TUMPAT: Bagi melahirkan pelajar bersahsiah tinggi, pelbagai pendekatan dilakukan di kebanyakan sekolah termasuk denda atau sistem penalti bagi menangani masalah disiplin dalam kalangan pelajar.
Namun inisiatif berbeza dilakukan oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chabang Empat, di sini, apabila melantik anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) wanita bagi membantu mendisiplinkan pelajar.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut, Datuk Zulkifli Abdullah berkata idea itu tercetus melalui perbincangan bersama pihak sekolah dan ibu bapa.
"Inisiatif ini diambil bagi mewujudkan suasana sekolah yang lebih bersih dan memupuk disiplin yang tinggi dalam kalangan pelajar," katanya kepada Bernama ketika ditemui di sekolah itu, di sini Khamis.
Katanya PIBG membiayai gaji anggota Rela wanita itu, Kenni Eh Puang, 47, sebanyak RM25 sehari untuk bertugas bermula pukul 9 pagi hingga 2 petang.
"Namun pelaburan itu amat berbaloi apabila hasilnya tandas sekolah tidak lagi kotor dan disiplin pelajar terutama pelajar lelaki meningkat di samping membantu anggota Rela itu menjana pendapatan," katanya.
Zulkifli berkata dalam dunia hari ini, transformasi perlu dilakukan dalam semua aspek kehidupan agar selari dengan perkembangan semasa termasuk pengurusan disiplin pelajar.
"Ia isu semasa yang perlu diberi perhatian bersama dengan mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan semata-mata," katanya.
Beliau berkata berdasarkan keberkesanan yang diperolehi daripada kaedah itu, pihak sekolah merancang akan mengembangkan khidmat sama ke bahagian lain termasuk mengawal pusat sumber sekolah.
Bagaimanapun, beliau yang juga Pengerusi Yayasan Al-Busyra, sebuah badan bukan kerajaan yang aktif dalam bidang kebajikan, berkata pihak PIBG perlu lebih aktif untuk mendapatkan dana bagi membiayai perkhidmatan tersebut.
Sementara itu, Pengetua SMK Chabang Empat, Ghazali Buyong berkata pendekatan tersebut ternyata memberi kesan positif apabila pelajar tidak lagi menjadikan tandas sebagai tempat lepak, merokok atau membuli pelajar lain.
"Tandas biasanya menjadi antara lokasi yang selalu digunakan segelintir pelajar untuk melakukan aktiviti tidak sihat termasuk merokok, tempat peras ugut dan vandalisme. Namun sejak kita tempatkan anggota Rela wanita tersebut pelajar hanya ke tandas apabila perlu," katanya.
Ghazali berkata ia satu perkembangan yang amat baik kepada sekolah kerana mampu mengurangkan beban guru terutama guru disiplin untuk mengawal disiplin pelajar.
Katanya jika dibuat perbandingan dengan tahun lepas, terbukti khidmat 'orang luar' yang memantau penggunaan tandas itu memberi kesan yang amat positif apabila tandas bukan lagi 'port' utama pelajar bermasalah berkumpul.
"Bahkan ia mendapat sambutan baik kebanyakan pelajar apabila dapat menggunakan tandas yang lebih bersih dan selesa.
"Sehingga kini tiada lagi rungutan tandas rosak atau aktiviti tidak berdisiplin yang diterima pihak sekolah," katanya.
Beliau berharap perkembangan positif itu akan berterusan dalam memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lebih lancar.
Sumber: Bernama | 21 Jan. 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan