Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 10 April 2016

RM6.2j bina rumah rakyat miskin tegar

MAT YUSOFF ABDUL GHANI (depan, empat dari kanan) menyerahkan surat aku janji kepada sebahagian daripada 115 peserta baharu Projek ECER di Rantau Manis, Gua Musang, Kelantan, kelmarin.
GUA MUSANG: Kerajaan membelanjakan RM6.2 juta bagi membina 620 buah rumah kepada penduduk miskin tegar yang tinggal di Projek Agropolitan ECER di Rantau Manis di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Datuk Mat Yusoff Abdul Ghani berkata, projek tersebut dijalankan bertujuan me­ngubah nasib peserta kumpulan sasar dengan memberikan rumah kediaman dan menawarkan pelbagai peluang pekerjaan baharu.

Katanya, sehingga kini kebanyakan peserta sudah berdikari apabila mereka mampu menjana pendapatan sekitar RM1,500 hingga RM2,000 sebulan.

“Projek Agropolitan ECER yang bermula pada tahun 2009 ini menawarkan aktiviti pertanian dan perladangan kepada peserta untuk menjana pendapatan mereka.

“Selain itu, kerajaan juga menyediakan kemudahan infrastruktur seperti rumah, tadika, surau, dewan orang ramai dan rumah kedai untuk keselesaan peserta.

“Ini merupakan bukti bahawa kerajaan begitu prihatin dengan nasib golongan yang memerlukan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Orientasi Peserta ECER fasa kedua di Rantau Manis di sini semalam.

Yang turut hadir Ketua Unit Agropolitan ECER Rantau Manis, Hafiz Dollah.

Dalam majlis tersebut seramai 115 peserta ECER yang baharu diberi pendedahan mengenai kemudahan infrastruktur dan peluang pekerjaan yang akan ditawarkan kepada mereka.

Mat Yusoff berkata, pada bulan Mei ini juga seramai 78 peserta lagi akan ditempatkan di Projek Agropolitan ECER Rantau Manis.

Katanya, peserta yang terpilih harus bersyukur dengan bantuan yang diberikan kerajaan dan tidak mensia-siakan peluang dengan berusaha meningkatkan pendapatan keluarga mereka.

Sementara itu, seorang peserta, Mohd. Maliki Mat Zin, 32, berkata, dia akan menggunakan peluang diberikan oleh kerajaan untuk mengubah keluarganya yang dahulunya hidup dalam kesusahan.

“Sebelum ini kehidupan kami ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Saya bersama isteri dan dua anak terpaksa menumpang di rumah keluarga mentua kerana kesempitan hidup yang dialami.

“Jadi apabila terpilih sebagai peserta baharu di sini saya berharap kehidupan kami lebih terjamin,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Kelantan | 8 Apr. 2016 | Terbitan 9 Apr. 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan