KOTA BHARU: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) yakin pengeluaran beras di negeri ini tidak terjejas teruk walaupun berdepan fenomena El Nino ketika ini.
Anggota Lembaga Pengarahnya Datuk Hanapi Mamat berkata pihaknya telah membuat beberapa perancangan agar aktiviti penanaman padi seluas 19,000 hektar di negeri ini tidak terbantut dengan fenomena cuaca itu.
"Antara perancangan yang disusun termasuklah pelan mitigasi di mana kita melepaskan air secara berjadual ke kawasan penanaman padi bagi mengelak bendang kering.
Kawasan terbabit pelan mitigasi tersebut merangkumi Bahagian Tebing Timur iaitu Kubang Kerian dan Ketereh membabitkan 6,000 petani," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutup Program Kecemerlangan dan Kecerdasan Kada 2016 di Kompleks Belia dan Sukan Panji di sini, hari ini.
Hanapi berkata di Bahagian Tebing Barat merangkumi Pasir Mas dan Tumpat melibatkan 3,000 penanam padi tidak bermasalah kerana pembinaan empangan rendah kini hampir siap.
Beliau berkata empangan berkenaan yang dimulakan pembinaannya sejak dua tahun lepas berjaya meningkatkan paras air Sungai Kelantan kepada 1.8 meter sehingga membolehkan Rumah Pam Kada di Lemal, Pasir Mas beroperasi dengan baik.
Sumber: Bernama | 24 Apr. 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan