JELI: Kerajaan Negeri Kelantan perlu mengaudit jumlah keluasan hutan simpan kekal yang masih ada dan yang telah diteroka secara haram di negeri ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata penerokaan kawasan hutan simpan kekal adalah perbuatan serius sama ada dilakukan oleh individu mahu pun sindiket.
"Kita nak ketelusan, kita nak tahu setiap jajahan hutan simpan kekal berapa masih tinggal, berapa telah diteroka secara haram dan keluasannya yang sudah ditanam semula," katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan ladang tanaman kontan di Bukit Perawas, Ayer Lanas di sini, hari ini.
Mustapa mengulas pendedahan Jabatan Perhutanan Kelantan Rabu lepas, mengenai 7,284 hektar kawasan hutan termasuk Hutan Simpan Kekal (HSK) di negeri ini diteroka secara haram oleh sindiket dan individu.
Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan Zahari Ibrahim dilaporkan berkata lebih 400 hektar Hutan Simpan Kekal Ulu Galas dan Batu Papan, Gua Musang diteroka oleh sindiket yang menggunakan nama Sultan Kelantan dan kerabat baginda.
Sindiket itu memperdaya penduduk agar membeli lot-lot tanah yang diteroka dan menyertai penerokaan tanah bagi tujuan penanaman getah, kelapa sawit dan pisang.
Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata penerokaan secara haram itu menunjukkan kelemahan dari segi penguatkuasaan dan ia perlu diatasi dengan segera.
Beliau berkata kemusnahan hutan akan memberi banyak kesan kepada alam sekitar dan semua pihak perlu memelihara khazanah alam tersebut.
Sumber: Bernama | 23 Apr. 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan