Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 2 Januari 2021

Masjid Razaleigh bakal dibuka April

Masjid Razaleigh di pusat bandar Gua Musang (Bandar Lama). Foto ihsan: Majlis Daerah Gua Musang (MDGM)
GUA MUSANG
: Masjid Razaleigh yang menyerupai Masjidil Haram Makkah bertempat di Bandar Lama, di sini, bakal dibuka April ini kepada umat Islam untuk menunaikan ibadat. 

Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah mengakui pembukaan masjid itu sudah beberapa kali tertangguh sebelum ini berikutan pandemik COVID-19 yang melanda negara ini. 

Beliau berkata memang merugikan jemaah jika masjid itu dibuka ketika wabak itu masih belum berakhir memandangkan ruangan jemaah tidak boleh dipenuhi orang ramai susulan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan COVID-19. 

Beliau turut berkata pembinaan masjid dengan kos RM32 juta itu, mempunyai sembilan menara seperti Masjidil Haram Makkah akan dibuka kepada pelawat dari seluruh negara yang ingin melihat keindahan masjid termoden serta yang pertama di negara ini. 

"Tidak ada halangan bagi mereka yang hendak melawat dan melihat lebih dekat masjid itu pada bila-bila masa. Namun kita akan lihat keadaan, sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) disambung selepas Mac ini, mungkin pembukaan masjid ini akan ditangguhkan lagi," katanya kepada media selepas melawat masjid berkenaan, di sini, hari ini. 

Jelasnya, pembinaan masjid baharu itu bagi menggantikan masjid lama yang kerap ditenggelami banjir setiap kali musim tengkujuh sehingga mengakibatkan pelbagai kerosakan peralatan. 

Malah, katanya, masjid lama itu juga tidak dapat menampung jumlah jemaah yang ramai berbanding Masjid Razaleigh yang lebih besar serta lengkap dengan kemudahan termasuk bilik imam, bilal, ruang mesyuarat, dewan makan dan bilik taklimat. 

Sumber: BERNAMA | 2 Januari 2021

Jumaat, 18 Disember 2020

Projek pembinaan Terminal Pengangkutan Bersepadu KB Sentral dijangka bermula 2021

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan melalui Bahagian Pelaburan Kelantan telah mengeluarkan notis pelawaan untuk mengemukakan cadangan atau request for proposal (RFP) bagi tujuan pembangunan sebuah Terminal Pengangkutan Bersepadu Kota Bharu Sentral (KB Sentral) di Bandar Baru Tunjong, Kota Bharu, Kelantan. 

Dokumen RFP tersebut telah mula dijual dari 13 Disember 2020 sehingga 12 Januari 2021, manakala tarikh tutup penghantaran RFP adalah pada 11 Februari 2021. 

KB Sentral akan dibangunkan di atas tapak seluas 17.37 ekar yang terletak di Mukim Pendek, Daerah Pendek, Jajahan Kota Bharu yang akan menjadi terminal bas ekspres utama bagi bandar raya Kota Bharu. 


Menurut laporan Buletin Darulnaim pada 1 Jun 2020 lepas, KB Sentral akan dibangunkan secara berasingan dengan projek Stesen Kereta Api ECRL Kota Bharu yang sedang dibangunkan di Bandar Baru Tunjong. 

Pembangunannya berkonsepkan seperti Stesen Sentral Kuala Lumpur di bandar raya Kuala Lumpur atau Penang Sentral di bandar raya Butterworth, Seberang Perai, Pulau Pinang.

Projek KB Sentral dijangka dapat dimulakan seawal pertengahan tahun 2021 dan apabila siap kelak, ia akan menjadi sebuah pusat logistik utama negeri, manakala semua operasi bas ekspres di Terminal Bas Kota Bharu di Lembah Sireh akan dipindahkan ke sini. 

Projek ini boleh dianggap sebagai salah satu penanda aras atau kemudahan yang perlu ada bagi melayakkan Kota Bharu mencapai taraf bandar raya penuh pada tahun 2023. 

Selasa, 8 Disember 2020

Hotel Ibis Styles Kota Bharu kini dibuka


KOTA BHARU
: Rantaian hotel antarabangsa Ibis Styles telah membuka satu lagi cawangannya di Malaysia, iaitu di Kota Bharu, Kelantan pada 7 Disember 2020. Ibis Styles merupakan jenama hotel kelas ekonomi yang menyediakan penginapan gaya mewah bertaraf tiga bintang. Jenama ini dimiliki dan diuruskan Kumpulan Accor yang berpangkalan di Perancis. 

Hotel Ibis Styles Kota Bharu terletak di kawasan tepi Sungai Kelantan, iaitu di dalam kawasan pusat bandar raya Kota Bharu dan tidak berapa jauh dengan tempat-tempat menarik di sekitar bandar raya ini seperti Muzium Kelantan, Balai Seni Lukis Kelantan, Menara Jam Besar Kota Bharu (Bulatan Tuan Padang), Pasar Besar Siti Khadijah, Zon Budaya, Tambatan Diraja, dan Dataran Bandar Raya (tapak pasar malam). Untuk bersantai sambil membeli-belah, hotel ini juga tidak berapa jauh dari pusat-pusat beli-belah terunggul di Kota Bharu seperti KB Mall dan Aeon Mall Kota Bharu. 

Di Malaysia, rantai hotel antarabangsa ini juga beroperasi di bandar-bandar raya Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu, manakala satu lagi cawangan akan dibuka di bandar raya Iskandar Puteri, Johor pada bulan Mac 2021 nanti. 
Hotel Ibis Styles Kota Bharu terletak bersebelahan dengan Pangsapuri Kiara D'Riva Sky Riverfront (Kiara D'Riva) di tebing Sungai Kelantan dan tidak berapa jauh dari Istana Kota Lama.  Foto ihsan: Kiara D'Riva
Kemudahan

Hotel Ibis Styles Kota Bharu menawarkan empat jenis bilik dengan 132 buah bilik kesemuanya yang sesuai untuk pelbagai jenis tetamu, iaitu dari pengembara solo sehinggalah yang datang bercuti bersama keluarga dan sahabat handai. Empat jenis bilik tersebut adalah seperti berikut:- 
  1. Bilik superior dengan 1 katil kelamin (superior room with 1 double bed)
  2. Bilik superior dengan 2 katil bujang (superior room with 2 single beds)
  3. Bilik keluarga dengan 1 katil sofa (family room with 1 sofa bed)
  4. Suite mewah dengan 1 katil kelamin (deluxe suite with 1 double bed) 
Hotel ini juga menawarkan kemudahan empat (4) dewan seminar yang boleh digunakan untuk mengadakan mesyuarat, seminar, dan sebagainya. Kemudahan lain yang turut disediakan adalah kafe, tempat parkir, dan kemudahan jalur lebar tanpa wayar (WiFi). 

Maklumat Lanjut dan Tempahan Bilik 

Untuk maklumat lanjut dan urusan tempahan bilik boleh dibuat secara terus melalui laman sesawang http://all.accor.com/9928. Tempahan juga boleh dibuat melalui laman tempahan hotel utama seperti Agoda dan Hotels.com. Maklumat lanjut tentang hotel baharu ini juga boleh didapati melalui laman sosial Facebook dan Instagram, iaitu www.facebook.com/ibisstyleskotabharu dan ibisstyles_kotabharu (Instagram). 

Panduan Perjalanan ke Bandar Raya Kota Bharu, Kelantan 

Jika anda berkunjung ke Kota Bharu dengan pengangkutan udara, anda tidak perlu risau untuk bergerak dari sesebuah hotel ke tempat-tempat menarik di sekitar pusat bandar raya kerana jaraknya dekat sahaja. Untuk ke pusat-pusat beli-belah yang jauh sedikit dari hotel penginapan misalnya anda boleh menggunakan perkhidmatan e-panggilan seperti Grab Car dan My Car. Perkhidmatan e-panggilan begitu mudah didapati di bandar raya ini.  

Penerbangan Malaysia menawarkan perkhidmatan penerbangan harian dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu, manakala anak syarikat Penerbangan Malaysia, iaitu Firefly menawarkan perkhidmatan penerbangan terus ke Kota Bharu dari Subang (Shah Alam), Pulau Pinang, dan Johor Bahru. Dalam pada itu, Malindo Air juga menawarkan penerbangan harian dari Subang ke Kota Bharu. 

Syarikat penerbangan Air Asia pula menawarkan enam laluan dari atau ke Kota Bharu seperti berikut:-
  1. Kota Bharu - Kuala Lumpur (penerbangan harian) 
  2. Kota Bharu - Kota Kinabalu (3 kali seminggu, iaitu setiap Selasa, Khamis, dan Sabtu) 
  3. Kota Bharu - Kuching (3 kali seminggu, iaitu setiap Selasa, Khamis, dan Sabtu) 
  4. Kota Bharu - Pulau Langkawi (3 kali seminggu, iaitu setiap Selasa, Khamis, dan Sabtu mulai 19 Disember 2020) 
  5. Kota Bharu - Johor Bahru (3 kali seminggu, iaitu setiap Selasa, Khamis, dan Sabtu mulai 22 Disember 2020) 
  6. Kota Bharu - Pulau Pinang (3 kali seminggu, iaitu setiap Selasa, Khamis, dan Sabtu mulai 22 Disember 2020) 
Satu lagi syarikat penerbangan, iaitu Scoot masih menggantung laluan Singapura - Kota Bharu disebabkan halangan perjalanan bagi rakyat kedua-dua negara ekoran penularan wabak koronavirus 2019 (COVID-19). Semarakkan aktiviti pelancongan domestik, jom cuti-cuti Malaysia Kelantan! 

Isnin, 30 November 2020

Lebuh Raya CSR, KBKK dijangka siap 2025 - Mustapa

Mustapa Mohamed
KOTA BHARU: Projek pembinaan Lebuh Raya Utama Tengah (CSR) dan Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai (KBKK) dijangka siap sepenuhnya pada 2025, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata sehingga kini 21 peratus daripada keseluruhan jajaran CSR siap dibina dan boleh digunakan orang ramai, yang meliputi jalan sepanjang 62 kilometer (km) dari Merapoh hingga ke Kampung Seberang Jelai di Pahang. 

"Sebahagian jajaran KBKK yang siap dan boleh digunakan pula adalah dari Pasir Hor ke Ketereh di Kelantan melibatkan laluan sepanjang 13.85 km, iaitu 20 peratus daripada keseluruhan projek ini. 

"Apabila keseluruhan jajaran CSR dan KBKK siap kelak, ia dijangka dapat mengatasi masalah kesesakan terutamanya ketika waktu puncak, hujung minggu dan musim perayaan, selain membantu mengurangkan kadar kemalangan," katanya kepada pemberita selepas hadir mesyuarat bersama dua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Kelantan di sini, hari ini. 

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan Datuk Hanifa Ahmad serta Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Negeri Datuk Azami Mohd Nor. 

Mustapa berkata projek CSR melibatkan pembinaan lebuh raya sepanjang 295.7 km dari Bentong, Pahang ke Kuala Krai, Kelantan, manakala KBKK melibatkan laluan sejauh 67.6 km dengan kos keseluruhan sebanyak RM9.5 bilion. 

Katanya bagaimanapun, kedua-dua projek dalam Belanjawan 2021 itu hanya dapat dilaksanakan jika mendapat kelulusan dalam perbincangan peringkat jawatankuasa di persidangan Dewan Rakyat kali ini. 

Ditanya mengenai projek pembesaran terminal Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), dekat sini, Mustapa berkata ketika ini, projek itu masih dalam proses pemilihan kontraktor yang dijangka mengambil masa sebulan sebelum kerja-kerja dapat dimulakan. 

“Kita menjangkakan projek berkenaan dapat dimulakan awal tahun hadapan dan mungkin mengambil masa tiga hingga empat tahun untuk siap,” katanya. 

Sumber: BERNAMA | 29 November 2020

CSR, KBKK Expressway projects set to be ready in 2025 - Mustapa

Mustapa Mohamed
KOTA BHARU: The construction of the Central Spine Road (CSR) project and Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK) Expressway are expected to be completed in 2025, said Minister in the Prime Minister’s Department (Economy) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

He said to date, 21 per cent of the CSR line had been completed, with 62 km of the road from Merapoh to Kampung Seberang Jelai in Pahang already in use. 

“As for the KBKK road, 13.85 km or 20 per cent is already in use from Pasir Hor to Ketereh in Kelantan. 

“Once the two road projects are completed, they are expected to reduce traffic congestion, especially during peak hours, weekends and festive seasons, besides helping to reduce accident rates,” he told reporters after meeting two Kelantan executive council (exco) members here, today. 

They are Industrial, Trade, Investment and Entrepreneur Development Committee chairman Datuk Hanifa Ahmad and Works, Infrastructure, Transport and Utilities Committee chairman Datuk Azami Mohd Nor. 

Mustapa said the CSR project involved the construction of a 295.7 km highway from Bentong, Pahang to Kuala Krai, Kelantan while the 67.6 km-long KBKK Expressway comprised several packages, with the total cost approved for both projects being RM9.5 billion. 

He added that RM815 million has also been allocated for the two projects next year, with RM165 million being set aside for the implementation of the KBKK project. 

“A total of RM270 million has been allocated for the CSR project in Kelantan and RM380 million for the CSR line in Pahang,” he said. 

However, Mustapa said the two projects, which were proposed under Budget 2021, could only be carried out if the Budget is passed in Parliament. 

Asked about the Sultan Ismail Petra Airport terminal expansion project, Mustapa expects work to start in about a month’s time as the contractor selection process was still being carried out. 

“We expect the project to begin early next year and be completed in three to four years,” he said. 

Source: BERNAMA | 29 November 2020

Rabu, 4 November 2020

LADA laksana promosi di Kelantan tarik pelancong Pantai Timur ke Langkawi


LANGKAWI
: Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) bersama-sama pemain industri akan mengadakan program promosi di Kelantan bagi menarik pengunjung dari Pantai Timur ke pulau peranginan bebas cukai itu, seterusnya merancakkan kembali sektor pelancongan yang terjejas akibat pandemik COVID-19. 

Ketua Pegawai Eksekutif LADA Dr Hezri Adnan berkata langkah itu diambil berikutan syarikat penerbangan tambang murah AirAsia bakal membuka laluan Kota Bharu ke Langkawi mulai 8 Disember. 

"LADA sedang membuat perancangan bersama-sama pemain industri pelancongan untuk ke Kota Bharu, Kelantan berjumpa dengan pentadbiran kerajaan negeri untuk menguar-uarkan pakej menarik yang ditawarkan kepada pengunjung dari laluan itu. 

“Berkenaan tarikh, LADA masih meneliti waktu sesuai program promosi sama ada sebelum atau selepas laluan penerbangan dibuka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pelepasan Peranti Pengumpulan Ikan/Unjam di Pangkalan Nelayan Kuala Muda. 

Beliau berkata Langkawi kini berada dalam zon hijau berikutan tiada kes aktif COVID-19 dilaporkan selepas pesakit terakhir yang mendapat rawatan di Hospital Sultanah Maliha di sini dibenarkan pulang pada 13 Oktober lepas. 

Hezri juga berkata program pelepasan peranti pengumpulan ikan/unjam adalah satu inisiatif LADA, beberapa agensi kerajaan lain serta komuniti nelayan setempat untuk membantu merancakkan sektor perikanan di pulau itu. 

"Berikutan pandemik COVID-19, kita menyedari peratusan mereka yang turun ke laut semakin meningkat bukan sahaja di Pangkalan Nelayan Kuala Muda ini malahan di seluruh Langkawi. 

“Menerusi jalinan kerjasama ini, kita harap dapat bantu sektor perikanan seterusnya mereka yang hilang pendapatan dalam bidang pelancongan kerana pandemik COVID-19. Selain komuniti nelayan Kuala Muda, kita akan laksanakan program sama bersama beberapa lagi komuniti nelayan di pulau ini," katanya. 

Ketua Komuniti Nelayan Pangkalan Kuala Muda Nazeri Hanafi pula berkata tiga unjam akan dibina menggunakan kira-kira 300 pembetung, 200 cerucuk konkrit, batuan dan 100 batang buluh. 

“Unjam akan diletakkan di tiga lokasi pada jarak 0.4 batu nautika antara satu sama lain dan kira-kira empat batu nautika dari pesisir pantai pada kedalaman 33.5 meter (110 kaki),” katanya. 

Sumber: Bernama | 3 November 2020

Selasa, 3 November 2020

Laksana segera lima projek mega di Kelantan

Mohd. Amar Abdullah (tengah) mengadakan lawatan Pameran Tiga Dekad Pentadbiran Kelantan Membangun Bersama Islam di Muzium Negeri hari ini.
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan berharap lima projek mega yang dijanjikan oleh Kerajaan Persekutuan pada tahun lalu dapat diteruskan dan dilaksanakan dengan segera.

Lima projek tersebut adalah pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3), pembesaran dan naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), laluan baharu antara Pasir Puteh-Machang-Jeli, Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai, dan Jambatan Palekbang - Penambang (Kota Bharu).

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Abdullah berkata, bagi pembinaan Jambatan Palekbang - Kota Bharu, ia akan memulakan kerja pembinaan awal tahun depan.

Katanya, bagaimnapun, masih ada projek yang belum selesai kerana terdapat isu berkaitan tender seperti pembesaran dan naik taraf LTSIP.

“Kita harap projek mega itu dapat dilaksanakan pada tahun depan seperti yang dijanjikan kerajaan pusat sebelum ini (tahun lepas)

“Ia juga merupakan harapan besar rakyat Kelantan terhadap perkara itu terus berjalan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan Pameran Tiga Dekad Pentadbiran Kelantan Membangun Bersama Islam di Muzium Negeri di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan bahawa Kelantan bakal mendapat limpahan pembangunan apabila lima projek utama akan diberi keutamaan oleh Kerajaan Persekutuan untuk disiapkan dalam tempoh terdekat.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Amar berkata, Bajet 2021 yang akan dibentangkan nanti berharap mampu menangani penularan wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi.

“Kita tahu negara menghadapi pandemik Covid-19 dan pelbagai langkah diambil kerajaan dalam membantu meningkatkan ekonomi,” katanya. 

Sumber: Kosmo Online | 2 November 2020

Rabu, 30 September 2020

Empat infrastruktur utama Sukma Kelantan dibina tahun depan

Wan Roslan (dua dari kiri) berbincang dengan Ong Kim Swee (dua dari kanan) selepas Majlis Perasmian Penutup Seminar Pembangunan Kejurulatihan Bola Sepak Remaja 2020 di Kota Bharu.

KOTA BHARU
: Empat infrastruktur utama untuk Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di negeri ini dijangka mula dibina tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, stadium utama, stadium tertutup, pusat renang dan velodrom antara yang menjadi tumpuan pihaknya selain daripada beberapa lagi infrastruktur asas yang lain.

"Kita telah melawat negeri-negeri khususnya Johor yang kini sedang menguruskan Sukma ke-20 dan kita baru selesai buat 'value management' melibatkan lokasi-lokasi dan infrastruktur yang kita akan bina di Kelantan.

"Bila siap nanti kita akan majukan kepada Jemaah Menteri untuk mendapatkan jawapan balas berkenaan jumlah peruntukan yang boleh kerajaan beri kepada Kelantan dalam persiapan membina infrastruktur tersebut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Wan Roslan hadir merasmikan Penutup Seminar Pembangunan Kejurulatihan Bola Sepak Remaja 2020 di Hotel Grand Riverview, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Majlis Sukan Negeri Kelantan, Muhammed Imran Mansoor dan Ketua Unit Pembangunan Belia Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Ong Kim Swee.

Mengulas lanjut, Wan Roslan berkata, infrastruktur tersebut dijangka didirikan di atas tanah seluas 60.70 hektar di Bukit Merbau, selain di beberapa lokasi lain seperti Kota Bharu dan Jeli.

Malah katanya, pembinaannya juga bertaraf antarabangsa termasuklah litar-litar sukan bermotor dan keperluan asas lain seperti asrama dan juga Pejabat Perbadanan Stadium.

"Kerajaan negeri telah membelanjakan RM10 juta untuk membayar tanah rakyat di kawasan Bukit Merbau itu sebagai langkah awal untuk pembinaan kompleks sukan tersebut. Insya-ALLAH semuanya akan berjalan lancar nanti," katanya.

Wan Roslan juga memberitahu, satu sekretariat juga akan ditubuhkan untuk menjadi penggerak dan pemikir untuk pelaksanaan semua infrastruktur yang dirancang.

Malah beliau juga telah meminta MSN Kelantan untuk menyediakan satu pelan pembangunan atlet supaya Kelantan juga boleh menjuarai beberapa sukan pilihan dalam Sukma nanti dan bukan sekadar menjadi tuan rumah.

Sumber: Sinar Harian | Sukan | 28 September 2020

Kelantan rancang bina kemudahan sukan RM600 juta

KUALA LUMPUR: Tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) 2024, Kelantan membuktikan komitmen mereka untuk mengelolakan temasya itu apabila merancang membina kemudahan sukan bernilai RM600 juta di beberapa daerah negeri itu. 

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata kemudahan itu membabitkan pembinaan kompleks sukan tertutup, kompleks sukan renang, sukan menembak dan velodrom yang akan dibina bermula tahun depan. 

Jelasnya, kemudahan terbabit akan dijadikan sebagai pusat riadah kepada penduduk negeri itu selepas digunakan bagi tujuan temasya terbabit. 

"Kita sudah ke Johor untuk melihat kemudahan sukan yang ada di sana. Kita juga selesai membuat pengurusan venue bagi infra yang akan dibina di Kelantan dan akan dibawa ke Jemaah Menteri dalam masa terdekat untuk kelulusan peruntukan. 

"Kita akan bina stadium dan kompleks sukan di Bukit Merbau dengan anggaran kos RM600 juta. Kita ada 320 ekar tanah tetapi kita akan guna separuh dahulu. Stadium akuatik akan dibina di Kota Bharu dan velodrom pula di Jeli. Semuanya akan bertaraf antarabangsa," katanya. 

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Pembangunan Kejurulatihan Bola Sepak Remaja 2020 anjuran Majlis Sukan Negeri Kelantan bersama Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), semalam. 

Mengulas berkaitan seminar yang dianjurkan, Wan Roslan menjelaskan kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) akan sentiasa bekerjasama dengan NFDP dalam memperkasakan pembangunan bola sepak di Kelantan. 

"Hasrat saya adalah supaya jurulatih ada pengalaman yang luas. Biar kita ada kemahiran sendiri seperti Brazil yang terkenal dengan Samba. 

"Kita mahu jurulatih kita ada pengetahuan dan ilmu yang tinggi dalam melatih remaja di Kelantan. Terima kasih kepada panel dari NFDP yang sudi berkongsi pengalaman dan tunjuk ajar dengan jurulatih di sini," katanya.

Sumber: Berita Harian Online | 28 September 2020

Isnin, 20 Mei 2019

MPSP bakal dinaik taraf sebagai Majlis Bandaraya Seberang Perai

Menara MPSP di Bandar Perda, Bukit Mertajam, Seberang Perai, Pulau Pinang.
BUKIT MERTAJAM: Pulau Pinang akan menjadi satu-satunya negeri di Malaysia yang kesemua Pihak Berkuasa Tempatannya (PBT) bertaraf bandar raya.

Pulau Pinang mempunyai dua PBT, iaitu Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) yang memperoleh status majlis bandar raya pada tahun 2015, dikenali sebagai Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata Kerajaan Persekutuan telah meluluskan permohonan Kerajaan Negeri untuk menaik taraf MPSP kepada majlis bandar raya pada minggu lepas.

"Terdapat 155 buah PBT di Malaysia dan 13 daripadanya bertaraf bandar raya. MPSP akan menjadi PBT ke-14 dinaik taraf sebagai majlis bandar raya dan yang pertama selepas pilihan raya umum ke-14," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata pengumuman rasmi berhubung status MPSP sebagai majlis bandar raya akan dibuat selepas Hari Raya Aidilfitri setelah semua dokumen siap.

"Kerajaan Negeri perlu membuat keputusan siapa yang akan menjadi Datuk Bandar untuk Majlis Bandaraya Seberang Perai setelah ia disokong," katanya.

Jagdeep berkata warga MPSP mempunyai tanggungjawab yang besar untuk mengekalkan pencapaian sedia ada selepas PBT itu dinaik taraf sebagai bandar raya.

"Ini menjadi satu perkara yang saya ingin tekankan. Rakyat akan mempunyai jangkaan yang lebih tinggi terhadap Majlis Bandaraya Seberang Perai. Proses penyampaian perkhidmatan adalah satu perkara yang dititikberat dan perlu kita tingkatkan," katanya.

Sumber: Bernama | 20 Mei 2019

Jambatan baharu Pulau Setelu boleh diguna menjelang Hari Raya Aidilfitri

Ab Aziz Yusoff meninjau jambatan kekal Pulau Setelu yang dibina di Kampung Pulau Setelu, Gua Musang, Kelantan.
GUA MUSANG: Impian lebih 5,000 penduduk di 10 buah kampung di sini untuk mendapat sebuah jambatan kekal menjadi kenyataan apabila infrastruktur baharu bernilai RM36.7 juta itu telah siap dibina. 

Selepas hampir lima tahun menunggu, jambatan yang menghubungkan jalan Gua Musang - Jeli sepanjang 700 meter dengan itu bakal dibuka seminggu sebelum Hari Raya Aidilfitri ini. 

Antara penduduk kampung yang menerima manfaat ialah Kampung Pulau Setelu, Kampung Star, Kampung Prak, Kampung Kuala Lah, Kuala Tol, Kampung Jerek, Kampung Bertam Lama, Meranto, Kampung Pasir Tumboh dan Kampung Kala. 

Seorang penduduk Kampung Pulau Setelu, Zainuddin Abdullah, 60, berkata, penduduk gembira kerana jambatan itu telah siap sepenuh­nya dan dapat digunakan oleh penduduk sekitar termasuk anak-anak di perantauan. 

Katanya, penduduk sudah lama berdepan masalah perhubungan selepas jambatan konkrit runtuh dilanda banjir besar pada Disember 2014. 

“Biarpun pihak kerajaan membina jambatan sementara, tetapi ia kerap tenggelam apabila hujan lebat menyebabkan air Sungai Nenggiri naik mendadak. 

“Kita gembira jambatan baharu bakal dibuka sebelum Aidilfitri ini dapat mengatasi kesesakan lalu lintas jambatan sementara untuk warga kota pulang menyambut hari raya di kampung,” katanya. 

Seorang lagi penduduk Ahmad Kamizi Jalil, 51, pula berkata, jambatan kekal itu mempunyai ciri keselamatan kerana kedudukannya tinggi dan bakal mempunyai penghadang kon­krit. 

Katanya, sebelum ini penduduk bergadai nyawa apabila terpaksa melalui jambatan sementara yang kedudukannya lebih rendah. 

“Penggunaan jambatan sementara kerap kali rosak dan tenggelam arus sungai Nenggiri menyebabkan aktiviti kami tergendala. 

“Kami bersyukur apabila akhirnya akan dapat menggunakan jambatan baharu yang lebih selesa menjelang Aidilfitri ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini. 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Ab. Aziz Yusoff yang meninjau persiapan akhir pembinaan jambatan baharu itu berkata, jambatan itu lebih besar kerana mempunyai laluan dua lorong. 

Katanya, jambatan itu dinanti-nantikan pengguna Jalan Gua Musang - Jeli terutama bagi penggunaan musim perayaan nanti. 

“Kita gembira, jambatan baharu itu akan dibuka menjelang Aidilfitri nanti dan kerja-kerja pembinaan juga sudah diperingkat akhir persiapannya. 

“Kita berterima kasih kepada kerajaan terdahulu yang meluluskan peruntukan dan merealisasikan impian penduduk di kawasan Nenggiri ini,” katanya.

Sumber: Utusan Online | 19 Mei 2019

Jumaat, 8 Mac 2019

LPT3, naik taraf lapangan terbang antara 5 projek untuk Kelantan di bawah RMK-11

KOTA BHARU: Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) dan menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra antara dua daripada lima projek utama yang diluluskan Kerajaan Persekutuan bagi pembangunan negeri Kelantan.

Pengerusi Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan, Mohamed Azmin Ali berkata, bagi tahun 2019 sejumlah RM1.4 bilion diperuntukkan bagi tujuan pembangunan di Kelantan sebagai sumbangan Kerajaan Persekutuan.

Menurut beliau, lima projek pembangunan itu diperhalusi dan diluluskan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad melalui mesyurat Majlis Pembangunan Ekonomi Wilayah Timur (ECERDC), Isnin lalu (4 Mac 2019).

"Dalam mesyuarat ini (ECERDC) ada beberapa projek yang melibatkan kepentingan negeri Kelantan telah pun diperhalusi dan diluluskan oleh perdana menteri. 

"Antara projek-projek diluluskan ialah pembinaan LPT3, kerja-kerja menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, pembinaan jalan raya yang menghubungkan Pasir Puteh-Machang-Jeli dan Lebuh Raya Utama Tengah (CSR) sepanjang 123 kilometer.

"Selain itu, ECERDC juga meluluskan pembinaan jambatan Palekbang di Kota Bharu, yang dilihat mampu menyuraikan kesesakan trafik di bandar Kota Bharu.

"Mesyuarat (MTNg) hari ini juga meneliti projek pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai (KB-KK) yang sebahagiannya telah siap, dan fasa-fasa lain dalam pelaksanaan dan perancangan.

"Saya juga akan memastikan projek ini tidak tergendala dan mengikut jadual ditetapkan serta menjamin kualiti pembangunan yang selamat," katanya kepada media di Kota Bharu, hari ini.

Pembangunan adil

Terdahulu Azmin yang juga menteri hal ehwal ekonomi dalam lawatan kerja dua hari ke Kelantan mempengerusikan mesyuarat pertama MTNg yang turut dihadiri timbalannya, Mohd Radzi Jidin.

Azmin berkata, dasar Kerajaan Persekutuan kini memberi keutamaan untuk merapatkan jurang antara wilayah seperti yang terkandung dalam tonggak ketiga dokumen kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) dan merupakan agenda penting untuk tempoh tiga tahun terakhir.

"Kerajaan PH peringkat persekutuan yang dipimpin oleh Dr Mahathir mahu melihat pembangunan saksama dan adil kerana menjadi tanggungjawab kerajaan persekutuan untuk membangunkan negeri, daerah dan setiap wilayah di Malaysia.

"Dalam dokumen sama juga ada enam buah negeri yang dipilih untuk diberikan keutamaan, selain sabah dan sarawak, Kelantan juga menjadi negeri keutamaan untuk mendapat pengagihan peruntukan pembangunan dalam RMK-11," jelasnya.

Mengulas lanjut Azmin berkata, pembinaan LPT3 sejauh 150 km bermula di Gemuroh (Terengganu) sehingga di Tumpat dilihat penting kerana akan memberikan impak besar kepada Kelantan.

"Ia akan mewujudkan satu koridor ekonomi baru di pesisiran pantai di Kelantan dan dapat membantu kemajuan Pelabuhan Tok Bali yang telah pun dibina atas inisiatif pihak swasta.

"Kita merasakan potensi pelabuhan ini harus dikembangkan dan dengan wujudnya LPT3 ia akan mewujudkan jaringan perhubungan antara Tok Bali dengan kawasan pesisiran pantai negeri Kelantan.

"Selain itu antara kebaikan projek LPT3 ini ia akan mewujudkan satu perkembangan untuk kawasan-kawasan industri di kawasan Tok Bali bagi memastikan produk-produk dapat dikeluarkan dengan sistem pengangkutan dengan lebih efisen," katanya.

Sumber: Malaysia Kini | www.malaysiakini.com | 7 Mac 2019

Khamis, 7 Mac 2019

Kelantan dapat lima projek utama - Azmin Ali

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (kiri) ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan sempena lawatan kerja di Pejabat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Tunjong, hari ini.
KOTA BHARU: Kelantan bakal mendapat limpahan pembangunan apabila lima projek utama akan diberi keutamaan oleh kerajaan Persekutuan untuk disiapkan dalam tempoh terdekat, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata lima projek tersebut adalah Pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3), pembesaran dan naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, laluan baharu antara Pasir Puteh-Machang-Jeli, Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai dan Jambatan Palekbang-Kota Bharu.

Beliau berkata kesemua projek tersebut telah dipersetujui oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mempengerusikan mesyuarat Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) sebelum ini.

“Kami memutuskan projek ini perlu diberi keutamaan untuk disiapkan,” katanya kepada pemberita selepas buat pertama kali mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri (MTNg) dan mengadakan pertemuan dengan penjawat awam di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengerusi MTNg, Dr Mohd Radzi Jidin.

Selain itu, Azmin juga mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.4 bilion oleh kerajaan Persekutuan untuk program pembangunan Kelantan pada tahun ini iaitu melebihi RM200 juta daripada peruntukan sebelum ini.

Menurutnya, kesemua projek yang akan dilaksanakan itu mampu memberikan impak besar kepada pembangunan dan kesejahteraan rakyat Kelantan serta mampu membuka ruang pekerjaan kepada anak negeri ini.

Mengenai pembinaan LPT3, beliau menjelaskan ia membabitkkan laluan antara Gemuruh di Kuala Terengganu dan sehingga Tumpat yang sepanjang 150 kilometer.

Katanya, laluan berkenaan adalah penting terutamanya untuk merancakkan ekonomi di Pelabuhan Tok Bali, Pasir Puteh.

"Kawasan pelabuhan Tok Bali ini berpotensi menjadi koridor ekonomi baharu dan pentingnya dijadikan kawasan industri agar produk dapat dikeluarkan dengan lebih efisien lagi," katanya.

Bagi merancakkan kawasan tersebut, Azmin berkata, laluan baharu antara Pasir Puteh menghubungkan Machang dan Jeli perlu diwujudkan bagi mempercepatkan perhubungan laluan darat.

Katanya, sebelum ini semua urusan perlu melalui Kota Bharu terlebih dahulu dan ia melambatkan perjalanan.

Menyentuh mengenai naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, beliau berkata ia membabitkan kos sebanyak RM450 juta yang dijangka akan dapat dibina pada penghujung tahun ini atau awal tahun hadapan.

"Ïni kerana telah berlaku kesesakan di lapangan terbang itu yang kini mencatat penumpang seramai 1.5 juta dan dengan siapnya dalam tempoh kira-kira tiga tahun ia mampu menampung penumpang seramai empat juta orang dan menjadi hab lapangan terbang serantau," katanya.

Mengenai Jambatan Palekbang ke Kota Bharu itu, Azmin berkata, dengan siapnya jambatan berkenaan ia mampu mempercepatkan laluan antara Tumpat ke Kota Bharu yang kini laluan sedia ada adalah sesak terutama ketika masa puncak.

Bagaimanapun, Azmin berkata, kos pembinaannya akan ditentukan kemudian.

Bagi projek Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai sepanjang 123 kilometer, beliau berkata sebahagian laluan berkenaan telah pun siap dan mengharapkan ia mampu disiap mengikut jadual dan berkualiti demi keselamatan pengguna.

"Laluan itu membabitkan perhubungan antara beberapa daerah di Kelantan dan dibina secara Central Spine Road yang juga termasuk cadangan Lebuh Raya Rakyat yang tidak mampu dibina oleh kerajaan negeri sebelum ini," katanya.

Pada mesyuarat itu juga, Azmin berkata majlis berkenaan turut diberikan taklimat oleh kementerian berkaitan bagi mengetahui status semua projek tersebut.

Beliau berkata bagi melancarkan kesemua pembinaan projek itu, beliau akan bertemu dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob bagi membincangkan jalinan kerjasama kerana ia bukan bermotifkan politik.

Beliau mengulangi Kerajaan Persekutuan tetap memberikan keutamaan kepada Kelantan agar tidak ketinggalan dan berharap segala apa yang dirancangkan akan mendapat kerjasama kerajaan negeri.

Sumber: Bernama | 7 Mac 2019

Kerajaan Kelantan mohon semula laksana Lebuh Raya Rakyat

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (kiri) ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan sempena lawatan kerja di Pejabat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Tunjong, hari ini.
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mengemukakan permohonan rasmi kepada Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan semula projek Lebuh Raya Rakyat sepanjang 10 kilometer yang dibatalkan sebelum ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata permohonan itu telah dikemukakan oleh kerajaan Kelantan dan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Negeri (MTNg) di sini, hari ini.

"Permohonan rasmi telah dikemukakan dan MTNg telah meminta agar Jabatan Kerja Raya meneliti permohonan tersebut," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat berkenaan di sini.

Azmin berkata sebelum ini kerajaan negeri membatalkan projek tersebut kerana syarikat yang mendapat kontrak tidak mampu meneruskan pembinaan lebuh raya itu yang membabitkan kos sebanyak RM200 juta.

Beliau berkata permohonan itu bagaimanapun perlu diteliti kerana tidak mahu wujud masalah memandangkan Lebuh Raya Rakyat itu berada di pertengahan projek Central Spine Road.

Pada 2017, kerajaan negeri mengumumkan sebanyak RM3.2 juta dikumpul menerusi Tabung Akaun Amanah Lebuh Raya Rakyat yang diwujudkan sejak lima tahun sebelum itu, bagi membiayai pembinaan lebuh raya dari Machang ke Kuala Krai itu.

Projek yang asalnya dijadualkan siap pada Mac 2018 dibatalkan kontraknya atas persetujuan bersama antara pemaju dengan kerajaan negeri.

Sumber: Bernama | 7 Mac 2019

Kerajaan Pas Kelantan mohon ambil alih projek Lebuh Raya Rakyat

Mohamed Azmin Ali (kiri) dan Mohd. Radzi Md Jidin (kanan) pada mesyuarat MTNg di Pusat Transformasi Luar Bandar Tunjong di Kota Bharu, hari ini.
KOTA BHARU: Kerajaan Pas Kelantan telah mengemukakan permohonan rasmi kepada Kerajaan Pusat untuk mengambil alih pembinaan Lebuh Raya Rakyat yang telah dibatalkan beberapa tahun lalu. 

Pengerusi Majlis Tindakan Negeri (MTNg) (MTPNg) Kelantan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pihaknya telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya meniliti permohonan tersebut supaya projek yang terletak di dalam jajaran Jalan Raya Lingkaran Tengah (CSR) itu tidak terputus. 

Beliau berkata, projek tersebut telah dibatalkan sebelum ini disebabkan syarikat yang mendapat tender membina lebuh raya sepanjang 10 kilometer bernilai RM200 juta itu tidak mampu melaksanakannya. 

"MTNg memutuskan supaya pihak JKR dapat meniliti cadangan kerajaan negeri itu kerana kita tidak mahu terputus disebabkan lebuh raya ini terletak di dalam CSR. 

"Tidak munasabah sekiranya kita menyiapkan CSR tanpa mengambil pertimbangan projek Lebuh Raya Rakyat yang terbengkalai atas inisiatif kerajaan negeri Kelantan sebelum ini," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas bertemu dengan ketua-ketua jabatan kerajaan dan mempengerusikan mesyuarat MTNg Kelantan kali pertama di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong di sini hari ini. 

Lebuh Raya Rakyat dilancarkan pada Mei 2012 oleh bekas Menteri Besar, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang merasmikan majlis pecah tanah dan meletakkan batu asas pembinaan di FELCRA Mek Nab, Berangan, Machang dan dijangka mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan. 

Bagaimanapun pada tahun 2015, Kerajaan Pas Kelantan memohon untuk menyerahkan projek tersebut kepada Kerajaan Pusat kerana tidak mampu untuk melaksanakannya. 

Pembinaan CSR yang menelan kos RM8.4 bilion telah bermula sejak Rancangan Malaysia Ke-10 dan turut menjadi keutamaan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 demi kemudahan rakyat. 

Projek ini telah dipecahkan kepada dua fasa iaitu melibatkan Simpang Pelangai, Bentong (Pahang) ke Kuala Krai, Kelantan sepanjang 390 kilometer dan Kota Bharu ke Kuala Krai sepanjang 61.5 kilometer. 

Sumber: Utusan Online | 7 Mac 2019

Kelantan dijangka terima royalti petroleum seawal bulan depan

Datuk Seri Mohamed Azmin bersama tetamu yang hadir pada Program 'Ministerial Talk Series' di Kota Bharu, hari ini.
KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan dijangka melunaskan bayaran royalti petroleum kepada Kerajaan Pas Kelantan sebaik sahaja pertikaian perundangan antara kedua-dua belah pihak diselesaikan seawal-awalnya bulan depan. 

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, setakat ini, proses menarik balik saman terhadap Kerajaan Pusat dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) oleh kerajaan negeri masih berlangsung di mahkamah. 

Kata beliau, prosiding kes itu mengambil masa agak lama kerana peguam kedua-dua pihak perlu meneliti dokumen-dokumen berkaitan. 

"Dalam perbincangan antara saya dan Menteri Besar (Datuk Ahmad Yakob) petang ini, saya dimaklumkan kerajaan negeri sudah memulakan prosiding untuk menarik balik saman. 

"Proses ini dijangka selesai bulan April dan kalau betul boleh selesaikan pertikaian perundangan ini pada April, kita akan lunaskan apa yang telah kita janjikan," katanya. 

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Program 'Ministerial Talk Series' di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota, Pengkalan Chepa, di sini hari ini. 

Oktober lalu, Kerajaan Pas Kelantan mengumumkan menarik balik tuntutan saman royalti minyak yang pernah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2011 terhadap Petronas dan Kerajaan Persekutuan. 

Penarikan balik saman itu diputuskan selepas mengambil kira kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Mesyuarat Jawatankuasa Kewangan Negara yang berjanji untuk menyerahkan bayaran tunai petroleum kepada negeri yang terbabit. 

Mohamed Azmin berkata, adalah mustahil Kerajaan Persekutuan dapat membuat pembayaran segera jika pertikaian berkaitan perundangan di mahkamah masih belum selesai. 

Bagaimanapun beliau memberi jaminan bahawa kerajaan Pusat akan mengotakan janji dan perkara itu terbukti apabila Kerajaan Pas Terengganu telah pun menerima bayaran royaltinya. 

"Kita sudah menunaikan janji kita bahawa royalti petroleum minyak akan dibayar terus kepada kerajaan negeri, misalnya kerajaan Terengganu yang menerima sepenuhnya tuntutan itu pada tahun lalu," katanya. 

Dalam perkembangan lain, Mohamed Azmin yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan berkata, kerajaan Pusat mahu memastikan pembangunan di semua negeri diberi tumpuan supaya dapat merapatkan jurang antara Pantai Timur dan Barat. 

"Tidak adil bagi rakyat Kelantan sedangkan anak negeri ini banyak menyumbang pertumbuhan ekonomi negara. Jadi ini adalah giliran kerajan Pusat mengenepikan perbezaan politik dan membangunkan negeri ini. 

Sumber: Utusan Online | 7 Mac 2018

Kerajaan bayar royalti kepada Kelantan selepas prosiding penarikan saman selesai April depan

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan akan membayar royalti minyak kepada Kelantan selepas selesai prosiding penarikan balik saman terhadap Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan kerajaan pusat selesai.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata Kerajaan Kelantan telah memulakan prosiding berkenaan dan dijangka selesai pada April depan.

"Selepas semua prosiding tersebut selesai, kita akan lunaskan apa yang telah kita janjikan dengan membuat pembayaran terus kepada kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian selepas berucap di Program Ministerial Talk Series di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini, hari ini.

Turut hadir timbalannya Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Naib Canselor UMK Prof Dr Noor Azizi Ismail.

Mohamed Azmin berkata kerajaan telah melunaskan semua bayaran royalti bagi tahun 2018 kepada Terengganu, manakala Kelantan hanya menerima sebahagian bayaran pada tahun lepas berikutan pertikaian berhubung saman berkenaan belum selesai.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakub pada 14 Januari lepas memperbaharui permohonan tuntutan royalti petroleum dengan Kerajaan Persekutuan menerusi pertemuan rasmi dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya.

Kerajaan Negeri Kelantan telah mengemukakan saman terhadap Petronas berhubung tuntutan royalti di Mahkamah Tinggi pada 2011 dan pada Oktober tahun lalu kerajaan negeri menarik balik saman tersebut.

Dalam pada itu Mohamed Azmin yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Negeri Kelantan memberi jaminan akan memberi perhatian kepada pembangunan negeri Kelantan termasuk UMK dalam usaha memajukan sosio ekonomi rakyat negeri ini.

Katanya UMK sebagai universiti keusahawanan mempunyai potensi besar sebagai inkubator usahawan yang akan menjadi asas kepada pembangunan ekonomi rakyat Kelantan.

Sumber: Bernama | 7 Mac 2019

Isnin, 4 Mac 2019

UMK berpotensi jadi pelopor keusahawanan peringkat global - Maszlee

BACHOK: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mempunyai potensi sebagai universiti yang mampu mempelopori bidang keusahawanan di peringkat antarabangsa, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata ini mampu dicapai berdasarkan profil dan kekuatan kepimpinan lembaga pengarah serta pengurusan tertinggi UMK ketika ini.

"UMK mungkin boleh menerokai peluang yang terdapat di negara-negara Asia yang berdekatan sebagai permulaan misalnya IndoChina termasuk Thailand, Kemboja dan Laos sebelum ke peringkat global," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Sepetang Bersama Menteri Pendidikan di UMK Kampus Bachok di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UMK Datuk Hussamuddin Yaacub dan Naib Canselor UMK Prof Dr Noor Azizi Ismail.

Pada majlis itu Maszlee turut merasmikan Bangunan Canselori UMK dan Galeri Sastera di bangunan sama.

Sementara itu, Maszlee berkata universiti sebagai medan intelektual terbuka tidak seharusnya mengecilkan diri kepada skop tertentu sahaja.

Katanya, usaha UMK menjadikan sasterawan negara Datuk Dr Anwar Ridhwan sebagai sasterawan universiti itu adalah satu langkah yang boleh dicontohi oleh universiti lain, selain memberi nafas baharu bidang sastera negara.

"Kita mahu bidang sastera menjadi sebahagian oksigen yang dihirup oleh semua rakyat Malaysia dan universiti perlu memainkan peranannya sebagai medan intelektual terbuka," katanya.

Sumber: Bernama | 3 Mac 2019

Kekal IPG Kota Bharu jadi pusat latihan antarabangsa

Maszlee (dua, kanan) menghadiri Majlis Kesyukuran Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu (IPGKKB) di Pengkalan Chepa. Foto: Bernama
KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan yang membuat keputusan mengekalkan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kota Bharu, mahu institut itu menjadi pusat melatih guru sehingga peringkat antarabangsa.

Menterinya, Dr Maszlee Malik, berkata keputusan membatalkan usaha kerajaan terdahulu yang mahu IPG itu ditukar fungsi kepada kolej vokasional, dibuat selepas melihat banyak pandangan dan keperluan untuk diteruskan.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa prihatin dan cakna pandangan masyarakat yang mahu IPG Kota Bharu diteruskan memandangkan pusat pendidikan berkenaan sudah melahirkan puluhan ribu guru.

“Namun, kita melihat IPG Kota Bharu perlu menambah peranan menjadi pusat latihan bukan saja kepada guru di negara ini, malah mereka dari Selatan Thailand, Laos, Kemboja dan Vietnam.

“Ketika ini, IPG ini sudah memberi latihan kepada 30 guru dari Selatan Thailand melalui kursus pendek secara berkala dengan kerjasama Jabatan Bahasa mereka.

“Jadi ini adalah visi kementerian mahu menjadikan taraf IPG Kota Bharu sehingga peringkat antarabangsa sekali gus meningkatkan nilai ekonomi kepada rakyat Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Majlis Kesyukuran dan Pemerkasaan IPG Kampus Kota Bharu, di Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Datuk Husam Musa; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan PH Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Nor dan Pengarah IPG Kampus Kota Bharu, Hashim Deraman.

Maszlee turut mengumumkan peruntukan lebih RM1 juta untuk membaik pulih, penyelenggaraan dan membaiki kerosakan di empat sekolah masing-masing Sekolah Kebangsaan (SK) Chantum sebanyak RM130,000; SK Pa Pura RM463,200; SK Seri Kemudi RM479,600 dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beris Panchor RM30,000.

Mengulas lanjut, Maszlee berkata, dalam tempoh terdekat, kementerian mahu meningkatkan kualiti pensyarah dan guru di IPG Kota Bharu dengan mengadakan lebih banyak latihan perkhidmatan.

“Alasan utama kerajaan terdahulu mahu IPG Kota Bharu ditutup disebabkan tiada kemasukan cukup selain pentadbiran lama mendakwa pusat pendidikan berkenaan tidak berkualiti.

“Kalau kualiti tidak cukup, kita cuba tingkatkan. Sebab itu kita mahu IPG Kota Bharu bertaraf seperti Universiti International Singapura melalui sokongan pensyarah IPG dengan menukar budaya dan sistem supaya kualiti mereka ditingkatkan.

“Satu lagi alasan mereka adalah IPG ada peruntukan lebih, namun banyak kelas kosong. Tapi kita boleh fikirkan kelas berkenaan diguna oleh pelajar vokasional yang mungkin boleh bergabung dengan IPG,” katanya.

Sumber: Berita Harian | 3 Mac 2019

Denggi: 107 kes baharu demam denggi di Kelantan

Nyamuk Aedes
KOTA BHARU: Kelantan mencatatkan 107 kes demam denggi sepanjang minggu ke-9, menjadikan jumlah keseluruhan 805 kes dengan dua kematian akibat denggi sepanjang dua bulan pertama tahun ini.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Zaini Hussin jumlah itu menunjukkan peningkatan 618 kes (330.5 peratus) untuk tempoh masa sama tahun lepas.

Katanya, Kelantan turut mencatatkan dua kes terbaharu chikungunya sepanjang minggu ke-9, iaitu masing-masing satu di Lorong Masjid Lundang, Kubang Krian dan Jalan Embi di Kota Bharu menjadikan 20 kes demam chikungunya sepanjang tempoh dua bulan ini berbanding 33 kes untuk tempoh sama tahun lepas.

"Sepanjang minggu ke-9 hingga 2 Mac, sebanyak 59 lokaliti wabak denggi dilaporkan berbanding tujuh lokaliti wabak denggi pada tempoh sama tahun sebelumnya dengan 22 daripadanya masih aktif ," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Dr Zaini berkata pihaknya telah melakukan pemeriksaan di 76,021 premis dengan 2,988 premis mempunyai pembiakan jentik-jentik.

"Pihak jabatan telah mengeluarkan 465 kompaun yang dicadangkan dengan nilai RM232,500 di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dan 182 Notis Seksyen 8 dikeluarkan bagi arahan kerja pembersihan dan pemusnahan tempat berpotensi menjadi pembiakan aedes," katanya.

Sumber: Bernama | 4 Mac 2019