KOTA BHARU: Indonesia hari ini mempelawa syarikat dari Malaysia untuk berkongsi kepakaran dalam bidang kejuruteraan dengan negara itu.
Duta Besar Indonesia ke Malaysia Herman Prayitno berkata republik tersebut memerlukan kepakaran dalam bidang kejuruteraan, terutama dalam pembinaan lebuh raya dan lapangan terbang.
"Hasrat ini selari dengan dasar Presiden Republik Indonesia Joko Widodo yang mahukan ekonomi perdagangan menjadi lebih murah menerusi penambahbaikan infrastruktur," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan pejabat cawangan Pusat Perdagangan dan Budaya Malindo (MBCC) di sini hari ini.
Hadir sama Presiden MBCC Datuk Seri Abdul Rahman Bakar, Bupati (Datuk Bandar) Belitung Datuk Seri Sahani Saleh, Timbalan Bupati Bangka Tengah Datuk Ir Ibnu Saleh dan penasihat walikota Palembang Datuk Toni Panggarbesi.
Herman berkata selain perkongsian kejuruteraan, Indonesia turut menawarkan pelbagai pelaburan dalam sektor seperti pelancongan, perladangan, galian dan produk makanan.
"Tahun lepas, pelaburan antara kedua-dua negara mencecah US$20 bilion (kira-kira RM77.55 bilion) dan kita jangka ia akan meningkat kepada US$30 bilion (kira-kira RM116.32 bilion tahun ini).
Malaysia ialah negara pelabur kedua terbesar Indonesia selepas Singapura," katanya.
Sementara itu, Abdul Rahman berkata pembukaan MBCC di Kelantan adalah yang ketiga di negara ini selepas Selangor dan Negeri Sembilan, dalam tempoh lapan tahun MBCC beroperasi di Malaysia.
"Pembukaan MBCC di Kelantan, yang pertama di pantai timur, sangat signifikan memandangkan penduduk di negeri ini suka berniaga.
"Diharap pembukaan pusat ini akan lebih mengembangkan sektor pelaburan dalam pelbagai bidang antara kedua-dua negara selepas ini," katanya.
Sumber: Bernama | 13 Apr. 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan