Ketibaan Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra sempena perasmian
Istiadat Pembukaan Penggal Pertana Dewan Negeri Kelantan ke 14 tahun 2018 di
sini hari ini.
|
Baginda bertitah, saban tahun masalah kebersihan dan keceriaan di Kelantan sentiasa menjadi isu utama paling hangat diperkatakan di media sosial.
“Kurangnya kecaknaan masyarakat berhubung kepentingan penjagaan kebersihan dan alam sekitar menjadi faktor utama yang menyumbang kepada permasalahan tersebut.
“Justeru beta mengesyorkan agar pendekatan kempen pembudayaan kebersihan dalam kalangan masyarakat di samping penguatkuasaan yang berterusan menjadi fokus utama pihak berkuasa tempatan di negeri ini,” titah Baginda.
Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Dewan Negeri Kelantan ke 14 tahun 2018 di Komplkes Kota Darul Naim hari ini.
Dalam hal itu juga baginda turut bertitah agar bantuan kewangan serta prasarana kebersihan daripada Kerajaan Negeri dan Persekutuan amatlah perlu bagi membolehkan segala usaha merealisasikan pelaksanaan program Kelantan Bersih berjaya.
Sementara itu, Baginda juga yakin dengan kerajaan baharu di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan membawa banyak perubahan dan penambahbaik demi kepentingan rakyat sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020.
“Beta juga amat berbesar hati di atas keputusan Kerajaan Persekutuan di dalam Mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang bersetuju memberi royalti petroleum kepada Kerajaan Negeri Kelantan.
“Sesuai dengan perkembangan ini, beta menyokong penuh hasrat kerajaan negeri untuk menubuhkan Perbadanan Petroleum bagi meneroka, mengusaha hasil dan mengurus petroleum di Kelantan,” titah Baginda.
Titah Baginda lagi, di dalam usaha untuk mengeratkan perhubungan baik antara Kerajaan Kelantan dan Persekutuan, amat besar harapannya agar projek yang telah diluluskan perlu diteruskan oleh Kerajaan Pusat.
Antara projek terbabit titah baginda adalah menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, projek Lebuh Raya Utama Tengah (CSR) pakej Kota Bharu - Kuala Krai dan Kuala Krai - Mentara/ Pahang; projek Laluan Rel Pantai Timur, Lebuh Raya Pantai Timur Fasa Tiga dan cadangan pembinaan jambatan Kampung Cina - Palekbang, Tumpat.
Sumber: Sinar Harian | 23 Julai 2018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan