Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 29 Februari 2016

Malaysian actor making it big in Taiwan

PETALING JAYA: Kelantan-born actor Lawrence Ong (pic) is the latest anak Malaysia to make his countrymen proud.

Ong has been cast in the play For Samuel Beckett 110, which will be running from April 28 to May 1 at a prominent theatre in Taiwan.

According to a press release by his agency, the play will be his first production at the Guling Street Avant-Garde Theatre in the Zhongzheng district of Taipei City.

Last year, Ong received a nomination for best actor in Taiwan’s 2015 MOD Short Film competition for the production titled W/C, where he was the only Malaysian among the 11 nominees. He also had a role in the English play Venus in Fur.

He was also the only Malaysian cast in Hong Kong director Edward Lam’s Dance Theatre productions such as Dreams of the Red Chamber in Hong Kong and I Hate Therefore I Marry in Beijing, as well as various other productions at Taiwan’s prestigious Greenray Theatre.

In an interview with Star2 last November, Ong said: “I’ve done mostly short films and independent films, but I think opportunities are growing for me.”

Born and bred in Kota Bharu, Ong studied communications in the United States and worked for the United Nations for some time before his passion for acting made him trade his desk job for an exciting foray into creative arts.

Fluent in both Chinese and English, Ong is one of a handful of South-East Asian actors active in the theatre and short film scene in Taiwan, Hong Kong and mainland China.

Source: The Star Online | Nation | 29 Feb. 2016

Sabtu, 27 Februari 2016

Bas Rapid Kamunting bakal beroperasi Mac ini

TAIPING: Bas Rapid Kamunting yang menyediakan perkhidmatan bagi perjalanan dari Kamunting ke Taiping, bakal beroperasi Mac ini.

Pengarah Bahagian Lojistik Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Syed Safarudin Syed Zainal Abidin berkata perkhidmatan itu dilaksanakan dengan kerjasama NCIA, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Sebanyak tujuh bas disediakan bagi laluan di sekitar Taiping sejauh 24 kilometer dan dari pekan Kamunting ke bandar Taiping sejauh 11 kilometer dengan kadar tambang antara RM1 hingga RM3 bagi satu perjalanan.

"Perkhidmatan ini memberi keselesaan, pantas dan mesra pengguna," katanya kepada pemberita selepas taklimat media Greater Kamunting bagi pengangkutan awam dan mobilisasi di Stesen KTMB di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Unit Pengurusan Events dan Holidays KTMB Mohd Noordin Kimi berkata perkhidmatan keretapi elektrik (ETS) yang menggunakan laluan di sini telah membantu melonjakkan industri pelancongan di Taiping.

Beliau berkata sebanyak 1.8 juta pelancong mengunjungi Perak menggunakan perkhidmatan ETS.

"Perkhidmatan ini membawa 8,000 penumpang setiap hari melalui 24 perkhidmatan dengan 12 perjalanan dari Taiping ke Butterworth-Padang Besar," katanya.

Sumber: Bernama | 27 Feb. 2016

Polis Kelantan rampas pil kuda bernilai RM8.3 juta, 14 ditahan

KOTA BHARU: Polis menahan 14 orang termasuk dua wanita serta merampas 414,000 pil kuda (Methamphetamine) bernilai RM8.3 juta dalam serbuan di Rantau Panjang, dekat sini minggu ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata rampasan yang melumpuhkan sindiket pengedaran dadah terbesar di Malaysia tahun ini, serta tangkapan itu dilakukan dalam dua operasi membabitkan tujuh lokasi di sekitar Rantau Panjang.

"Dalam operasi pertama pada 20 hingga 22 Feb lepas, kita menahan 11 suspek membabitkan lima lelaki warga Thailand, lima lelaki tempatan dan seorang wanita tempatan berumur antara 27 dan 69 tahun.

"Hasil operasi itu, tiga lagi suspek iaitu dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan berumur antara 47 dan 53 tahun berjaya ditahan dalam operasi kedua pada 23 Feb lepas selain turut merampas 414,000 pil kuda," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Operasi dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (Sting), katanya.

Mohd Dzuraidi berkata sindiket penyeludupan dadah itu yang didalangi warga tempatan dipercayai aktif sejak enam bulan lalu dengan rangkaian pasaran ke negeri pantai timur Semenanjung.

"Sindiket ini mengubah suai kenderaan dengan mewujudkan tempat penyimpanan khas dadah sebelum dibawa keluar dari Thailand ke Kelantan melalui laluan sah," katanya.

Beliau berkata pihaknya turut menyita harta suspek bernilai RM1.2 juta yang membabitkan lapan kereta, barang kemas, dua utas jam tangan, wang tunai RM34,350 serta akaun bank berjumlah RM276,611.

Enam suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952, empat suspek ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 manakala empat lagi dibebaskan.

Secara keseluruhan, Mohd Dzuraidi berkata setakat ini, JSJN berjaya merampas pelbagai jenis dadah berjumlah RM39.13 juta dengan keseluruhan tangkapan seramai 28,340 orang di seluruh negara.

Sumber: Bernama | 27 Feb. 2016

Khamis, 11 Februari 2016

Kelantan terima lebih RM144 juta untuk pembangunan luar bandar - Ismail Sabri

KUALA KRAI: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) memperuntukkan sebanyak RM144.36 juta bagi pembangunan luar bandar di Kelantan tahun ini.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia menunjukkan peningkatan sebanyak RM33.56 juta berbanding RM110.8 juta pada tahun lepas, sekali gus menepis tuduhan pihak tertentu kononnya Kerajaan Persekutuan pimpinan Barisan Nasional (BN) menganaktirikan Kelantan.

"BN sentiasa membela rakyat tak kira negeri itu diperintah oleh parti mana sekalipun dan rakyat perlu terus memberi sokongan kepada BN untuk terus memerintah agar nasib mereka terbela," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Jambatan Sungai Pergau yang menghubungkan Kampung Biak dan Kampung Kandek di Dabong di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri KKLW Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dabong merangkap Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai Datuk Ramzi Ab Rahman dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) merangkap ADUN Kuala Balah Datuk Abdul Aziz Derashid.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata antara projek pembangunan luar bandar yang telah dan sedang dilaksanakan di Kelantan khususnya di Kuala Krai, meliputi pembinaan jalan dan jambatan menghubungkan Taman Melati dan Kampung Gatal dengan kos RM3.9 juta.

Selain itu, beliau berkata projek lain termasuk pembinaan jambatan baharu Kampung Pemberian (RM30 juta), pembinaan jalan dari simpang Ladang Serasa di Gua Musang ke Kampung Lulut (RM49 juta) dan Dewan Terbuka Jelawang (RM3.9 juta).

"Bagi projek pembinaan jambatan Sungai Pergau ini pula, ia melibatkan kos sebanyak RM28 juta yang memberi manfaat kepada lebih 3,000 penduduk Kampung Biak dan kawasan sekitarnya yang sebelum ini dihubungkan menerusi jalan air sahaja.

"Jambatan berkenaan sepanjang 320 meter akan memudahkan penduduk yang rata-ratanya bekerja sebagai penoreh getah untuk membawa keluar hasil pertanian mereka ke bandar Kuala Krai, Jeli atau Tanah Merah tanpa perlu menggunakan khidmat orang tengah, sekali gus meningkatkan hasil pendapatan penduduk," katanya.

Sementara itu, Ramzi dalam ucapannya berkata pembinaan jambatan itu mengakhiri penantian lebih 50 tahun penduduk di Kampung Biak dan kawasan sekitarnya untuk akses kepada jalan perhubungan darat.

"Sebelum ini, penduduk termasuk guru dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dabong yang tinggal di Kampung Biak menggunakan perahu untuk menyeberangi Sungai Pergau untuk ke Kampung Kandek.

"Penduduk berdepan pelbagai masalah, antaranya tidak dapat menggunakan bot jika air sungai kering dan ketika musim tengkujuh, air sungai akan menjadi deras dan berbahaya," katanya.

Sumber: Bernama | 11 Feb. 2016

Rabu, 10 Februari 2016

Lebuh Raya Kota Bharu – Kuala Krai dijangka siap awal


Mustapa Mohamed (dua dari kiri) meninjau perkembangan projek CSR Kota Bharu-Kuala Krai di tapak projek Kampung Tiong, Kota Bharu pada 7 Februari 2016.
KOTA BHARU: Projek Central Spine Road (CSR) Kota Bharu - Kuala Krai atau lebih dikenali dengan Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai bagi Pakej 1B dan 2A dijangka dapat disiapkan lebih awal daripada tempoh sebenar yang ditetapkan.

Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pelaksanaan Pakej 1B melibatkan laluan sejauh tujuh kilometer dari Pasir Hor ke Kadok sejak dua tahun lalu kini mencecah 50 peratus.

Sementara itu, katanya, Pakej 2A yang mula dilaksanakan tahun lalu melibatkan laluan sejauh 6.85 kilometer dari Kadok ke Ketereh pula sudah mencapai 12 peratus.

“Pakej 1B bermula April 2014 dan dijangka siap April 2017 manakala Pakej 2A bermula April 2015 dan dijangka siap April 2018. Kos kedua-dua projek ini hampir RM400 juta.

“Bagaimanapun, pelaksanaan kedua-dua pakej ini didapati bukan sahaja berjalan lancar, malah mendahului jadual. Jika keadaan ini dikekalkan, kita yakin ia boleh selesai sebulan atau dua bulan lebih awal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau tapak dan menghadiri sesi taklimat oleh kontraktor berkaitan projek CSR Kota Bharu - Kuala Krai bagi Pakej 1B dan 2A di Buloh Poh, Kadok, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Datuk Makhtar Mustapha.

Mengulas lanjut, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri memberitahu, urusan pengambilan tanah bagi Pakej 2A masih belum selesai sepenuhnya namun keadaan tersebut tidak akan menjejaskan jadual projek.

Beliau turut memberitahu, jika tiada halangan, Pakej 2B yang melibatkan laluan kira-kira tujuh kilometer dari Ketereh ke Kok Lanas mungkin akan bermula tahun ini.

“Kita akan cuba berurusan dengan pihak berkenaan supaya kerja-kerja awal bagi Pakej 2B boleh bermula tahun ini juga. Jadi sekurang-kurangnya ia boleh disiapkan menjelang 2020.

“Peruntukan untuk Pakej 2B ini belum diputuskan, namun kita anggarkan sekitar RM200 juta,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Nasional | 7 Feb. 2016 | Terbitan 8 Feb. 2016

Mangsa banjir Gua Musang dapat rumah kekal dua bulan lagi

GUA MUSANG: Seramai 117 keluarga yang kehilangan rumah dalam bencana banjir pada 2014 dan masih tinggal di kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Etnobotani di sini, bakal mendapat rumah kekal dua bulan lagi.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Ab Aziz Yusof berkata pada masa ini, rumah-rumah berkenaan sedang dibina di Kampung Batu Papan 2 dan Kampung Tanah Puteh di sini.

"Pembinaan rumah kekal berkenaan mengambil masa kerana proses pembelian tanah dengan penduduk di kawasan tersebut sebelum ini.

"Bagaimanapun, perkara itu telah diselesaikan dan kita dalam proses membina rumah kekal," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Kem PLKN terbabit pada Isnin.

Beliau turut meluangkan masa bermesra dengan tiga keluarga mangsa banjir Tiongha yang menyambut Tahun Baharu Cina di kem terbabit.

Dalam pada itu, Ab Aziz yang juga Naib Ketua UMNO bahagian Gua Musang berkata 14 keluarga yang berdegil untuk tinggal dalam khemah di Bandar Utama di sini, telah dipindahkan ke kem berkenaan pada Disember lepas.

"Keluarga terbabit diarah mengosongkan tapak khemah di kawasan itu oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Ia bagi memudahkan penyaluran bantuan kepada mereka selain tapak tersebut akan dimajukan.

"Pemaju sebelum ini bersetuju membenarkan mereka tinggal di kawasan itu kerana simpati dengan mereka," katanya.

Sumber: Bernama | 8 Feb. 2016

Benteng pemecah ombak perlu dibina elak rumah penduduk rosak

KOTA BHARU: Benteng pemecah ombak perlu dibina di sepanjang pantai Pulau Kundur di sini, bagi mengelak kejadian fenomena air pasang besar yang sering kali mengakibatkan rumah penduduk rosak.

Ketua Wanita UMNO Bahagian Pengkalan Chepa Zarina Md Eusope berkata beliau akan merujuk perkara itu kepada pihak bertanggungjawab bagi memastikan nasib penduduk di kawasan berkenaan terbela.

"Ini kali kedua penduduk Pulau Kundur berhadapan fenomena air pasang besar tahun ini...kali pertama pada bulan lepas mengakibatkan beberapa buah rumah rosak dimasuki air serta pasir.

"Walaupun kami baiki rumah yang rosak itu, ia hanya penyelesaian sementara, maka benteng pemecah ombak perlu dibina bagi mengelak kejadian sama berulang," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan makanan kepada 73 penduduk daripada 16 keluarga yang terjejas banjir di sini, Isnin.

Mangsa Mohd Azmi Ramli, 35, berkata fenomena air pasang besar pernah berlaku beberapa kali sebelum ini, namun tidak seteruk kali ini hingga menyebabkan rumahnya dipenuhi pasir dibawa arus deras ekoran ombak membadai pesisir pantai.

"Saya tinggal di kampung ini kira-kira 15 tahun lepas. Dahulu pantai jauh dari rumah, kini jaraknya hanya kira-kira tiga meter dari rumah kerana hakisan pantai.

"Dahulu pernah berlaku kejadian ombak besar, namun kali ini semakin teruk kerana rumah saya dimasuki pasir yang dibawa ombak. Kejadian pertama yang berlaku bulan lepas tidak seteruk ini," katanya.

Mohd Azmi yang bekerja sebagai nelayan pesisir pantai berkata beliau akan tinggal di pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Kundur bersama isteri dan empat anaknya sehingga dibenarkan pulang.

Seorang lagi mangsa, Wan Syahira Wan Ibrahim, 24, berkata beliau bersama tujuh anggota keluarganya berpindah ke pusat pemindahan itu pada 10 malam tadi apabila rumah mereka dimasuki air laut.

"Rumah saya bertiang kayu rosak kerana dibadai ombak akibat air pasang besar yang bermula 6 petang semalam. Dahulu penduduk ada buat benteng menggunakan pasir untuk elak air laut masuk ke kawasan kampung, namun benteng berkenaan musnah kerana hakisan pantai yang semakin teruk," katanya.

Sumber: Bernama | 8 Feb. 2016

Pengguna LPT2 gesa pihak berwajib segerakan pembinaan stesen minyak

KEMAMAN: Pengguna Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) meminta pihak kerajaan ataupun pihak berwajib menyegerakan pembinaan stesen minyak di lebuh raya berkenaan bagi kemudahan pengguna.

Seorang pengguna yang kehabisan minyak di persimpangan Paka, Ahmad Naufal Amir, 32, dari Kota Baharu, Kelantan berkata beliau yang kali pertama menggunakan lebuh raya berkenaan tidak tahu tiada stesen minyak di LPT tersebut memandangkan tiada papan tanda yang dipasang.

"Saya dari Kuala Lumpur nak balik kampung dan memang tak tahu, tak ada stesen minyak di LPT2 ni, saya ingatkan di hentian rehat dan rawat (R&R) LPT2 ada stesen minyak...jadi saya teruskan perjalanan, tapi bila masuk LPT2, lepas satu R&R ke satu R&R, memang tak ada stesen minyak.

"Saya agak cemas pada mulanya sebab kali pertama guna LPT2 ni, mujurlah ada peronda LPT yang tolong saya," katanya ketika ditemui Bernama di sini Isnin.

Amalina Zakaria, 27, dari Tepoh, Kuala Nerus berkata dia yang sering kali menggunakan LPT2 untuk ke ibu negara akan sentiasa memastikan tangki minyak keretanya penuh sebelum memasuki lebuh raya berkenaan.

"Saya memang kerap guna LPT2 ni, kalau nak naik lebuh raya, saya memang akan isi minyak penuh dahulu sebab LPT2 ni sepanjang 184 kilometer tetapi stesen minyak hanya ada di R&R Gambang di LPT1.

"Kalau tak isi minyak penuh, memang terkandas la...masa awal-awal LPT2 ni dibuka, saya pernah kehabisan minyak, mujurlah sempat keluar di susur Kemasik," kata Amalina.

Beliau berkata kerajaan negeri dan pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia haruslah memikirkan jalan terbaik bagi kemudahan pengguna lebuh raya berkenaan dan selain itu pihak berkuasa harus memasang papan tanda memaklumkan kepada pengguna tiada stesen minyak di lebuh raya tersebut.

Sementara itu, tinjauan Bernama di sekitar LPT2 mendapati lebuh raya berkenaan sesak di beberapa persimpangan terutamanya Persimpangan Gemuroh sejak dua hari lalu apabila warga kota mengambil kesempatan pulang ke kampung sempena cuti persekolahan Tahun Baru Cina.

Tinjauan di laluan lama Jalan Jerangau-Jabor juga mendapati jalan berkenaan kembali menjadi pilihan kebanyakan pengguna berikutan fasiliti di LPT2 yang masih belum lengkap.

Mohd Fahmi Sideq, 50, berkata beliau memilih menggunakan laluan lama tersebut untuk perjalanan yang lebih selesa pulang ke kampung halamannya di Tanah Merah, Kelantan.

"Kalau lalu LPT2, dekat hentian masih belum ada kedai makan yang dibuka dan saya balik kampung ni dengan anak-anak, bila mereka lapar, mesti nak kena cari kedai makan, jadi saya pilih untuk guna laluan lama ni.

Sumber: Bernama | 8 Feb. 2016

KKLW lulus RM54 juta bagi 18 projek bantu pekebun kecil di Kelantan - Ahmad Jazlan

MACHANG: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) meluluskan peruntukkan sebanyak RM54 juta kepada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) bagi melaksanakan 18 projek pembangunan bagi meningkatkan taraf hidup pekebun kecil di Kelantan, tahun ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata daripada jumlah itu sebanyak RM32 juta diperuntukkan bagi projek tanaman semula getah dan kelapa sawit.

"Ini menunjukkan kerajaan pusat sanggup mengeluarkan peruntukan besar untuk memberi faedah kepada pekebun kecil di Kelantan walaupun menghadapi cabaran ekonomi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan kempen tanam semula dan program pembangunan peringkat Risda Negeri Kelantan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pekebun kecil perlu menyambut baik usaha kerajaan dengan melibatkan diri dalam projek hiliran seperti ternakan, keusahawan dan tanaman jangka pendek bagi menambah pendapatan.

Katanya, kerajaan menyasarkan pekebun kecil mampu memperolehi pendapatan sebanyak RM4,000 sebulan menjelang 2020.

Sumber: Bernama | 7 Feb. 2016

Projek Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai dijangka siap lebih awal - Mustapa

KOTA BHARU: Projek Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai dijangka disiapkan sebulan awal daripada tarikh ditetapkan, kata Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata ini susulan kerja-kerja pembinaan pakej 1B melibatkan Jalan Pasir Hor ke Perol yang sepanjang tujuh kilometer sudah siap lebih 50 peratus sejak pembinaannya bermula lebih setahun lepas.

Beliau berkata pakej 2A yang melibatkan Kadok ke Ketereh, juga sepanjang tujuh kilometer, sudah siap 12 peratus selepas pembinaannya dimulakan beberapa bulan lepas.

"Daripada taklimat pemaju, kami jangkakan ia dapat disiapkan sebelum April tahun depan dengan peruntukan sebanyak RM400 juta," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi taklimat mengenai pakej lebuh raya itu di Buloh Poh, Ketereh di sini, hari ini. Turut hadir Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Datuk Makhtar Mustapha.

Dalam pada itu, Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan berkata pakej 2B melibatkan Buloh Poh ke Kok Lanas sepanjang tujuh kilometer, yang dijangka menelan belanja kira-kira RM200 juta, masih di peringkat perbincangan dengan Kementerian Kerja Raya.

"Kami harap kerja awalan dapat dilaksanakan tahun ini dan pembinaan pakej 2B itu dapat dimulakan tahun depan," katanya.

Sumber: Bernama | 7 Feb. 2016

Jumaat, 5 Februari 2016

Kerajaan sedia tapak pasar tani Dataran KADA, beri peluang petani pasarkan hasil

PASIR PUTEH: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) meluluskan tapak pasar tani di dataran Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Selising di sini, untuk memberi peluang kepada penduduk tempatan memasarkan hasil pertanian mereka secara terus kepada pengguna.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Selising Zulkifli Ali berkata sehingga kini, sebanyak 30 petani mendaftar untuk menyertai pasar tani berkenaan yang akan dibuka pada 11 Feb.

"Sasaran jangka panjang akan memberi peluang kepada 100 penduduk tempatan untuk memasarkan sendiri hasil pertanian mereka dengan harga lebih murah dan segar tanpa melalui orang tengah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Selising di sini, hari ini.

Beliau berkata, kawasan tapak berkenaan bersesuaian kerana terletak berdekatan Kampung Berangan, Banggol Pak Esah, Bukit Merbau dan penduduk pekan Selising yang mempunyai bilangan penduduk lebih 5,000 orang, serta berdekatan Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas.

"Projek itu dapat memacu ekonomi penduduk yang berpendapatan rendah dan sebagai hab pelancongan berteraskan bahan hasil pertanian," katanya menambah peruntukan sebanyak RM6,800 telah dipohon bagi menyediakan kemudahan seperti payung dan meja kepada bagi memudahkan peserta menjalankan perniagaan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Kelantan, Azhar Jamaluddin berkata, hasil pertanian seperti sayur, ikan air tawar dan bahan mentah dijangka 10 peratus lebih murah berbanding di pasar lain.

Sumber: Bernama | 5 Feb. 2016

Myberas: Dianggarkan 20,000 keluarga miskin di Kelantan bakal terima beras percuma

KOTA BHARU: Dianggarkan 20,000 keluarga miskin di Kelantan akan menerima bantuan 20 kilogram beras setiap keluarga sebulan melalui program MyBeras.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Datuk Makhtar Mustapha berkata JPP sebagai agensi pelaksana program tersebut, kini sedang menunggu arahan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk pengagihan beras tersebut.

Penerima yang terpilih untuk menerima beras di bawah program MyBeras terdiri daripada mereka yang tersenarai dalam eKasih iaitu Bank Data Kemiskinan Nasional bagi negeri Kelantan, katanya kepada Bernama di sini.

Makhtar berkata bagi memudahkan pengagihan beras kepada peserta, pihaknya mencadangkan menggunakan khidmat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) di seluruh negeri ini.

Program MyBeras diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan pengubahsuaian Bajet 2016 pada 28 Jan.

Dalam perutusan khasnya itu, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata pelaksanaan MyBeras sehingga Disember 2016 bertujuan mengurangkan beban hidup keluarga miskin susulan kenaikan kos sara hidup.

Dalam pada itu, beberapa peserta yang tersenarai dalam eKasih Kelantan, menyambut baik bantuan beras tersebut yang boleh meringankan beban perbelanjaan harian mereka.

Seorang peniaga murtabak, Kamaruzaman Mat, 57, dari Kampung Salor di sini, berkata program yang dilakukan oleh kerajaan persekutuan itu akan membantunya mengurangkan RM50 sebulan bagi kos penyediaan makanan asas kepada keluarganya.

"Jika sebelum ini dengan pendapatan saya RM1,000 sebulan, saya perlu menyediakan 70 kilogram beras sebulan bagi 10 orang isi rumah," katanya.

Yusoff Isa, 65, dari Kampung Dangar, Pasir Mas berharap wang yang digunakan untuk membeli beras sebelum ini dapat beliau gunakan untuk membayar tanggungan lain.

Katanya, program bantuan beras itu dapat mengurangkan bebannya yang mempunyai pendapatan kira-kira RM700 sebulan, yang bekerja mengambil upah daripada penduduk kampung.

Seorang ibu tunggal Hazimah Daud, 74, juga dari Kampung Dangar berkata bantuan itu akan dapat meringankan beban perbelanjaan keluarganya.

"Dalam sebulan, saya memerlukan beras 15 kilogram untuk menampung lima beranak, dengan wang yang digunakan untuk membeli beras sebelum ini dapat saya belanjakan untuk keperluan lain," katanya.

Seorang ibu tunggal Siti Mariam Mohd Noor, 55, dari Kampung Telaga Gayong, Pasir Puteh berkata pemberian beras itu kelak dapat menjimatkannya RM30 sebulan wang peruntukan untuk membeli beras.

Beliau yang menerima bantuan dari Pejabat Kebajikan Masyarakat Pasir Puteh sebanyak RM300 sebulan, berkata ia sedikit sebanyak dapat menampung perbelanjaannya untuk menyara empat orang anak yang masih bersekolah.

Sumber: Bernama | 5 Feb. 2016

Kelantan beri tumpuan perkuatkan barisan pertahanan

KOTA BHARU: Jurulatih Kelantan, K Devan kini memburu waktu untuk memantapkan barisan pertahanannya menjelang aksi pembukaan saingan Liga Super menentang Perak pada 13 Feb ini.

Devan berkata berbaki masa yang tinggal kurang dua minggu ini, pasukan itu akan memberikan tumpuan di barisan pertahanan yang didapati masih belum mantap.

"Saya akui pasukan ini mempunyai sedikit masalah pada bahagian pertahanan, oleh itu saya memberikan tumpuan lebih pada posisi berkenaan pada sesi latihan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam dua perlawanan persahabatan terakhir mereka, pintu gol Kelantan dibolosi tiga kali ketika menewaskan Yala United 3-1 pada 19 Jan lepas dan tewas 0-2 kepada Kuala Lumpur Selasa lalu.

Pada masa sama, Devan juga berkata beliau sedang membentuk keserasian tiga pemain import baharu iaitu Jonatan Lucca dari Brazil, Dramane Traore (Mali) dan Baze Ilijoski (Macedonia), dengan pemain tempatan pasukan itu.

"Dalam masa yang singkat ini, saya juga tumpukan untuk meningkatkan kecergasan mereka selain menerapkan corak permainan supaya mereka lebih faham dengan rentak pasukan dan pemain tempatan," katanya.

Beliau berkata keserasian antara pemain adalah penting bagi membina keyakinan untuk menang dalam perlawanan.

Sumber: Bernama | 4 Feb. 2016

Rabu, 3 Februari 2016

Persembahan main puteri memerlukan pelapis

Persembahan Main Puteri di Kampung Kemasin Bachok Kelantan yang merupakan persembahan perubatan tradisi bagi menyembuhkan penyakit berpunca gangguan makhluk halus.
GEORGE TOWN: Persembahan 'main puteri' yang popular di Kelantan perlu dibangunkan supaya ia tidak lapuk ditelan zaman.

Timbalan Pengarah Produksi Istana Budaya, Rosnan Rahman berkata persembahan tradisional seperti tarian mek mulung, mak yong, menora, saba, ulek mayang dan main puteri perlu dikekalkan dengan mengadakan program mencari bakat baharu untuk dijadikan pelapis.

"Kita tak mahu ia tinggal nama sahaja. 'Main puteri' pun ada masalah untuk mencari pelapisnya. Pada sama sama, kami di kementerian perlu meneutralkan kontroversi antara halal dan haram.

Beliau berkata demikian pada seminar kearifan tempatan, Pemeliharaan Kearifan Tempatan Dalam Amalam Pengubatan' anjuran Universiti Sains Malaysia (USM), di sini hari ini.

Main Puteri atau "main teri" adalah seni persembahan yang popular di Kelantan. Tujuan utama persembahan ini adalah untuk perubatan di mana Tok Puteri, Tok Minduk dan pemuzik yang digelar panjak membebaskan "angin" pesakit.

Sementara itu, karyawan "main teri" yang juga dipanggil Tok Teri (ketua kumpulan Main Teri), Che Mohd Zailani Che Moh, 50, berkata persembahan tradisional itu sering kali digunakan untuk merawat penyakit berkaitan 'angin' seperti tekanan, kemurungan, rasukan makhluk halus dan ketidakseimbangan tenaga dalaman.

Beliau berkata menerusi persembahan "main teri" itu semangat pesakit akan dibangkitkan melalui lagu dan nyanyian yang mempunyai maksud tertentu.

Che Mohd Zailani yang turut dikenali sebagai Pak Mat Jedok turut menolak dakwaan masyarakat mengenai penggunaan makhluk halus dalam rawatan tradisional terutama persembahan "main teri" ini.

"Main teri ini selalunya dibuat apabila pesakit gagal sembuh walaupun sudah ke hospital...doktor bagi ubat pun tak sembuh juga," katanya.

Sumber: Bernama | 3 Feb. 2016

PPD masih memujuk 71 murid Orang Asli hadir ke SK Tohoi

GUA MUSANG: Pejabat Pendidikan Daerah Gua Musang akan menggunakan pendekatan memujuk 71 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi di sini, yang masih gagal hadir ke sekolah berkenaaan.

Pegawai Pendidikan Daerah Gua Musang, Muhammad Zahari Othman berkata beberapa program lawatan ke lapan kampung masyarakat itu sedang diatur supaya ibu bapa murid terbabit mengambil berat kehadiran anak-anak mereka ke sekolah.

"Pada perjumpaan kita dengan ibu bapa murid Orang Asli di Pos Simpor pagi ini, mereka menyatakan hasrat menghantar semula anak masing-masing ke sekolah kerana khuatir anak mereka akan ketinggalan dalam pelajaran," katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan dengan ibu bapa Orang Asli di Pos Simpor di sini, hari ini.

Muhammad Zahari berkata pihaknya menggunakan pelbagai kaedah untuk mengurangkan tekanan terhadap ibu bapa masyarakat tersebut yang masih trauma dengan tragedi kehilangan tujuh murid Orang Asli SK Tohoi pada Ogos tahun lepas.

Beliau berkata setakat ini, murid yang hadir di SK Tohoi masih kekal 115 orang berbanding keseluruhan 189 murid.

Muhammad Zahari berkata dua murid dari Pos Simpor telah berpindah ke SK Kuala Betis manakala seorang lagi ke sebuah sekolah di luar Kelantan.

Pada Ogos lepas, tujuh murid SK Tohoi dilaporkan hilang selepas bertindak melarikan diri daripada asrama kerana takut dikenakan hukuman oleh guru selepas mandi di sungai tanpa kebenaran.

Selepas hampir 50 hari hilang, dua daripada kanak-kanak itu iaitu Norieen Yaakob, 11, dan Miksudiar Aluj, 12, ditemui dalam keadaan kelaparan dan dehidrasi di tebing sungai dalam hutan di situ.

Empat yang lain - Ika Ayel, 9, Haikal Yaakob, 8, Linda Rosli, 8, dan Juvina David, 7, ditemui mati, manakala Sasa Sobrie, 8, belum ditemui sehingga kini.

Sumber: Bernama | 3 Feb. 2016

Cubaan tiga penjenayah larikan mesin ATM di Pasir Puteh gagal

PASIR PUTEH: Tiga penjenayah berputih mata apabila cubaan mereka untuk melarikan mesin juruwang automatik (ATM) dari sebuah bank, di sini pagi tadi gagal.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata polis tiba di bank itu dalam tempoh 10 minit selepas menerima maklumat mengenai kejadian pada pukul 5.50 pagi.

"Ketiga-tiga lelaki itu sempat melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis di tempat kejadian," katanya kepada pemberita ketika ditemui di bank itu hari ini.

Mazlan berkata siasatan mendapati bahagian simpanan wang mesin itu gagal dipecahkan hanya bahagian panel kawalan sahaja berjaya diumpil penjenayah terbabit.

"Polis sedang mengesan ketiga-tiga suspek berkenaan," katanya.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis penghargaan pemimpin pelajar di Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh, Mazlan berkata kadar jenayah dalam kalangan pelajar sekolah di negeri itu meningkat kepada 65 kes tahun lepas daripada 50 kes pada 2014.

Katanya antara kes yang melibatkan pelajar sekolah itu ialah mencuri motosikal, gangguan seksual dan pecah rumah.

Sumber: Bernama | 3 Feb. 2016

PQPTRW tampil 11 muka baharu

KOTA BHARU: Sebelas muka baharu dipilih bagi melengkapkan 25 pemain pasukan bola sepak Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini.

Daripada pemain muka baharu itu, lapan adalah pemain tempatan iaitu Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi yang bermain di posisi penyerang dari skuad Piala Presiden, Mohd Qayyum Marjoni Sabil (pertahanan/Piala Presiden), Mohd Ramadhan Abdul Hamid (penjaga gol/Harimau Muda), Faizal Abu Bakar (penyerang/PDRM).

Pemain lain ialah Mohd Muslim Ahmad (pertahanan/PDRM), Indra Putra Mahayuddin (pemain tengah/Felda United), Abdul Manaf Mamat (penyerang/Terengganu) dan Mohd Daudsu Jamaluddin (pertahanan/Johor JDT).

Tiga pemain import baharu ialah Jonatan Lucca (pemain tengah/Brazil), Dramane Traore (penyerang/Mali) dan Baze Ilijoski (penyerang/Macedonia).

Penjaga gol yang dikekalkan untuk musim ini ialah Khairul Fahmi Che Mat dan Mohd Shahrizan Ismail.

Pemain pertahanan yang dikekalkan ialah Tuan Muhammad Faim Tuan Zainal Abidin, Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim, Mohd Farisham Ismail, Norhafiz Zamani Misbah, Zairul Fitree Ishak, Mohd Noor Hazrul Mohd Mustafa, Mohd Zafran Akramin Abdul Razak dan Jonathan David Mckain (Australia).

Pemain tengah yang dikekalkan pula ialah Wan Zack Haikal Wan Nor, Wan Zaharulnizam Zakaria, Brendan Gan, Mohd Badhri Mohd Radzi (ketua pasukan), Muhd Amir Zikri Pauzi dan Mohd Rozaimi Azwar.

Sementara pemain penyerang yang dikekalkan ialah Mohd Khairul Izuan Rosli, dan Nor Farhan Muhammad.

Ketua jurulatih merangkap pengurus pasukan Kelantan ialah K. Devan.

Senarai nama pemain tersebut diumumkan pada perlawanan persahabatan antara PQPTRW dan Kuala Lumpur di Stadium Sultan Muhammad ke IV di sini, malam ini.

Turut hadir, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa dan Penasihat Kehormat KAFA Datuk Seri Dr Hasmiza Othman.

Sumber: Bernama | 2 Feb. 2016

20 lokasi jalan raya di Kelantan kerap berlaku kemalangan dipantau

GUA MUSANG: Polis Kelantan sedang memantau 20 lokasi di beberapa jalan raya di negeri ini yang dikenalpasti kerap berlaku kemalangan, dalam usaha memastikan keselamatan pengguna jalan raya sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata seramai 537 anggota polis termasuk 69 pegawai ditugaskan dalam Ops Selamat 8 sempena perayaan tahun baharu itu selama 15 hari bermula semalam.

Antara lokasi tersebut ialah KM3 dan KM5 Jalan Tumpat-Wakaf Baharu, KM4 dan KM12 Jalan Kota Baharu-Pengkalan Kubur, KM6 Jalan Kota Baharu-Pasir Mas, KM2 dan KM6 Jalan Tanah Merah-Pasir Mas, KM5 dan KM6 Jalan Kota Baharu-Jeli, dan KM2 dan KM3 Jalan Ismail Petra di Kota Baharu.

KM2 Jalan Selising-Kok Lanas, KM6 dan KM38 Jalan Kota Baharu-Kuala Terengganu, KM28 dan KM51 Jalan Kota Baharu-Kuala Krai, KM4 Jalan Machang-Tanah Merah, KM58 dan KM98 Jalan Kuala Krai-Gua Musang, dan KM12 Jalan Gua Musang- Kuala Lipis.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Ops Selamat 8 peringkat negeri Kelantan dan Pondok Bit Polis di Hentian Gua Musang di sini, hari ini, Mazlan berkata selain anggota polis trafik, operasi berkenaan turut melibatkan anggota dari cawangan lain seperti jenayah dan narkotik untuk mengesan pengguna jalan raya yang melanggar peraturan lalu lintas, jenayah dan dadah.

Katanya polis juga akan membuat rondaan cegah jenayah di kawasan kediaman bagi memastikan rumah yang ditinggalkan penghuni yang pulang ke kampung tidak dipecah masuk oleh penjenayah.

Beliau berharap orang ramai memberi kerjasama kepada polis dengan menyalurkan maklumat mengenai kejadian jenayah supaya tindakan segera dapat diambil.

Sumber: Bernama | 2 Feb. 2016