Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 10 April 2016

USM jangka terima 30,000 permohonan

GEORGE TOWN: Universiti Sains Malaysia (USM) dijangka menerima 30,000 permohonan bagi mengikuti pengajian peringkat ijazah pertama sepenuh masa dan jarak jauh serta ijazah tinggi tahun ini, terutama dalam bidang Sains dan Kejuruteraan.

Naib Canselor USM Prof Datuk Dr Omar Osman berkata pada masa ini, USM telah menerima kira-kira 27,000 permohonan dan menjangkakan ia akan bertambah dalam sedikit masa lagi termasuk untuk pengambilan khas di Sabah dan Sarawak.

"Pada masa ini kita menawarkan lebih 70 peratus pengajian dalam bidang Sains dan Kejuruteraan di peringkat Ijazah Sarjana Muda dan peringkat Ijazah tinggi - Sarjana, Kedoktoran dan Doktor Falsafah (PhD)," katanya dalam kenyataan bersempena Hari Terbuka USM 2016 di sini.

Beliau berkata USM menyediakan peluang pengajian yang terbuka kepada pelbagai lapisan masyarakat yang layak dalam bidang Sains dan Kejuruteraan di empat kampusnya di Pulau Pinang, Bertam, Nibong Tebal dan India.

"USM turut menawarkan Rancangan Pengajian Jarak Jauh (RPJJ) dalam bidang Sains kepada mereka yang bekerja dan mempunyai kelayakan untuk memohon pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda yang memakan masa selama lima tahun.

"Pada hari ini, kita juga membuka permohonan kepada kelompok B40 untuk kemasukan sehingga akhir Ogos nanti. Permohonan bagi golongan ini akan dipertimbangkan untuk program yang bersesuaian.

"Kami jangka seramai 300 pelajar daripada golongan B40 akan diterima ke USM bagi pengambilan sesi 2016/2017," katanya.

Selain itu, Omar berkata Lembaga Gabenor Universiti juga bersetuju membuat pengambilan khas di Sabah dan Sarawak untuk semua bidang pengajian.

"USM turun padang dengan memberi pertimbangan khas kepada calon yang berkelayakan untuk mengikuti pengajian di USM selain memberi peluang kepada Orang Kurang Upaya (OKU) melalui saluran alternatif," tambah kenyataan itu.

USM mempunyai kampus yang khusus dalam bidang Sains Perubatan dan Sains Kesihatan di Kelantan serta dalam bidang Kejuruteraan di Nibong Tebal, Pulau Pinang, Perubatan dan Pergigian Termaju di Bertam dan Sains Perubatan di India.

Hari Terbuka USM itu diadakan bagi memberi pemahaman yang lebih mendalam kepada ibu-bapa, pelajar, masyarakat dan guru berkaitan program pengajian di USM dan kecemerlangan universiti.

Pada tahun ini, USM telah memasuki tahun kelapan pengambilan pelajar secara autonomi untuk pelajar Ijazah pertama bermula 2009 dan untuk pengambilan di peringkat pengajian Ijazah pertama jarak jauh sudah bermula sejak diperkenalkan pada 1971.

Sumber: Bernama | 10 Apr. 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan