Ismail Hisham. |
TAPAH: Operasi rangkaian hotel milik Permodalan Nasional Bhd. (PNB) yang kini memenuhi keperluan patuh syariah semakin mendapat perhatian pelawat dalam dan luar negara.
Pengurus Besar PNB Perdana Hotel & Suites On The Park Kuala Lumpur (dahulunya dikenali sebagai PNB Darby Park), Ismail Hisham berkata, malah sejak hotel-hotel tersebut mempraktikkan amalan patuh syariah, pihaknya menerima banyak tempahan daripada pelancong asing terutama negara-negara Islam.
Katanya, malah ada antara pengunjung PNB Perdana Hotel & Suites On The Park Kuala Lumpur yang menghabiskan masa menginap di hotel tersebut sehingga enam bulan kerana yakin dengan tahap keselamatan yang ditawarkan.
“Bila kita sebut hotel patuh syariah, ia secara tidak langsung mencipta satu persekitaran selamat kepada pengunjung hotel.
“Ini adalah satu daripada faktor mengapa kita amat mengutamakan pematuhan syariah dalam pengurusan rangkaian hotel milik firma pelaburan ini,” katanya ketika ditemui pada pameran Minggu Saham Amanah Malaysia 2016 (MSAM 2016) di sini hari ini.
Selain itu, katanya, kesemua hotel PNB termasuk Lanjut Golden Beach & Golf Resort di Endau-Rompin dan Hotel Sri Petaling di Petaling Jaya yang diuruskan oleh anak syarikatnya, PNB Commercial juga mempunyai persijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Sirim.
MSAM 2015 yang bermula 20 April dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sepanjang sembilan hari acara tersebut berlangsung sehingga 28 April, pelbagai aktiviti pendidikan pelaburan dan pameran yang disertai 50 peserta terdiri daripada syarikat Kumpulan PNB, ejen-ejen ASNB, badan kawal selia serta agensi kerajaan dan swasta.
Sepanjang MSAM itu juga, rangkaian hotel PNB menyediakan pakej menarik khusus buat pengunjung ke pameran tersebut. Setiap pakej istimewa tersebut sah selama setahun daripada tempoh pembelian.
Selain PNB Perdana Hotel & Suites On The Park Kuala Lumpur, terdapat dua lagi hotel di bawah PNB Management Services Sdn. Bhd. iaitu Hotel Perdana Kota Bharu (Hotel Perdana) dan PNB Ilham Resort.
Sementara itu, Pengurus Besar Hotel Perdana, Muhammad Taha Zainal berkata, sempena Ramadan yang bakal tiba, Hotel Perdana turut menawarkan Bufet Ramadan pada harga promosi RM60 seorang.
“Setiap RM1 daripada bufet Ramadan akan disalurkan kepada anak-anak yatim,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Nasional | 21 Apr. 2016 | 22 Apr. 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan