KUALA LUMPUR: Konsep patuh syariah tidak boleh dipandang ringan oleh semua pihak dalam memastikan tiada sebarang unsur fitnah melibatkan agama Islam pada masa akan datang.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki (gambar) berkata, syarikat yang menggunakan ‘label’ berkenaan seharusnya mengambil berat akan tanggungjawab dan amanah mengenainya.
“Patuh syariah bukan bersifat kosmetik semata-mata, tetapi perlu mengambil kira faktor seperti kekemasan, kebersihan, perkhidmatan yang cekap serta berkualiti kerana perkara ini adalah tuntutan syarak.
“Semua aspek tersebut perlu dipatuhi supaya konsep ini tidak menjadi momokan dan seolah-olah perkara itu hanya sekadar mainan di bibir semata-mata selain bakal menjejaskan ‘label’ itu kelak,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas lanjut berkenaan Rayani Air yang menghentikan operasi berkuat kuasa serta-merta hari ini sehingga mengakibatkan kesemua penerbangan yang dijadualkan terpaksa dibatalkan.
Tambah Asyraf Wajdi, sudah tiba masanya, kerajaan seharusnya perlu mengambil pendekatan memperkenalkan suatu peraturan atau bentuk undang-undang bagi mengawal selia syarikat yang menggunakan konsep patuh syariah.
“Patuh syariah dan perlambangan agama bukan sepatutnya digunakan sebagai alat komersial untuk menarik pelanggan tetapi hakikatnya tidak mematuhi apa yang telah ditetapkan oleh syarak.
“Sebab itu mana-mana syarikat yang menggunakan ‘label’ ini memikul tanggungjawab besar, bukan hanya sekadar menunjukkan pekerja bertudung tetapi juga perlu menjaga aspek-aspek lain,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Nasional | 9 Apr. 2016 | Terbitan 10 Apr. 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan