pekerja.

"Ini kerana secara purata setiap pekerja menghabiskan masa bekerja lebih kurang 40 jam setiap minggu tidak termasuk tugas selepas waktu bekerja," katanya.

Katanya masalah kemurungan dalam kalangan pekerja boleh memberi kesan kehilangan sumber tenaga kerja yang produktif kepada negara.

Sementara itu, beliau berkata golongan wanita lebih cenderung mengalami masalah kesihatan mental berikutan kehidupan sosialnya yang lebih terbatas berbanding lelaki.

"Kebanyakan wanita bekerja akan meneruskan tugas harian di rumah sekembali dari tempat kerja berbanding lelaki yang mempunyai ruang masa santai lebih lama bersama rakan," katanya.

Sumber: Bernama | 27 Disember 2017

Murid Orang Asli teruja mulakan persekolahan di sekolah baharu

JELI: Sebanyak 132 murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Rual di sini, teruja kerana akan memulakan sesi persekolahan mereka pada minggu hadapan di sekolah baharu yang lebih selesa berdekatan perkampungan mereka.

Seorang murid Romi Zaudi, 11, berkata beliau tidak sabar untuk memulakan sesi persekolahannya itu bersama rakan-rakannya yang lain.

"Sekolah baharu ini cantik, tidak seperti sekolah lama kami. Kami akan dapat belajar dalam bilik darjah baharu dan akan menggunakan komputer di makmal komputer yang baharu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Seri Alias Ahmad merasmikan majlis penyerahan sekolah bernilai RM13 juta itu yang siap pembinaannya pada September lepas, dan turut dihadiri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Anggota Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Sekolah berkenaan kini mempunyai 10 bangunan akademik, asrama dan kemudahan asas lain seperti padang permainan dan surau.

Romi berkata mereka juga gembira kerana disediakan sebuah padang yang luas untuk aktiviti riadah dan sukan.

Asikin Osman, 11, pula kelihatan gembira dapat tinggal di asrama baharu yang lebih selesa bersama rakan-rakannya.

"Sebelum ini di sekolah lama, kami juga tinggal di asrama, namun asrama baharu ini lebih selesa yang turut berada di dalam kawasan sekolah yang memudahkan saya dan rakan-rakan lain pergi ke kelas," katanya.

Seorang penduduk Mohd Rezduan Tokol, 55, berkata sekolah baharu itu akan memberi semangat kepada murid di sini untuk belajar bagi meningkatkan prestasi pembelajaran mereka.

"Saya ada tiga orang anak yang akan memulakan persekolahan di sini iaitu tahun satu, tiga dan enam, saya harap anak saya dan murid lain dapat menggunakan sepenuhnya keselesaan dan kemudahan yang terdapat di sekolah ini untuk cemerlang dalam pelajaran.

"Lepas ini tiada alasan untuk malas pergi sekolah, kemudahan sekolah ini tidak sama seperti generasi terdahulu yang belajar di sekolah lama," katanya.

Sumber: Bernama | 27 Disember 2017

Kerajaan Persekutuan prihatin penduduk pedalaman Kelantan - Mustapa

Datuk Seri Mustapa Mohamed
KUALA KRAI: Pembangunan yang giat dilaksanakan di jajahan Kuala Krai membuktikan Kerajaan Persekutuan prihatin dengan penduduk di kawasan pedalaman yang masih kekurangan kemudahan asas.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Kuala Krai antara jajahan di Kelantan yang mendapat peruntukan terbesar di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) seperti pembinaan Hospital Kuala Krai yang baharu berharga RM300 juta.

"Istimewanya di jajahan Kuala Krai ini, Kerajaan Persekutuan membiayai pembinaan Pejabat Majlis Daerah Kuala Krai berharga RM5.5 juta selain Pasar Besar Pekan Dabong, Pasar Manik Urai Baru dan Dataran Guchil yang kesemuanya melibatkan peruntukan RM600,000.

"Sepatutnya kesemua projek tersebut dibina oleh kerajaan negeri (PAS) ini," kata Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri kepada pemberita selepas merasmikan serentak Pasar Besar Pekan Dabong, Pasar Manik Urai Baru dan Dataran Guchil, di Dabong di sini, hari ini.

Beliau berkata Kerajaan Persekutuan juga membelanjakan peruntukan yang besar untuk membaik pulih infrastruktur yang rosak akibat banjir pada 2014 di jajahan tersebut seperti landasan keretapi, sekolah, jalan raya, masjid dan membina baharu rumah penduduk yang rosak.

"Jutaan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana membina kemudahan asas untuk rakyat di jajahan ini termasuk di kawasan Dabong yang terletak di pedalaman negeri ini," katanya.

Dalam lawatan seharinya ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dabong itu, Mustapa turut meninjau Rumah Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Dabong yang telah siap pembinaannya untuk didiami oleh 32 keluarga guru, membabitkan peruntukan hampir RM10 juta.

Turut hadir Anggota DUN Dabong Datuk Ramzi Abd Rahman dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Seri Alias Ahmad.

Sumber: Bernama | 26 Disember 2017

2017 tahun bertuah buat Kelantan

Sultan Muhammad V
KOTA BHARU: Tahun 2017 adalah tahun bertuah bagi Kelantan apabila bukan sahaja gembira meraikan pertabalan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15, tetapi turut mendapat perhatian kerajaan pusat menerusi pelbagai 'hadiah' untuk melonjakkan pertumbuhan ekonomi dan kemudahan rakyat negeri itu. 

Pemilihan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 membanggakan seluruh rakyat Kelantan pelbagai lapisan masyarakat. 

Menjelang upacara pertabalan Seri Paduka pada 24 April 2017 di Istana Negara, lensa media tertumpu pada sekitar kisah-kisah keperibadian Seri Paduka yang disifatkan seorang raja berjiwa rakyat.

Sultan Muhammad V merupakan Sultan Kelantan kedua ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong selepas nenda Seri Paduka, Sultan Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim memegang jawatan berkenaan 37 tahun lepas.

Seri Paduka menggantikan Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 12 Dis 2016.

Sepanjang tahun ini juga menyaksikan Kelantan kerap mendapat perhatian daripada kerajaan pusat yang mengumumkan beberapa agenda penting untuk menambah baik kehidupan masyarakat di negeri itu, sekali gus membuktikan rakyat Kelantan tidak dianaktirikan dan dizalimi kerajaan pusat.

Antaranya projek pembinaan Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang bakal melonjakkan ekonomi negeri itu khususnya bagi masyarakat persekitaran Pelabuhan Perikanan Tok Bali di Pasir Puteh.

Tok Bali menjadi satu-satunya stesen ECRL yang mempunyai muatan kargo selain perkhidmatan penumpang, manakala empat stesen lain di negeri ini iaitu Jelawat di Bachok, Tunjung di Kota Bharu, Wakaf Bharu dan Pengkalan Kubor di Tumpat membabitkan pengangkutan penumpang sahaja.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dilaporkan berkata ECRL memainkan peranan penting dalam menarik pelabur melabur di negeri Pantai Timur khususnya Kelantan.

Selain ECRL, Kelantan turut menerima peruntukan bagi pembinaan Hospital Bachok, Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan jambatan baharu di Kampung Nibong, Tumpat, bagi menangani fenomena banjir termenung di kawasan itu

Kementerian Kesihatan meluluskan peruntukan sebanyak RM140 juta bagi pembinaan hospital itu di Kampung Bator, Jelawat di sini dan majlis pecah tanah tapak hospital itu disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 12 Mac lalu.

Pembinaan Hospital Bachok yang dijangka siap pada 2019 akan memberi perkhidmatan kepada lebih 156,000 penduduk di kawasan tersebut.

Selain itu, penduduk di negeri ini juga 'dihadiahkan' dengan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kelantan di Jalan Hamzah di sini, yang dibina dengan peruntukan RM37.8 juta oleh Kerajaan Persekutuan merupakan UTC ke-18 yang dibina kerajaan sejak diperkenalkan pada 2012.

Pada awal tahun ini juga, perdana menteri turut mengumumkan khabar gembira untuk mengkaji pembinaan sebuah jambatan bernilai kira-kira RM10 juta bagi menangani fenomena banjir termenung yang membelengu penduduk Kampung Nibong di Tumpat.

Selain itu, Kelantan juga tidak sunyi daripada isu politik dan antara yang menarik perhatian ialah pertikaian membabitkan Wisma Tok Guru di Salor di sini, sehingga menjadi antara perbualan hangat penduduk di negeri itu pada tahun ini.

Kemelut perebutan itu rancak selepas Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan mendapat berita mengejutkan apabila menerima notis supaya mengosongkan Wisma Tok Guru yang menjadi pejabat kepada Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor Datuk Husam Musa yang juga Naib Presiden parti itu.

Bagaimanapun pada 16 Nov, Husam gagal dalam usahanya untuk mendapatkan injunksi Mahkamah Tinggi bagi menghalang pemilik tanah, yang menempatkan wisma itu daripada membenarkan mana-mana pihak mengadakan aktiviti di tanah berkenaan.

Sumber: Bernama | 26 Disember 2017

Jumaat, 22 Disember 2017

'Tak macam Langkawi tapi HIV tertinggi di Kelantan'

PENDAPAT Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bahawa pembangunan di negeri itu sengaja dilambatkan untuk mengelak masalah sosial dibidas parti lawan.

Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) Kelantan, Khairul Nizam Abd Ghani berkata, dalam keadaan PAS melengahkan pembangunan sekali pun, masalah moral masih menjadi isu utama di negeri itu.

"Jika pembangunan yang pesat mengundang keruntuhan moral seperti kegiatan arak di Langkawi, kenapa Kelantan memperlahankan pembangunan tapi masih berlaku keruntuhan moral di kalangan masyarakat.

"Sebaliknya, Kelantan pula mencatatkan kes tertinggi HIV, pil kuda dan kekotoran sisa pepejal kesan moral rakyat sendiri," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Calon pilihan raya PSM bagi DUN Kota Lama itu berkata pertumbuhan yang lembab di Kelantan berpunca daripada kefahaman ekonomi yang lemah oleh para pemimpinnya.

Semalam Malaysiakini melaporkan, Mohd Amar mengakui kerajaan Kelantan sengaja melambatkan pembangunan di negeri itu kerana khuatir tidak dapat diikuti oleh rakyat seiring kemajuannya.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu mengambil contoh pembangunan di Langkawi, Kedah yang dikatakan memberi kesan besar terhadap kesan sosial masyarakat setempat.

Sementara itu Ketua Pemuda Parti Amanah negara (AMANAH) Kelantan Hazmi Hassan berkata pembangunan fizikal bukan hanya bermaksud mengambil tanah untuk membina bangunan seperti difahami Mohd Amar.

"Antara erti pembangunan ialah dengan memberi perhatian kepada kebajikan dan memenuhi keperluan rohani dan jasmani manusia.

"Pembangunan juga menyentuh cara urus kekayaan dan hasil negeri dengan perkongsian supaya manfaat dirasai bersama," katanya.

Beliau memberikan contoh industri pertanian di Kelantan yang disifatkan ketinggalan jauh di belakang tanpa sebarang inovasi daripada kerajaan negeri.

"Dan banyak lagi sektor tidak dibangunkan di Kelantan seperti industi pelancongan, kebudayaan dan industri kreatif.

"Sekiranya pembangunan hanya membina bangunan yang difahami beliau, saya sarankan beliau mendalami maksud sebenar pembangunan demi rakyat Kelantan," tegasnya.

Sumber: Malaysia Kini Online | 21 Disember 2017 | Pautan: www.malaysiakini.com/news/406241

Pembangunan Kelantan sengaja dilambatkan

KERAJAAN Kelantan mengakui pembangunan negeri itu agak terkebelakang berbanding negeri lain dan ia sesuatu yang disengajakan.

Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, kerajaan negeri mempunyai pendekatan tersendiri dalam menggerakkan pembangunan berbeza daripada negeri lain.

"Memang kita akui pembangunan fizikal negeri kita lambat. Kita sengaja melambatkan supaya kita nak pastikan pembangunan ini dapat dinikmati rakyat.

"Kalau kita cepatkan pembangunan, ambil dasar yang bebas kita boleh setanding dengan negeri seperti Selangor, tapi bahayanya kita risau rakyat akan ketinggalan.

“Orang kampung tak mampu turut dengan pembangunan," katanya dalam ceramah isu-isu semasa PAS Kawasan Pengkalan Chepa, di Kota Bharu, malam tadi.

Mohd Amar yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor berkata, dengan konsep pentadbiran Membangun Bersama Islam yang diamalkan sejak 27 tahun sudah banyak perubahan besar yang dilakukan oleh kerajaan negeri.

Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri mengambil pendekatan melakukan pembangunan yang dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat setempat.

"Kita mahu rakyat tempat dapat menikmati pembangunan, berbanding tempat lain yang membangun pesat tetapi rakyatnya terpaksa pindah dan lari," katanya yang mengambil contoh kemajuan di Langkawi, Kedah.

'Di Langkawi minum arak macam air sejuk'

Tambah Mohd Amar, Langkawi dibangunkan dengan pesat sebagai pusat pelancongan ketika zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri. Namun, katanya masyarakat setempat di Langkawi hari ini duduk entah di mana.

"Selain itu kita tengok kesan sosial, kalau kita tak kawal pembangunan kita dapat lihat kesan sosial.

"Di Langkawi orang minum arak macam minum air sejuk. Orang boleh beli arak secara terbuka.

"Akhirnya sebahagian besar anak-anak muda di Langkawi rosak daripada aspek sosial," ujarnya.

Sementara itu, naib presiden PAS itu menegaskan apa yang dilakukan kerajaan Kelantan selama pemerintah parti itu adalah bersesuaian dengan keperluan dan keupayaan di samping menjaga pemilikan tanah negeri.

"Di Kelantan tanah milik rizab Melayu adalah 90 peratus dan sebahagian saja berstatus tanah terbuka.

"Jadi kalau kita terlalu cepat membangun, akan berlaku kehilangan milik tanah rizab Melayu. Kita akan hilang tanah dalam negeri kita sendiri, "jelasnya.

Sumber: Malaysia Kini Online | 20 Disember 2017 | Pautan:  www.malaysiakini.com/news/406072

Ahad, 17 Disember 2017

BR1M penting bantu ringankan beban kewangan golongan B40 di Kelantan

KOTA BHARU: Program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) menjadi satu keperluan penting bagi meringankan beban kewangan kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) di Kelantan, kata Pengarah Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPek) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Prof Madya Dr Wan Ahmad Amir Zal Wan Ismail.

Wan Ahmad Amir Zal berkata hasil kajian Pemetaan Kemiskinan Kelantan yang dijalankan InsPek ke atas 3,000 responden di 10 jajahan di negeri ini pada tahun ini mendapati ramai golongan miskin memanfaatkan wang tersebut untuk membeli keperluan asas terutama makanan.

"Daripada kajian tersebut kita temui memang ada responden miskin yang tidak mampu untuk membeli makanan dan mereka memanfaatkan sumbangan BR1M untuk menampung keperluan itu," katanya kepada pemberita di Program Perbincangan Meja Bulat InsPeK Siri 2 di sini, hari ini.

Majlis berkenaan yang dirasmikan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Prof Dr Mohd Hassan Mohd Osman itu turut dihadiri Anggota Bersekutu InsPeK Prof Madya Dr Nobaya Ahmad.

Program tersebut memberi ruang perkongsian pengalaman dan kepakaran antara badan bukan kerajaan dalam usaha merangka model umum dan resolusi pengurusan kemiskinan di negara ini khususnya di Kelantan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Wan Ahmad Amir Zal berkata walaupun kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Kelantan mencecah 4.8 peratus tahun lepas dan menyamai Selangor, masyarakatnya masih berdepan kesukaran untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.

Beliau berkata kajian yang dijalankan pihaknya mendapati faktor ekonomi bukan satu-satunya punca keadaan tersebut berlaku tetapi turut dipengaruhi faktor lain termasuk budaya hidup, pengetahuan, kemahiran, hubungan sosial dan faktor persekitaran.

"Masalah sikap dan cara hidup masyarakat mempunyai kaitan dengan masalah kemiskinan di negeri ini. Terdapat responden yang mempunyai sikap tidak mahu memajukan diri seperti bangun lewat sehingga 11 pagi walaupun menyedari mereka miskin dengan alasan tiada kerja untuk dilakukan," katanya.

Beliau berkata walaupun terdapat sistem sokongan seperti projek penjanaan ekonomi yang diperuntukkan daripada pelbagai agensi kepada golongan terbabit namun ia kurang berjaya apabila hanya dilaksanakan separuh jalan menyebabkan mereka hilang sumber pendapatan.

Dalam pada itu, katanya Kelantan mempunyai potensi besar daripada segi ekonomi seperti ditunjukkan KDNK tahun lalu namun ia dikekangi faktor demografi penduduk yang mempunyai ramai warga emas, pasaran yang terhad dan faktor politik.

Bagaimanapun katanya keterbukaan yang ditunjukkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap pembangunan khususnya di Kelantan ketika ini dijangka mampu meningkatkan perkembangan ekonomi di negeri berkenaan.

Untuk rekod sehingga April lalu data e-Kasih menunjukkan terdapat 10,089 orang miskin tegar dan 41,320 orang miskin di Kelantan.

Sumber: Bernama | 17 Disember 2017

Nelayan Pantai Sabak dakwa nelayan Vietnam rosakkan unjam

KOTA BHARU: Pihak berkuasa digesa mengambil tindakan tegas terhadap nelayan Vietnam yang didakwa memusnahkan unjam nelayan tempatan sehingga menjejaskan pendapatan mereka. 

Lebih 200 nelayan pesisir pantai di Jeti Tanjong Kuala dekat Pantai Sabak, Pengkalan Chepa di sini mendakwa nelayan negara itu menggunakan bot Kelas C dan menceroboh masuk ke zon tangkapan nelayan pesisir menyebabkan unjam milik nelayan tempatan rosak.

Pengerusi Komuniti Nelayan Tanjong Kuala Mohd Faizal Rashid mendakwa pencerobohan tidak terkawal membolehkan nelayan asing itu mengaut seberapa banyak tangkapan di kawasan tersebut sehingga menjejaskan mata pencarian nelayan tempatan di kawasan itu.

"Sudah lama perkara ini berlarutan namun, ia semakin membimbangkan sejak akhir-akhir ini kerana nelayan asing semakin rakus menangkap ikan di kawasan nelayan pesisir pantai," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Menurutnya semasa musim tengkujuh sekarang, nelayan pesisir pantai banyak bergantung kepada unjam yang kini musnah akibat kegiatan nelayan asing itu.

Sehubungan itu, beliau berharap agensi berkenaan termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Perikanan, Polis Marin dan Jabatan Laut mengambil tindakan tegas berhubung isu itu.

Ketua Pengarah Perikanan Datuk Munir Mohd Nawi yang membuat lawatan ke Jeti Tanjong Kuala berkata isu itu akan dibincangkan dengan agensi terbabit bagi memastikan aktiviti pencerobohan itu ditangani segera.

Sumber: Bernama | 17 Disember 2017

Jabatan Imigresen Kelantan tahan dua tekong seludup 17 PATI

KOTA BHARU: Jabatan Imigresen Kelantan menahan dua lelaki tempatan berusia 23 dan 37 tahun disyaki tekong yang terbabit dalam aktiviti menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan.

Pengarahnya Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata tangkapan tersebut dilakukan di Kampung Tersang, Jeram Perdah, Pasir Mas kira-kira pukul 11.30 malam pada Jumaat lepas.

Beliau berkata kedua-dua suspek ditahan ketika sedang membawa 17 PATI warga Myanmar berusia tiga hingga 49 tahun menggunakan sebuah kereta dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).

“Seorang daripada suspek cuba melarikan diri selepas kami memperkenalkan diri namun berjaya ditahan, manakala rakannya ditahan ketika berada di dalam MPV berkenaan.

“Kesemua PATI berkenaan dipercayai masuk ke negara ini menerusi pangkalan haram Tersang tanpa menggunakan dokumen yang sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Wan Mohammed Saupee berkata kesemua warga Myanmar terbabit disiasat menurut Akta Imigresen 1959/1963 manakala dua suspek berkenaan disiasat mengikut Seksyen 26 (J) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Beliau berkata pihaknya turut merampas kedua-dua kenderaan terbabit yang dianggarkan bernilai RM18,000 dan RM95,000.

Sumber: Bernama | 17 Disember 2017 

Jumaat, 15 Disember 2017

Jangan tiru iklan usahawan bodohkan diri sendiri

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Datuk Dr Ibrahim Che Omar (tengah) menyampaikan cenderahati kepada Pengarah Urusan Jamu Mak Dara Sdn. Bhd., Syed Muhammad Ghaddafi Syed Ali Al-Habshee selepas program Syarahan Perdana bertajuk 'Perintis Jutawan Muda' di Kampus Kota Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Pengkalan Chepa di Kota Bharu hari ini.
KOTA BHARU: Usahawan muda tidak perlu meniru cara segelintir pihak menarik perhatian pengguna melalui iklan yang memperbodohkan diri sendiri.

Pengarah Urusan Jamu Mak Dara Sdn. Bhd., Syed Muhammad Ghaddafi Syed Ali Al-Habshee berkata, strategi memasarkan produk dengan cara memfokuskan kepada kemewahan dan gaya hidup pengusaha adalah sangat mengelirukan dan merupakan contoh yang buruk kepada usahawan baharu.


Beliau berkata, usahawan sepatutnya memberi pendidikan serta maklumat tentang kebaikan produk dan bukannya menjuruskan tumpuan kepada diri sendiri.


“Kalau anda bodohkan diri untuk lariskan produk mungkin orang suka beli tetapi sekejap saja kerana apabila anda sudah tiada maka perniagaan anda juga mati.


“Kita sepatutnya mendidik pengguna tentang kebaikan produk yang kita keluarkan dan bukannya mencari ‘spotlight’ untuk diri sendiri.


“Apabila masyarakat mempunyai informasi yang baik mengenai produk kita, kalau kita mati sekalipun orang akan tetap cari produk kita,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas menyampaikan Syarahan Perdana bertajuk ‘Perintis Jutawan Muda’ di Kampus Kota Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Pengkalan Chepa di sini hari ini.


Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK Prof. Datuk Dr Ibrahim Che Omar dan Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi Keusahawanan Global (GERIC) UMK, Prof. Dr. Nik Maheran Nik Muhamad.


Program tersebut adalah penamat bagi siri syarahan termasuk Syarahan Pengerusi dan Syarahan Pelantikan Profesor anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) UMK bagi tahun ini.
Sumber: Utusan Online | Nasional | 14 Disember 2017

Khamis, 14 Disember 2017

Jabatan Perhutanan Kelantan pandang serius kewujudan kilang papan haram

TANAH MERAH:  Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan mengesan antara 50 dan 60 kilang papan di negeri ini yang beroperasi secara haram setakat ini.

Pengarahnya Datuk Zahari Ibrahim berkata kewujudan kilang-kilang itu telah mendorong kepada kegiatan pembalakan haram di negeri ini.

Pembalakan secara haram terus berlaku kerana balak yang ditebang itu dibeli oleh kilang-kilang terbabit untuk diproses, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Kelantan 2017 di Dewan Jubli Perak Majlis Daerah Tanah Merah di sini, hari ini.

Zahari berkata kewujudan kilang haram itu juga disebabkan oleh sikap pemilik tanah persendirian yang turut menjual kayu-kayan yang terdapat dalam tanah mereka kepada kilang terbabit.

"Dengan cara itu mereka boleh mendapat pendapat sampingan secara mudah tanpa mengikut peraturan yang digariskan oleh pihak berkuasa, "katanya.

"Kilang berskala kecil itu dibina di belakang rumah dan membeli kayu daripada orang kampung serta pembalak haram dan kebanyakannya terdapat di jajahan Kuala Krai dan Gua Musang," katanya.

Beliau berkata sehingga kini antara 20 dan 30 kilang haram sudah dikenakan tindakan seperti sitaan dan rampasan oleh pihaknya.

Katanya pihaknya juga melaksanakan program pemutihan bagi memastikan hanya kilang yang beroperasi secara sah sahaja dibenarkan di negeri ini.

"Kita menggalakkan industri-industri kayu ini ditempatkan dalam satu zon yang sesuai supaya mereka dapat beroperasi dengan baik, " katanya.

Sumber: Bernama | 14 Disember 2017

PRU14: UMNO Kelantan rangka manifesto khas tawan Kelantan

MACHANG: Badan Perhubungan UMNO Kelantan hampir siap merangka manifesto khas dalam misi menjadikan Kelantan milik Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kata Timbalan Pengerusinya Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Beliau berkata manifesto itu dirangka berdasarkan pandangan pelbagai pihak termasuk institusi pengajian tinggi, pegawai kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan cendekiawan yang berasal dari Kelantan.

"Manifesto berkenaan mula dirangka sejak dua bulan lepas dan akan diserahkan kepada Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mendapat kelulusan," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra dengan guru-guru berasal dari Kelantan yang bertugas di luar negeri itu di Sekolah Kebangsaan Machang 2 di sini, hari ini.

Turut hadir Pemangku Pengarah Jabatan Pendidikan Kelantan Mohamad Zahari Othman.

Ahmad Jazlan yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata UMNO Kelantan akan melancarkan manifesto itu dan diedar kepada rakyat Kelantan selepas Parlimen dibubarkan.

Beliau berkata walaupun Kerajaan Persekutuan telah banyak melaksanakan projek pembangunan di negeri itu tetapi masih banyak lagi yang perlu dilakukan kerana kerajaan negeri pentadbiran PAS tidak mampu melakukannya walaupun diberi peluang 27 tahun memerintah.

"Ini termasuk gagal membina sistem perparitan dan longkang yang lebih sempurna terutama di kawasan pihak berkuasa tempatan yang menyebabkan rumah penduduk mudah dilanda banjir kilat setiap kali hujan lebat," katanya.

Beliau yakin menerusi manifesto itu, rakyat Kelantan termasuk pengundi luar yang sayangkan negerinya akan memberi sokongan padu terhadap calon-calon BN yang bertanding pada pilihan raya tersebut.

Sumber: Bernama | 14 Disember 2017

Tebatan banjir sepanjang 26 kilometer dibina di Tumpat

TUMPAT: Kerajaan Persekutuan akan melaksanakan projek tebatan banjir bernilai RM300 juta di sepanjang Sungai Golok di Tumpat bermula awal tahun hadapan bagi mengatasi masalah 'banjir termenung' di jajahan itu.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Dr Hamim Samuri berkata projek tebatan banjir sepanjang 26 kilometer itu akan bermula di Pengkalan Kubor hingga ke Kuala Jambu, di sini.

"Tebatan setinggi satu hingga tiga meter itu dijangka akan dibina Feb depan selepas sesi pemilihan kontraktor yang layak diselesaikan dalam masa terdekat. Projek ini dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun setengah," katanya kepada pemberita sempena lawatan kerjanya ke Kelantan hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Kelantan Kamal Mustapha dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor Mat Razi Mat Ail.

Hamim turut melawat tapak projek tebatan banjir tersebut selain meninjau perkembangan terkini kawasan yang dilanda banjir di negeri ini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Hamim berkata projek tebatan banjir itu turut melibatkan pembinaan pintu laluan automatik dan pembentung air bagi memastikan air dari kawasan perkampungan dapat dialirkan ke sungai tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata kementeriannya turut menyediakan kemudahan 110 unit pam air bergerak untuk kegunaan musim banjir di seluruh negara bernilai lebih RM30 juta.

Sementara itu, Mat Razi berkata projek tebatan banjir tersebut bukan hanya akan memberi keselesaan kepada ribuan penduduk malah mampu mengelakkan lebih 200 hektar sawah padi di sekitar Pengkalan Kubor daripada ditenggelami banjir.

Katanya dengan terbinanya tebatan tersebut masalah 'banjir termenung', iaitu masalah air banjir bertakung yang selama ini mengambil masa sehingga tiga minggu untuk surut bakal diatasi.

"Keprihatinan yang ditunjukkan kerajaan pusat ini pastinya memberi kelegaan kepada semua pihak terutama penduduk kampung. Kami amat menghargainya dan ia diharap mampu menyelesaikan masalah yang membelenggu penduduk sejak sekian lama," katanya.

Sumber: Bernama | 14 Disember 2017