Kenyataan umum SAMM bertarikh 13 April 2016
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) memandang serius kemelut yang dihadapi oleh Rayani Air. Sebelum ini beberapa isu telah melanda syarikat penerbangan patuh syariah pertama di Malaysia itu seperti kelewatan penerbangan, pembatalan penerbangan, pas masuk bertulis tangan dan cermin kokpit yang pecah. Akan tetapi, kemelut ketika ini lebih besar kerana ia melibatkan nasib pekerja-pekerjanya.
Kemelut ini juga sepatutnya dijadikan iktibar oleh semua pihak. Episod Rayani Air ini hanya menunjukkan betapa ceteknya pemahaman Muslim di Malaysia mengenai konsep patuh syariah. Malah, pihak berkuasa dan pihak berkepentingan juga gagal untuk memahami dengan jelas konsep patuh syariah.
Muslim Malaysia dan pihak berkuasa hanya membiarkan sahaja Rayani memanipulasi terma patuh syariah hanya bersandarkan kepada tidak menghidangkan alkohol, FA yang menutup aurat dan membaca doa sebelum penerbangan. Apabila timbul pelbagai isu seperti ketepatan masa, pembayaran gaji juruterbang dan sebagainya, ia hanya menambah buruk imej agama itu sendiri.
Pihak berkuasa perlu belajar dari episod Rayani, jangan mudah-mudah membenarkan penggunaan status patuh syariah. Ia perlu melalui proses yang panjang sebelum diberikan penarafan patuh syariah dengan penekanan bukan sahaja kepada aspek larangan dalam Islam tetapi juga perlu merangkumi aspek pengurusan dan pentadbiran syarikat serta kebajikan pekerja. Sesebuah syarikat perlulah melalui tempoh percubaan sebelum diberikan penarafan penuh.
SAMM ingin menyatakan sokongan dan solidariti kami bersama-sama dengan seluruh pekerja-pekerja Rayani Air pelbagai peringkat yang tertindas. SAMM menyeru agar pihak Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Sumber Manusia untuk segera tampil membantu pekerja berhadapan dengan kemelut pembayaran gaji ini. Ini adalah satu bentuk penindasan terhadap pekerja. Dakwaan pekerja, seperti yang dilaporkan media, bahawa pemilik Rayani Air mensabotaj pekerja bukanlah satu dakwaan kecil. Hak pekerja tidak patut dinafikan apalagi disabotaj.
Ahmad Anwar Asyraf
Pengarah Pemikir Muda
Solidariti Anak Muda Malaysia
Sumber: SAMM | http://anakmudamalaysia.com | 13 Apr. 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan